Tuesday, September 2, 2014

SNDKI bab 30

Bab 30
Jantungnya berdegup kencang, entah apa yang membuakan dia berasa berdebar-debar. Balkish di sebelah dilihat. Dengan tidak sengaja gadis itu juga turut memandangnya. Mereka sama-sama terdiam. Dengan takut-takut, Amin bersuara, “Awaklah cakap dekat papa, ya?” pujuk Amin.
Balkish cepat-cepat menggeleng. Dia melihat kegelisahan yang jelas terpamer pada wajah lelaki itu. Semalam dia menerima sms daripada Amin. Sms itu membuatkan dia terkejut dan dalam masa yang sama gembira kerana Amin mengambil keputusan untuk menyampaikan berita tentang kehamilannya kepada kedua orang tua mereka. Balkish bersyukur kepada Allah kerana telah membukakan pintu hati lelaki itu.
Hati wanitanya tersentuh dengan sms yang diterimanya itu. Timbul sedikit rasa yang susah untuk diinterpretasi kepada lelaki itu. Sayang? Adakah aku sudah mula menyayangi lelaki ini? Pantaskah Amin untuk disayangi, sedangkan dia tahu lelaki playboy seperti Amin susah untuk berubah. Inikah yang dikatakan cinta, hati tetap menyintai walaupun akal menegah kerana tiada pengakhiran yang baik untuk cerita cinta antara dia dan Amin.
Itu yang dilihatnya setakat ini. Dengan perangai Amin begini, mustahil lelaki itu dapat menjadi seorang ayah dan suami yang baik. Balkish harus meletakkan benteng kukuh di hatinya supaya lelaki playboy seperti Amin tidak dapat mengetuk masuk ke dalam hatinya.
“Jom” ajak Amin. Balkish menurut dari belakang.
Kebetulan waktu itu, Dato’ Sahar dan Datin Hasmah berada di halaman rumah. Dato’ Sahar seperti biasa membaca surat khabar yang belum sempat dibaca sebelah paginya dan Datin Hasmah pula sibuk dengan pokok-pokok bonzainya. Amin melangkah perlahan-lahan ke arah kedua orang tuanya. Dia menarik kerusi untuk Balkish dan Datin Hasmah.
“Hah, baru sampai. Jammed ke?” soal Dato’ Sahar kepada Balkish. Gadis itu mengangguk. Dia memandang ke arah Amin. Mereka berdua berbisik. Dato’ Sahar terpinga-pinga melihat gelagat anak sulung dengan isterinya itu.
“Mama, papa. Sebenarnya Amin dengan Balkish ada benda nak bagitahu” kata Amin.
Datin Hasmah memandang suaminya. Dato’ Sahar menjungkitkan bahunya sebagai isyarat dia juga tidak mengetahui berita apa yang bakal disampaikan oleh anak lelaki mereka itu.
“Mama, papa, Balkish mengandung. Amin akan jadi ayah!” beritahu Amin. Dia tersenyum bangga. Balkish juga gembira. Tanpa dipaksa, dia menatap wajah Amin. Wajah itulah yang dirinduinya sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah” ucap Dato’ Sahar. Dia bangun dan memeluk anak lelakinya. Bahu Amin ditepuk-tepuk bangga.
“Papa bangga dengan Amin” ucap Dato’ Sahar.
Datin Hasmah memeluk Balkish erat. Menantunya itu telah menanggung penderitaan yang berat sebelum ini. Tetapi sekarang dia gembira melihat wajah ceria Balkish dan kegembiraan yang terpamer di raut wajah Amin. Dia bersyukur kerana Amin menerima berita itu dengan baik dan tidak hanya lepas tangan. Dia turut berbangga dengan perubahan sikap Amin itu. Semuanya adalah rahmat dari Allah. Segala apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Dengan apa yang terjadi kepada Balkish, Amin mulai belajar erti tanggungjawab. Amin sudah berubah sedikit demi sedikit, demi Balkish.
Setelah selesai solat Magrib, Balkish turun ke dapur untuk menyediakan makan malam untuk keluarganya. Dikeluarkan bahan mentah dari dalam peti ais. Sayur-sayuran dan bawang dipotong. Tidak lama kemudian, Datin Hasmah turun dan menegur Balkish.
“Eh, Balkish ni. Rehat saja. Biar mama masak”
“Tak apalah, mama. Balkish pun jarang-jarang balik. Sekali-sekala tolong memasak apa salahnya”
“Balkish kena banyak berehat. Sebelum ni sibuk belajar, hari ini biar mama masak”
“Tak apalah mama, Balkish tolong”
“Jangan manjakan sangat Balkish ni. Biar saja dia tolong” sampuk Amin. Dia berjalan ke arah mamanya. Tubuh Datin Hasmah dipeluk dari belakang.
“Aman tak balik, ma?” soal Amin.
“Aman exam sekarang. katanya penting. Lepas exam dia baliklah” beritahu Datin Hasmah.
“Nasib baik Amin tak ambil medic kan ma. Tak ada life”
Balkish mencebik. ‘Ambil engineering pun tak lepas, ada hati nak ambil medic’
“Eh, rimaslah mama. Nak masak pun susah” tegur Datin Hasmah apabila dipeluk lama-lama oleh Amin. Amin pula ketawa lucu dan segera melepaskan pelukannya. Dia menghampiri Balkish yang sedang mencuci sayur di sinki.
“Nak abang peluk dari belakang?” usik Amin.
“Jangan nak mengadalah, Amin” bisik Balkish.
“Awak ni garang sangat. Nanti anak kita ikut perangai garang awak tu” tegur Amin.
“Ma, Amin nak keluar sekejap” beritahu Amin. Dia tetap lagi berdiri di sebelah Balkish.
“Nak pergi mana lagi?” soal Datin Hasmah.
“Nak beli Ramly burger dekat depan tu. Ada orang tu mengidam” beritahu Amin. Datin Hasmah mengangguk memberi keizinan. Amin melihat ke arah Balkish di sebelahnya.
“Buat tak dengar pula. Anak papa ni nak makan Ramly burger, ya. Kejap ya, papa carikan” bisik Amin ke telinga Balkish.
Balkish berhenti dari melakukan kerjanya, dia melihat ke arah Amin yang sudah berjalan meninggalkanya. Sengaja dia berpura-pura tidak mendengar dan tidak memberikan reaksi sedangkan dalam hatinya tersentuh dengan kesungguhan dan keprihatinan Amin untuk memenuhi hasratnya. Tidak disangka Amin masih mengingati pesanannya di Hotel tempohari.
“Lega hati mama tengok kamu berdua bahagia” kata Datin Hasmah. Balkish mengalihkan pandangannya ke arah ibu mertuanya.
Balkish kelu. Tidak tahu bagaimana mahu memberikan respons.
‘Bahagia? Masih jauh perjalanan rumah tangga kami untuk sampai ke tahap bahagia. Balkish belum lagi boleh menerima Amin sepenuhnya. Hati Balkish sudah terbuka, dan Balkish belum yakin dengan Amin. Malah Balkish takut dengan Amin’
“Dah bagitahu ayah dan ibu Balkish?” soal Datin Hasmah.
“Belum”
“Bila Balkish nak bagitahu?”
“Kalau tak ada apa-apa, esok Amin kata nak ke rumah ayah” beritahu Balkish.
Wajah Datin Hasmah berubah. Amin? Masih belum ada panggilan abang buat anak lelakinya itu dari  Balkish. Mungkinkah hubungan mereka tidak sebahagia yang disangka? Atau mungkinkah masih berbekas parut semalam di hati Balkish? Datin Hasmah tidak mahu berfikiran negatif maka dia mensetkan fikirannya dengan alasan mungkin kerana mereka ini masih mentah.
Setelah selesai makan malam, Balkish duduk-duduk sebentar berbual dengan papa dan mama. Banyak yang menjadi topik perbualan mereka memandangkan dia dan Amin sudah lama tidak pulang. Datin Hasmah banyak berdiam diri dan hanya mendengar, sesekali sahaja dia menyampuk perbualan kami bertiga. Entah apa yang menganggu fikiran ibu mertuanya itu. setelah agak malam, Balkish meminta izin untuk naik ke kamarnya. Amin juga membontoti dari belakang. Mereka berdua masuk ke bilik.
“Esok nak pergi pukul berapa?” soal Balkish.
“Janganlah awal sangat, abang nak bangun lambat sedikit” beritahu Amin.
“Abang kena tidur dekat balkoni lagi ke ni?” soal Amin sambil mengambil persiapan tidurnya dari dalam almari.
“Awak boleh tidur dekat sofa” beritahu Balkish.
Amin tersenyum gembira.
‘Bye nyamuk betina dekat balkoni! Malam ni aku tidur dengan isteri aku!’ Kata Amin dalam hati. Hatinya gembira walaupun tidurnya hanya beralaskan kerusi sofa.
…………………
Amin dan Balkish keluar dari keretanya dan dari jauh sudah kelihatan ibu Balkish sedang menunggu mereka di bangku buluh di bawah pohon. Sebaik sahaja terlihat Balkish, Aminah segera mendapatkan anak sulungnya itu, mereka berdua berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu. Sejak Balkish masuk universiti, dia sudah agak jarang boleh pulang ke rumah papa, apatah lagi kembali ke rumah ayahnya yang terletak agak jauh berbanding dengan rumah papa. Semalam semasa menerima khabar gembira daripada Balkish melalui telefon, Aminah sangat gembira. Dia sudah berpesan agar sepasang suami isteri itu datang awal pagi. Suaminya juga disuruh ke pekan untuk membeli sedikit lauk untuk dimasak, istimewa buat anak gadis mereka yang sedang hamil itu. Amin menghampiri dan menyalami tangan ibu mertuanya itu.
“Ayah mana ibu?” soal Amin kepada Aminah.
“Ayah keluar, sekejap lagi baliklah tu” beritahu Aminah.
“Abang!” jerit Fahmi sambil berlari dengan sekuat hati mendapatkan Amin. Aminah dan Balkish memerhatikan kanak-kanak kecil itu riang apabila dapat bertemu dengan Amin. Tubuh kecil Fahmi dipangku oleh Amin.
“Dah besar dah. Beratnya” kata Amin.
“Ish, Fahmi ni kan dah besar. Kasihan Abang Amin tu”
“Biar saja ibu” sampuk Balkish. Dia melirik ke arah Amin. Dalam hatinya, dia tersenyum melihat keakraban Fahmi dengan lelaki itu. Cepat sekali Amin mengambil hati adiknya itu sampaikan Fahmi berlari-lari memeluknya. Kalau dulu, Fahmi itu sering menerpa ke arahnya dahulu, tapi sekarang nampaknya hati adik bongsunya itu sudah berpaling ke arah Amin. Tapi Amin memang ada charm itu, charm yang mudah membuatkan orang suka kepadanya.
Aminah mengajak semuanya masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Tahir dan Farah pulang dari pekan dengan membawa beberapa plastic barang-barang di tangan mereka. Farah melihat ke arah Amin. Dalam tidak sengaja, mata mereka bertentang, namun cepat-cepat Farah melarikan pandangannya.
Amin sekadar tersenyum. Adik Balkish yang satu ini memang pemalu, jarang sangat bercakap. Kalau ditegur sepatah, sepatahlah yang dijawab. Waktu kunjungan yang pertama dulu pun, Farah tidak menegurnya. Amin yang terpaksa memulakan bicara. Kekok juga sebenarnya tapi lama-kelamaan, Amin faham, mungkin dia seorang yang pemalu. Farah mengambil semua barang-barang yang dibeli dan dibawa ke dapur sementara Tahir duduk di kerusi bersebelahan dengan Amin.
“Ayah sihat?” soal Amin mengambil hati si ayah mertua.
“Alhamdulillah sihat” jawah Tahir.
Amin tersenyum. Mahu juga ayah mertuanya itu berbicara dengannya. Kalau dulu, susah.
“Macamana belajar?” soal Tahir kepada Balkish.
“Alhamdulilah, okey ayah. Cuma Balkish sibuk sedikit. Jarang Balkish dapat balik walaupun hujung minggu. Banyak aktiviti kokurikulum”
“Sibuk pun jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri, sebagai anak” sambung Tahir.
Balkish mengangguk. Balkish sempat kerling ke arah Amin. Lelaki itu tersenyum kepadanya.
“Ni ibu kamu ni. Tiap hari ayah dengar mengeluh teringatkan kamu” sambung Tahir.
“Ibu, maaflah. Lain kali Balkish telefon ibu ya. Kalau ibu rindu Balkish, ibu pun boleh call Balkish”
“Ibu manalah tahu guna telefon. Ayah pun sama” sampuk Aminah.
“Nanti ibu minta tolong Farah” beritahu Balkish. Dia mengerti perasaan ibunya dan dia sangat berasa bersalah membuatkan ibunya merisaukan dirinya.
“Doktor kata kamu hamil berapa bulan?” soal Tahir lagi.
“Dua bulan” sampuk Amin.
“Alhamdulillah” sama-sama Tahir dan Aminah memanjatkan syukur. Namun ada kerisauan yang bertandang di hati seorang ibu. Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun tentang kerisauannya itu walaupun kepada suaminya sendiri. Aminah berhasrat mahu bertanya kepada Tahir tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicaranya.
“Fatin man, bu” soal Balkish tentang adiknya yang seorang lagi itu.
“Ke sekolah. Ada kelas tambahan” sambung Aminah.
Balkish melihat ke jam dinding, mungkin sebentar lagi adiknya itu akan pulang.
Balkish dan Aminah berjalan ke dapur. Mereka berdua mahu menyiapkan makan siang untuk mereka sekeluarga. Tahir membawa diri ke biliknya. Setelah pulang dari pekan itu dia berasa penat dan mahu berehat di kamarnya sahaja. Amin keluar ke perkarangan rumah untuk mengambil angin pagi. Dia berbaring di bangku buluh, mahu tidur tetapi tidak terlelap. Kelihatan Fatin berjalan dari jauh dengan sepasang baju sekolah dan beg sandang yang digalasnya. Kelihatan berat sekali isi beg yang harus digalas itu. Amin duduk dan mahu menegur tapi terlihat Fatin yang sedang menangis. Dia kehairanan. Dipanggil sahaja kanak-kanak itu datang kepadanya. Fatin menurut dan duduk di sebelah Amin. Beg galasnya diletakkan di sisi.
“Kenapa menangis ni?” soal Amin.
Kanak-kanak itu masih menangis teresak-esak. Bahunya terhinjut-hinjut. Tudung sekolah ditarik ke belakang kerana sudah menutup separuh dahi.
“Cuba cakap dekat abang” pujuk Amin lagi.
“Fatin cerita, abang jangan cakap dekat siapa-siapa” akhirnya kanak-kanak itu mahu berbicara.
Amin mengangguk.
“Kawan-kawan sekolah ejek Fatin lagi. Dia orang kata Fatin busuk”
“Kenapa dia orang cakap macam tu?”
“Sebab baju sekolah Fatin buruk, warna kuning. Bukan sebab Fatin tak cuci, tapi sebab baju sekolah ni, baju lama” Tangisannya semakin keras. Sedih dan pilu mengenangkan sikap kawan-kawan yang tidak mengerti tentang kesusahan dan kemiskinan keluarganya.
“Tak cakap dekat cikgu?’ soal Amin.
“Cikgu marah dia orang tapi esok, dia orang buat lagi”
“Tak cakap dekat ayah?” soal Amin.
Fatin menggeleng. “Nanti ayah susah hati” Kanak-kanak kecil itu menangis lagi.
“Dahlah, jangan menangis” pujuk Amin. Tangisan Fatin belum berhenti. Dia tidak mengarapkan apa-apa tapi cukuplah ada seseorang yang dapat mendengar rintihannya. Dia tidak boleh meluahkan kepada sesiapapun termasuk ayah, ibu atau kakak Balkish kerana dia tahu mereka semua telah berusaha untuk mencari rezeki. Dia tahu tentang kemiskinan keluarganya dan dia tahu tentang kepayahan ayahnya untuk mencari rezeki, dan kerana sebab itulah, dia tidak memberitahu hal ini kepada sesiapapun.
Fatin terkejut apabila tubuhnya diangkat oleh Amin. Tidak pernah dia diperlakukan sebegitu. Tambahan pula dia bukannya anak kecil lagi, dah 11 tahun. Abang kandungnya sendiri, Fahim tidak pernah memperlakukannya sedemikian.
“Abang Amin!” jerit Fatin.
“Hah, kan dah tak nangis”
“Fatin nak turun!”
“Hari ni, Fatin dengan Fahmi kena temankan abang pergi pekan. Okey!?”
“Tak nak”
“Degil. Sama dengan kak Balkish. Tak nak tahu ke kenapa abang Amin nak pergi pekan?” soal Amin
“Kenapa?” Fatin bertanya.
“Hari ni, abang rasa nak pergi beli barang-barang sekolah Fatin. Nak?”
Perlahan-lahan Fatin mengangguk. Wajahnya senyum.
“Kita ajak Fahmi dengan Kak Balkish sekali” beritahu Amin. Beg sekolah yang sudah koyak namun ditampal dengan kain biasa dan dijahit tangan itu digalas di pundak. Amin melangkah masuk ke dalam rumah sambil mendukung Fatin.
Dia ke dapur untuk mendapatkan Balkish. Farah, Balkish dan Aminah terkejut melihat Amin yang mendukung Fatin yang sudah besar dan berat itu.
“Ni kenapa ni?” soal Aminah pelik.
“Hari ini, ada seorang puteri dalam rumah kita ni” beritahu Amin.
Balkish mendapatkan Amin.
“Awak ni kenapa?” soal Balkish pelik dengan perubahan sikap Amin itu.
“Awak, temankan kita orang pergi pekan” ajak Amin.
“Nak buat apa?” soal Balkish marah. Malas dia mahu melayan kerenah Amin.
“Rahsia. Awak kena ikut baru awak tahu” ajak Amin.
“Jomlah kakak” ajak Fatin pula. Akhirnya Balkish terpaksa akur dengan permintaan Amin dan Fatin itu. Dia juga tertanya-tanya, apalah yang menjadi komplot antara Amin dan adiknya itu. Fahmi turut dibawa mengikuti mereka masuk ke kereta.
Amin memberhentikan keretanya di parkir samping jalan. Mereka berempat keluar dari perut kereta. Dia menggendong Fatin dalam dukungnya. Fahmi pula dipimpin oleh Balkish.
“Awak ni kenapa?” soal Balkish pelik. Amin tersenyum sahaja. Mereka berhenti di sebuah kedai pakaian, Amin mengajak Balkish masuk.
“Nak cari apa, awak?” soal Balkish lagi.
“Cari uniform untuk Fatin dan Fahmi. Kalau awak nak juga pun boleh” beritahu Amin sambil bergurau. Balkish melirik manja sambil tertawa. Amin menurunkan Fatin dari dukungannya dan menyuruhnya untuk mencari pakaian yang ingin dibelinya. Fahmi pula mengikut sahaja Fatin. Wajah mereka berdua sangat gembira.
“Fatin ada cakap apa-apa ke dekat awak?’ soal Balkish.
“Rahsia” balas Amin.
“Tak elok awak manjakan sangat budak-budak ni. Nanti mereka terbiasa meminta-minta” tegur Balkish.
“Saya hanya menyediakan keperluan mereka” balas Amin.
“Thanks Amin” beritahu Balkish. Dia terharu dengan kebaikan Amin. Dia tahu bagi lelaki itu, wang bukanlah masalah besar dan dia bukannya seorang yang berkira. Tetapi baginya keikhlasan Amin dalam berbelanja untuk adik-adiknya adalah suatu kebaikan yang jarang ditunjukkan kepadanya ataupun kepada ahli keluarganya yang lain.
Balkish merenung ke wajah lelaki itu. Kacak, tak payahlah nak dihuraikan lagi. Wajah itu juga yang sering berkunjung ke dalam imaginasinya saat dia berada di kampus. Sejak dia mengandung ini, sering-sering juga dia teringatkan Amin. Kalau dulu tak sangat. Dia juga agak terbuka dengan perlakuan dan gurauan Amin. Tidak disangka lelaki ini menjadi suaminya sedangkan dulu dia menyukai Amin dalam diam. Namun setelah kejadian pahit itu, dia membenci Amin dengan sepenuh hati. Tapi sekarang, lain pula perasaan yang timbul buat suaminya itu.
“Kita kan dah jadi keluarga, tak payahlah nak berterima kasih” balas Amin.
Balkish senyum, jawapan Amin itu membuatkan hatinya gembira. Tanpa disangka Amin juga berpaling ke arahnya. Mata mereka bertentangan. Kerana perasaan takut, Balkish segera melarikan pandangannya dan mengikut Fatin. Amin ditinggalkan sendirian.
Setelah membeli pakaian yang diinginkan, Amin mengajak mereka berjalan-jalan di sekitar pekan sebelum mereka pulang. Dia belum pernah bersiar-siara di kawasan pekan ini. Balkish mengikut sahaja kehendak lelaki itu. Fatin didukung oleh Amin. Adik Balkish itu gembira sekali apabila dibelikan beberapa helai baju baru termasuk uniform sekolah.
“Kak” panggil Fahmi.
Balkish tunduk bertanya kepada adiknya yang paling bongsu itu.
“Kenapa ?” soal Balkish. Wajah Fahmi dilihat sudah masam mencuka.
Fahmi hanya berdiam diri apabila ditanya.
“Mengantuk dah ke?” soal Balkish. Fahmi mengangguk laju.
“Nak balik dah?” soal Amin. Dia kemudiannya melihat ke arah Fatin.
“Sini abang dukung. Fatin tak kisahkan jalan dengan kak Balkish” soal Amin kepada Fatin yang masih dalam dukungannya.
Fatin mengangguk. Amin kemudiannya mendukung Fahmi yang sudah mengantuk itu.
“Kita nak ke mana lagi ni? Lama lagi ke, Fahmi dah mengantuk dah ni” soal Balkish kepada Amin. Lelaki itu masih belum mahu pulang.
“Awak ikut sajalah” balas Amin. Dia akhirnya menjejakkan kaki ke dalam sebuah kedai basikal. Sengaja Amin kerling ke arah wajah Fatin yang sedang memimpin tangan Balkish. wajah kanak-kanak itu tersenyum gembira.
“Abang nak belikan basikal ke?’ soal Fatin gembira.
“Abang beli kalau Fatin berjanji akan belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin. Dia senyum kepada Balkish. Isterinya itu diam kerana terkejut.
“Banyak awak spend duit untuk adik-adik saya. Dahlah Amin” kata Balkish.
“Adik awak adik saya juga” balas Amin.
“Abang, Fahmi pun nak!”
“Fahmi pandai ke naik basikal?” soal Amin sengaja mengusik.
“Kak Fatin boleh ajar”
“Fahmi pun kena janji belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin.
“Fahmi janji” Amin tersenyum lucu melihat gelagat adik Balkish yang paling bongsu itu. Tadi, katanya mengantuk tapi apabila melihat Kak Fatinnya dapat sebuah basikal baru, mata Fahmi yang kuyu tadi jadi celik. Amin menurunkan Fahmi. Kanak-kanak itu kemudiannya berlari mengikut kakaknya, Fatin. Mereka berdua berbincang dan saling menunjuk ke arah basikal-basikal yang dipamerkan di kedai itu.
“Banyak awak spend duit hari ni” tegur Balkish. Dia rasa bersalah kepada Amin kerana menyusahkan lelaki itu. Hatinya gembira melihat wajah adik-adiknya yang berseri-seri mendapat basikal baru, namun tidak enak perasaannya terhadap Amin. Tambah menyakitkan hati lagi apabila memikirkan dia terhutang budi dengan lelaki itu.
Happy saja dua orang tu dapat basikal baru” Amin senyum melihat gelagat Fahmi dan Fatin.
Balkish terdiam. Matanya hanya menatap susuk tubuh lelaki yang membelakanginya itu dan  lelaki itu telah bergelar suaminya. Sayang? Suke? Balkish turut  bingung dengan oerasaannya sendiri. Apakah rasa yang sesuai untuk mentafsir perasaannya saat ini terhadap lelaki itu?
………………………
Selesai makan malam dan solat Isyak, Balkish keluar dari biliknya. Dia berjalan keluar ke arah pintu rumah yang masih lagi ternganga luas. Biasanya pada jam-jam begini pintu rumah sudah tertutup rapat namun kerana Fatin dan Fahmi yang terlalu teruja untuk mencuba basikal baru mereka, pintu itu dibirkan menganga.
Balkish berdiri di samping pintu dan menyandarkan tubuhnya di dinding. Dari jauh dia dapat melihat Amin yang sedang membantu Fahmi untuk belajar mengayuh basikal. Sesekali kelihatan Fahmi mencebik ke arah Fatin yang mengetawakannya kerana masih tidak tahu mengayuhsendiri. Amin setia memegang basikal supaya Fahmi tidak terjatuh. Balkish memerhatikan Amin yang sibuk melayani kerenah Fahmi.
“InsyaAllah, Amin akan jadi ayah yang baik untuk anak kamu” tegur ibu yang mungkin sudah lama memerhatikan Balkish.
“Ibu” tegur Balkish.
“Tengoklah cara dia layan Fahmi. Ibu rasa Amin akan jadi seorang ayah yang baik” ulang Aminah lagi. Walaupun Amin bukanlah menantu pilihannya namun lama-kelamaan dia boleh menerima suami kepada Balkish itu. Amin pula tidak kekok bersama dengan keluarganya yang biasa-biasa ini.Kalau dulu, dia tidak menyukai Amin atas perbuatannya, tapi entah kenapa Amin pandai mengambil hati.
“Ibu, Balkish nak tanya sedikit”
“Tanya apa?”
“Sejak Balkish mengandung ni, perangai Balkish banyak berubah. Terutama kalau melibatkan Amin”
“Berubah macamana?”
“Sekejap-sekejap Balkish teringatkan dia. Kadang-kadang sampai menganggu”
Aminah tersenyum lucu.
“Baguslah kalau macam tu. Balkish dengan Amin kan dah jadi suami isteri” sampuk Aminah.
Balkish terdiam.
“Mungkin perawakan bayi. Biasalah, Balkish dengan Amin kan duduk asing-asing. Sesekali tu mungkin baby kamu rindu ayah dia. Kalau boleh, sering-seringlah Balkish jumpa Amin”

Balkish diam lagi. Permintaan atau suruhan ibu itu belum tentu dapat dilaksanakannya. Dia kembali melihat Amin.

Friday, July 18, 2014

SNDKI bab 29

Bab 29
Sudah beberapa hari berlalu sejak Balkish dan Amin mendapat tahu yang mereka bakal menimang cahaya mata dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Tetapi sejak mengetahui berita itu, Amin seolah-olah menjauh daripada Balkish. Jarang sekali Amin mahu menelefon atau sms kepadanya. Mungkinkah lelaki itu memerlukan sedikit masa lagi untuk berfikir?
Mungkin agak susah untuk menerima berita itu secara mendadak. Tambahan pula Amin itu bukannya jenis lelaki bertanggungjawab. Fikir Balkish sendirian.
‘Mungkin tengah terkejut lagi’ Balkish faham, tetapi Amin juga harus faham yang sekarang ini dia sangat memerlukannya untuk membantu dan memberikannya semangat. Kandungan di dalam perutnya semakin hari semakin membesar, dan dia harus menjaga kesihatannya dengan baik supaya anak yang bakal lahir nanti sihat. Balkish harus kuat supaya kandungannya juga sihat. Dia sedar akan hakikat itu.
Kebelakangan ini, hatinya pula buat perangai, sering-sering merindui Amin. Wajah Amin sering sahaja muncul saat dia termenung sendirian. Suara ketawa Amin sering sahaja terdengar di kuping telinga saat dia bersendirian. Kata-kata lucu dan romantik yang pernah diucapkan oleh Amin bagai kaset yang diputar-putar di telinganya. Semuanya tentang Amin dirindui tetapi pada saat ini jugalah, Amin berdiam diri. Mungkin lelaki itu memerlukan masa untuk berfikir. Atau dia sibuk dengan tugasannya?
Balkish belum memberitahu sesiapa lagi tentang kehamilannya. Ibu, ayah, mama dan papa belum dikhabarkan dengan berita itu. Biarlah kali ini dia mendengar kata Amin.
 Balkish duduk menunggu teman-teman study groupnya untuk datang. Buku di depannya tidak diendahkan. Yang difikirkannya sekarang adalah kandungannya dan ayah kepada baby ini. Tersenyum sendiri Balkish dibuatnya.
Fakrul memberi salam. Salam keramat umat Islam itu dijawab oleh Balkish. Barulah dia tersedar dari lamunannya. Balkish membetulkan buku-bukunya. Fakrul pula segera mengambil tempat berhadapan dengan Balkish.
“Mana yang lain?” soal Balkish. Dia sebenarnya kalau boleh nak mengelakkan daripada duduk berdua-duaan dengan Fakrul. Malas mahu melayan bicaranya. Balkish melihat ke sekeliling. Mujurlah mereka tidak berdua sahaja di ruangan study group ini. Ada juga beberapa kelompok study group yang lain yang duduk berdekatan dengan mereka.
“Ada dekat library. Sekejap lagi dia orang datang” beritahu Fakrul.
“Kita tunggu dia oranglah, kan?” soalan bodoh itu terpacul dari mulut Balkish. Dia tidak senang berdua-duaan dengan Fakrul. Dia juga tidak selesa dengan kesunyian antara mereka ini. Sengaja dia memulakan perbicaraan. Balkish membuka kembali bukunya dan cuba membaca dulu beberapa baris ayat dari buku itu untuk mengelakkan diri daripada diajak bicara oleh Fakrul.
Tangan Balkish yang diletakkan disebelah bukunya tersentuh dengan tangan Fakrul. Balkish segera menarik tangannya. Dia tersenyum kelat. Mungkin Fakrul secara tidak sengaja menyentuh tangannya.
Fakrul menyentuh dan kemudian memegang tangan Balkish erat. Balkish mengangkat pandangannya dan melihat ke arah Fakrul yang juga turut memandangnya saat itu. Tiada kata yang keluar dari mulut Balkish. Fakrul juga diam.
Setelah sedar yang kali ini Fakrul bukan lagi tidak sengaja menyentuhnya, Balkish segera menarik tangannya. Tetapi kali ini genggaman keras Fakrul seperti tidak mahu melepaskan tangannya. Balkish terus melawan.
“Fakrul, lepaslah!” marah Balkish.
Fakrul memandang tajam ke arah Balkish.
Dari jauh terdengar suara Aiza dan Yani yang sedang berjalan menghampiri mereka. Fakrul cepat-cepat melepaskan tangan Balkish sebelum dilihat oleh kawan-kawannya yang lain. Aiza dan Yani menyapa Balkish yang sedang melihat tajam ke arah lelaki yang duduk dekat dengannya. Fakrul juga tidak mahu kalah. Pandangannya tetap pada wajah Balkish. Aiza dan Yani saling berpandangan antara satu sama lain, pelik dengan situasi tegang antara Balkish dan Fakrul sekarang ini.
“Sorry aku tak sihat sedikit hari ni. Kau orang studylah tanpa aku” ucap Balkish. Dia mengemaskan buku-bukunya. Beg galasnya diambil dan Balkish melangkah laju meninggalkan ruangan itu. Fakrul hanya sekadar melihat.
Aiza dan Yani mengambil tempat duduk. Mereka berdua melihat ke arah Fakrul.
“Kau dah tanya ke pasal tu?” soal Yani.
Fakrul menggeleng.
“Habis tu? Yang Balkish marah sampai macam tu sekali, kenapa?” soal Aiza pelik. Dia tahu yang Balkish sangat marah saat dia meninggalkan study group mereka ini. Sangkaannya Balkish marah kerana Fakrul bertanya tentang apa yang dilihatnya di hotel dahulu. Tetapi ternyata tidak. Kalau bukan kerana itu, kenapa pula Balkish marah sampai begitu sekali?
………………………
Balkish berjalan laju keluar dari bangunan fakultinya. Dia berjalan kaki sahaja untuk ke kolej penempatan. Malu kalau dilihat oleh orang lain yang dia sedang menangis saat ini. Wajahnya ditundukkan sahaja memandang bumi, air matanya keluar menitis tanpa henti. Dia kecewa dengan perbuatan Fakrul terhadapnya. Lelaki itu telah meragut kepercayaannya.
Sanggup Fakrul memperlakukannya sebegitu, sedangkan dia lelaki baik-baik. Memang Fakrul tidak berkopiah macam kebanyakan lelaki-lelaki lain di UIA ini, tetapi dia tetap dianggap lelaki yang baik-baik. Tutur katanya sopan, tidak pernah keluar kata-kata kesat dari bibirnya. Tambahan pula dia berkawan dengan lelaki yang baik-baik seperti Muaz. Kalau mereka ada study group, Fakrul akan tetap pergi solat Jumaat dan tetap mengerjakan solat berjemaah di masjid. Kenapa Fakrul sanggup memegang tangannya? Bukankah dia sedar yang mereka berdua bukan muhrim dan perbuatan Fakrul tadi boleh mengundang kepada fitnah dan maksiat.
…………………………………………………
“Amin, ajaklah Balkish sekali malam ini” pesan Mira.
“Bolehkan, yang?” soal Mira kepada Firdaus. Lengan Firdaus dipaut erat.
“Malaslah” bentak Amin.
“Ajaklah bro” tambah Hisyam pula. Dia bersetuju dengan cadangan Mira setelah dipujuk rayu oleh gadis itu.
“Boleh. Tapi ada syarat”
“Apa syaratnya? Main syarat-syarat pula” sindir Firdaus.
“No drinks, okey? Apa jenis sekalipun, beer ke, vodka ke. No. Okey?”
Mira ketawa lucu. Tidak pernah dia melihat gelagat Amin yang begitu takutkan isteri. Dia akui, sejak Amin berkahwin dengan Balkish, lelaki itu sudah berubah sedikit demi sedikit. Kalau dulu dia meluat dan benci dengan Amin, namun terpaksa saja berjumpa dengannya, kerana Amin teman baik Firdaus. Kalau bukan sebab itu, memang dia tidak mahu melihat Aminpun. Dia benci dengan sikap playboynya yang suka mempermainkan hati perempuan. Lelaki itu juga bangga dengan kekacakan dan ketampanannya. Mamat perasan. I mean, Amin memanglah kacak tapi tak perlulah nak heboh-hebohkan dekat orang. Dan sekarang, dia sudah tidak melihat Amin menggatal sana-sini. Cuma hari itu, entah hantu mana yang merasuk akalnya, tiba-tiba sahaja perangai lama datang kembali. Qistina, anak Dato’ Karim itu dibawa ke hotel. Entah apa tujuannya, adakah hanya untuk membuatkan Balkish cemburu atau memang dah gatal, tapi dia mendapat tahu yang Qistina marah-marah esok paginya kerana Amin langsung tidak mempedulikannya pada malam itu.
Hati Mira terbuka untuk berkawan dengan Amin sekarang ini. Rupa-rupanya masih ada sisi baik pada lelaki playboy dan perosak anak dara orang yang bernama Amin ini.
“Kedua, erm kau orang kalau nak bawa partner masing-masing tolong jangan mesra-mesra sangat. You knowlah Balkish tu macamana. At least respect her” beritahu Amin.
“Oi, banyak sangatlah syarat kau. Susahlah. Tak payahlah ajak Balkish kalau macam ni” jerit Firdaus.
“Kau ni takut bini!” sambung Hisyam pula.
Mira ketawa lucu.
“Janganlah, bro. Aku rasa macam nak bawa Balkish saja malam nanti. Bolehlah. Eh, behave, ya malam ni?”
“Yalah, tapi hadiah birthday Mira kena grand”
Okey. No problem” sambung Amin. Dia tersenyum gembira.
…………………..
Amin pergi menjemput Balkish pada jam yang dijanjikan. Nasib baik gadis itu mahu mengikutinya ke dinner malam ini kerana agak lambat juga dia memberitahu Balkish tentang hal itu. Balkish dilihat masam sahaja wajahnya. Amin diam sahaja saat gadis itu masuk ke dalam keretanya, takut juga mahu memuji kecantikan Balkish malam ini melihatkan ekspresi yang tidak menyenangkan pada wajah itu.
‘Nak kata moody sebab datang bulan, Balkish kan mengandung, mana ada datang bulan. Ke sensitif sebab hamil? Ish tak fahamlah perangai perempuan ni!’ Bisik Amin dalam hati.
………………
“Kau nampak tak tu?” soal Aiza terhadap Yani. Mereka berdua berusaha mengintai kereta yang ditumpangi oleh sahabat baik mereka. Aiza mula pelik melihat Balkish bersiap-siap dengan pakaian cantik-cantik untuk keluar saat dia sampai ke bilik tadi. Mungkin inilah peluangnya untuk melihat siapa teman lelaki Balkish. Dia segera menghantar sms kepada Yani untuk datang ke biliknya saat teman mereka itu melangkah keluar. Sekarang ini, mereka berdua terintai-intai macam budak-budak dari tingkap yang berpagar besi itu. Namun teman lelaki Balkish hanya menunggu di dalam kereta dan kereta sport yang berkaca hitam. Hampa Yani dan Aiza di buatnya.
“Kereta dia cantiklah. Mahal” kata Yani.
Aiza hanya diam. Dia lebih merisaukan keselamatan Balkish.
………………………
Amin memandu keretanya. Dia diam. Balkish juga diam.
‘Cantiknya Balkish. Walaupun dia hanya mengenakan make up yang simple-simple tetapi dia tetap cantik. Dah memang natural beauty. Dan pakaian dress longgar labuh yang dikenakan Balkish tetap anggun walaupun tidak terbelah sana-sini. Setelah sampai ke destinasi, Amin mengajak Balkish mengekorinya ke restoran hotel. Hadiah Mira tidak lupa dibawa.
“Awak okey tak ni?” soal Amin setelah dia berdiam diri. Balkish kelihatan seperti sedang termenung sendirian sejak mereka di dalam kereta lagi.
“Kawan-kawan awak semua dah sampai ke?” soal Balkish mengubah topik. Amin mengangguk.
Balkish berjalan beriringan dengan Amin. Sebaik sahaja mereka sampai ke meja yang telah ditempah sebelumnya, Amin menarik kerusi untuk isterinya. Dia kemudian duduk di sebelah Balkish.
Happy birthday, Mira. Ini hadiah dari kami” ucap Amin. Balkish turut mengucapkan tahniah atas sambutan hari lahir teman baik Amin itu. Mira mengucapkan terima kasih kembali atas hadiah dan kehadiran mereka pada malam ini. Dia masih lagi kekok dengan Balkish walaupun gadis itu kini telah menjadi idolanya kerana berjaya mengubah Amin.
Firdaus memanggil waiter untuk mengambil pesanan mereka. Menu diberikan kepada setiap orang.
“Awak, awak pesankan untuk saya, ya. Saya tak biasa makan makanan macam ini” bisik Balkish kepada Amin. Lelaki itu mengangguk.
“Kalau yang ni okey? Steak and sauce dia sedap. Awak boleh ke makan daging ni? Tak mual-mual?” soal Amin.
“Boleh. Awak, saya teringin nak makan burger. Ada tak burger?”
“Ada, yang ni. Nak? Saya pesankan” bisik Amin lagi.
“Saya nak burger biasa saja. Ramly burger” Balkish senyum.
“Main-main pula” marah Amin.
Balkish cuba mengawal emosinya tetapi sebaik sahaja mendengar Amin tidak mengambil berat akan pesanannya, dia berkecil hati. Balkish terus diam dan langsung tidak memandang Amin.
“Waiter, erm steak ribs 100% cooked with mushroom blackpepper sauce, two for us” beritahu Amin. Mira, Firdaus, Hisyam dan kawan perempuannya turut membuat pesanan untuk mereka. Setelah menjamu selera, Amin dan kawan-kawannya berbual antara mereka. Balkish mahu mencelah namun tidak ada topik yang sesuai untuknya. Dia hanya mampu mendengar cerita yang dibualkan antara Amin dan kawan-kawannya. Sesekali dia turut ketawa mendengar cerita lucu mereka.
“Awak selesa tak? Nak balik?’ soal Amin kepada Balkish di sampingnya. Risau juga jika Balkish tidak suka berada di sini. Lagipun Balkish baru mengenali kawan-kawannya, mungkin Balkish agak susah mahu membawa diri. Sejak dari tadi isterinya itu hanya berdiam diri.
“Balkish ambil course apa?” soal Mira.
Management and accounting”
Degreelah kan?” soal Mira lagi.
Balkish mengangguk.
“Kau tu Amin, cepat sedikit habis. Nanti Balkish habis lebih dulu dari kau, malu” perli Firdaus.
“Aku rileks saja bro. Tak lulus, aku repeat lagi sampai lulus” seloroh Amin. Kawan-kawannya turut ketawa. Mereka semua tahu dengan sikap sempoi Amin itu, lelaki itu terlalu cool, terutama soal pelajarannya.
Setelah agak lama mereka berbual-bual, Balkish meminta diri dari Amin untuk berjalan-jalan di kawasan kolam. Pemandangan di situ sangat cantik kerana dihiasi oleh lampu yang berwarna keemasan yang menyinari pokok tumbuhan yang tumbuh kehijauan. Kombinasi itu membuatkan suasana menjadi lebih romantik.
Balkish berpeluk tubuh menahan kedinginan malam. Suasana sekarang ini sangat menggembirakan dan menciptakan perasaan indah di hati. Dia tidak pernah bermimpi untuk sampai ke tempat secantik dan semahal ini. Kalau bukan kerana Amin, sampai bila-bila pun dia takkan menjejakkan kaki ke tempat mewah sebegini. Orang kata tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia. Begitulah misteri qada’ dan qadar Allah. Siapa sangka hidupnya akan berubah 1800 dari gaya hidupnya waktu sekolah dahulu.
Hye” sapa Mira.
“Hye” balas Balkish.
“Amin cari awak” beritahu Mira. Balkish berkalih ke belakang. Dia mengintai kelibat Amin tetapi tidak kelihatan. Malas mahu berkepit sahaja dengan Amin. Biarlah dia di sini dulu sebentar.
“Biarlah dia” balas Balkish.
Mira ketawa.
“Awak ni luar biasa” kata Mira.
“Kenapa awak cakap macam tu?”
Mira menggelengkan kepalanya. “Seronok dapat berkenalan dengan awak. Dah lama awak berkahwin tetapi hari ini baru saya dapat bertemu dengan isteri Amin Fauzi ni”
“Dah lama awak kenal Amin?” soal Balkish.
“Lama juga. Sampai semua pasal dia saya tahu. And trust me. You would hate to know about his past”
Balkish ketawa lucu. Tidak sangka Mira ini ada sense of humour juga. Kalau dilihat dari gayanya, Mira memang gadis high class. Pakaian dan fesyennya semuanya up to date. Tidak kalah juga teman wanita Hisyam. Kecil rasa diri ini kalau dibandingkan dengan mereka. Baju dress labuh ini dipinjam dari temannya. Patutlah, Amin tidak suka kepadanya. Aku ini anak orang miskin, tak macam kawan-kawan Amin ini. Semuanya anak orang kaya.
By the way, nice to meet you”
“Nak balik dah ke?” soal Balkish. Mira mengangguk.
Happy birthday, Mira” ucap Balkish.
“Thanks for coming” Mira memeluk Balkish dan kemudian dia tersenyum.
“Nanti I bagitahu Amin you ada dekat sini”
……………………..
“Mak cik!” tegur Amin. Balkish berkalih ke arah lelaki itu.
Panggilan mak cik yang dipanggil oleh Amin itu tidak diendahkan.Balkish kagum dengan keindahan landskap di hadapannya itu. Amin berjalan menghampiri Balkish.
“Puas I cari” sambung Amin lagi.
“Jomlah, abang hantar balik” ajak Amin. Balkish diam sahaja. Baru sahaja dia mahu memusingkan badannya, jaket Amin membalut tubuhnya. Mungkin lelaki itu sedar yang dia kesejukan kerana sejak dari tadi Balkish hanya berpeluk tubuh. Balkish memandang Amin di hadapannya, terharu.
“Hah, jangan nak terharu! Itu belum apa-apa!” ujar Amin.
Baru sahaja perasaan terharunya mencambahkan benih di permukaan pasir, Balkish segera memaksa perasaan itu untuk berkubur kembali. Kata-kata Amin membuatkan dia merasa meluat. Balkish mencebik.
Amin melihat ke arah bibir Balkish. Walau apapun ekspresi wajah Balkish, dia tetap cantik. Amin nekad, bibir Balkish didekati. Bibirnya akan mencium bibir itu malam ini. Amin tidak mempedulikan keadaan sekelilingnya. Balkish kaget pada awalnya, tetapi dia segera memberikan reaksi yang mengejutkan Amin.
Tanpa berfikir panjang, wajah Amin ditepis dengan tangannya dan tubuh Amin terdorong ke dalam kolam mandi. Lelaki itu tercelup habis-habisan seperti biskut Hup Seng dicicah ke dalam air teh panas. Amin berdiri di dalam kolam sambil memeluk tubuhnya yang sedang menggigil.
Balkish ketawa lucu. Beberapa orang pelayan yang mendengar bunyi percikan air kolam itu terus meluru untuk membantu mengeluarkan Amin. Dia diberikan tuala untuk menghilangkan kesejukannya. Ketawa Balkish belum lagi berhenti sampailah mereka menjejakkan kaki ke dalam bilik hotel yang terpaksa disewa oleh Amin. Jantung Balkish berdetak kencang saat mereka berdua masuk ke dalam bilik hotel itu.
Amin dan Balkish terpaksa menginap di hotel itu memandangkan baju Amin basah lencun dan terpaksa dicuci. Balkish duduk di sofa sementara Amin masuk ke bilik air untuk melepaskan pakaiannya yang basah. Tidak lama kemudian dia keluar dengan bathrobe terlekat pada tubuhnya. Jantung Balkish berdegup dengan lebih kencang. Kali ini, entah kenapa mata Balkish mencuri pandang ke arah tubuh sasa milik Amin yang sedang berjalan melewatinya. Dari celah lipatan bathrobe yang dikenakan oleh Amin, dia dapat mengintai dada sasa milik suaminya. Amin membuka pintu bilik hotel dan memberikan baju basahnya kepada pekerja hotel yang menunggu di luar sejak dari tadi.
Your hotel ada jual baju tak?” soal Amin.
Pekerja itu menggelengkan kepala. Amin menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Malang betul nasibnya hari ini. Dia kembali menutup daun pintu. Remote control aircond dicapai dan Amin menaikkan suhunya. Dingin dirasa sampai ke tulang. Dia duduk di birai katil.
“Awak order satu bilik ke?” soal Amin selamba. Pelik juga melihat Balkish duduk di sofa biliknya sejak dari tadi.
“Tak ada bilik single yang kosong, yang ada bilik deluxe ni. Saya nak ambil dua tapi saya tengok harga mahal sangat” balas Balkish.
“Kenapa tak ambil? Abang bayarlah esok. Awak ni pun”
Balkish diam.
“Awak tak kisahkan abang naikkan suhu bilik?” soal Amin. Balkish menggeleng. Jantungnya berdegup sangat kencang tapi Amin dilihat selamba sahaja.
‘Ish geram betul dekat si Amin ini. Tidak terlintas ke di fikirannya yang aku ni kekok dalam keadaan sekarang ni?’
“Yang awak tu, asyik pandang bawah sejak dari tadi tu kenapa? Ni tengok suami awak ni, lebih handsome dari lantai tu”
Balkish menjeling. Amin senyum dapat mengusik Balkish. Balkish jadi terdiam. Ada satu perasaan aneh muncul. Wajah Amin dilihat tidak berkelip.
‘Betullah. Wajah Amin lebih handsome dari lantai! Handsome dari semua lelaki yang pernah dia kenal atas muka bumi Allah ini. Rambutnya yang masih basah itu membuatkan Amin kelihatan seperti seorang Amin Fauzi yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Amin yang lain, Amin yang tidak berbau cologne sepanjang hari, Amin yang tidak berambut keras sebab gel rambut mahalnya, Amin tanpa jenama mahal-mahal, seorang Amin tanpa price tag. Amin sekarang adalah Amin Fauzi , anak lelaki kepada Sahar, tanpa hashtag anak Dato’
Amin bersin. Hidungnya dipicit supaya hingusnya tidak keluar.
“Tisu, awak” pinta Amin. Balkish segera mengambil tisu yang disediakan oleh pihak hotel di meja solekan. Tisu itu diberikan kepada Amin.
“Pengotorlah awak ni”
“Normallah ini. Kalau awak kena tolak masuk dalam kolam renang malam-malam, awak pun berhingus macam ni” sindir Amin.
“Yang awak nak cium saya tu kenapa? Depan orang pula tu”
“Awak kan isteriabang. Suka hati abanglah nak cium depan orang ke belakang orang” Amin ketawa bangga.
Balkish diam, Amin pula melihat kea rah isterinya.
“Balkish” panggil Amin.
“Erm” malas Balkish mahu melayan usikan Amin lagi.
“Awak nak tahu tak?” kata Amin. Sengaja dia menimbulkan unsur-unsur suspens sedikit dalam kata-katanya.
“Apa dia?” marah Balkish.
“Saya tak pakai apa-apa pun dalam robe ni”
Balkish tersentak. Dia terdiam dan tercegat. Mukanya pucat lesi. Amin melihat perubahan pada Balkish. Dia ketawa besar.
“Tak sangka awak masih terkena dengan gurauan saya. Everytime I did it, you will fell for it” ketawa Amin masih belum berhenti.
“Baik awak tidur sekarang. nanti esok demam!” marah Balkish. Dia membetulkan sofa tempat dia duduk. Malam ini dia akan tidur di sofa sahaja. Biarlah Amin yang tidur di katil.
“Sembanglah dulu” ajak Amin.
“Saya nak tidur” Balkish membuka jarum peniti pada tudungnya. Tudung itu akhirnya dicabut dari kepala. Rambut Balkish yang panjang mengurai itu dibiarkan lepas bebas. Amin terdiam. Sudah lama dia tidak melihat Balkish tanpa auratnya dilindungi. Dia tidak dapat menahan dirinya dari terus memerhatikan keindahan ciptaan tuhan di hadapannya itu.
“Apa awak buat tu???” soal Amin kasar.
Balkish terkejut mendengar jerkahan Amin. Dia berpaling ke arah Amin.
“Apa pula ni?” marah Balkish lagi.
“Kenapa awak buka tudung?” soal Amin.
“Kenapa pula. Saya nak tidur. Takkan nak tidur dengan bertudung?”
“Pa..pa..pakai balik tudung awak!”
“Malaslah nak layan awak ni”
“Balkish! abang cakap pakai!” marah Amin.
Balkish agak terkejut melihat Amin marah sekali kepadanya. Buka tudung saja pun. Itupun depan Amin juga, bukannya orang lain. Apa yang marah sangat ni?
“Ambil barang-barang awak tu semua, letak sini. Awak ..er..er.. gerak sana sekejap?” arah Amin. Dia menunjukkan ke arah sudut yang paling jauh dari katilnya. Balkish terpaksa menurut. Dia mengambil beg tangan dan tudungnya dikenakan kembali ke kepalanya. Serabai tudung itu melekat ke wajahnya. Rambutnya keluar dari tudung yang hanya disaukkan ke kepalanya dengan cepat kerana tidak mahu dimarahi oleh Amin. Dia berjalan ke arah sudut yang ditunjukkan oleh Amin. Lelaki itu akhirnya berjalan ke arah sofa tempat Balkish duduk tadi.
“Awak boleh pergi ke katil sekarang. Tidur situ. Biar abang tidur sini” beritahu Amin.
Balkish membaringkan tubuhnya ke katil. Dia pelik dengan perubahan sikap Amin dan perangainya yang kebudak-budakan. Kenapa disuruh ke sudut yang paling jauh dari tempat tidur tadi? Kalau betul nak bertukar tempat tidur kenapa tidak suruh sahaja aku ke situ? Kenapa harus membuatkan aku berdiri agak jauh daripadanya? Balkish berfikir-fikir sendirian. Tiba-tiba satu jawapan muncul di fikirannya. Jangan-jangan…jangan-jangan…Amin teruja melihat dia tanpa tudungnya tadi, dengan dress ini lagilah! Malunya dipandang begitu oleh Amin. Malunya!