Bab 26
…….Flashback…
Fakrul masuk ke bilik dan menghempukkan badannya ke
katil. Setelah menghantar Balkish ke kolejnya, dia berjalan pulang ke kolej
lelaki. Permintaan atau ajakan Yani untuk menemaninya makan tidak diendahkan.
Dia mahu kalau dengan Balkish tapi bukan dengan Yani.
Perutnya berbunyi nada keroncong minta isinya
ditambah dengan makanan. Sejak tengahari tadi Fakrul cuma makan makanan ringan.
Dia tidak sempat untuk mengisi perut dengan nasi. Matanya pula minta ditutupi. Yang
mana satu mahu didahulukan? Makan atau tidur?
Semalaman dia bersengkang mata untuk menyiapkan
nota-nota study groupnya. Seharusnya
nota itu dikerjakan beberapa hari yang lalu, tetapi dia syik dan leka melayani permainan
games online yang baru diinstal. Jadi tugasan-tugasan kuliah
semuanya tertangguh sehinggalah dia menyiapkannya malam tadi.
“Oi, nak tidur dah ke? Solatlah dulu, dah pukul
berapa dah ni” tegur Muaz apabila melihat gaya teman sebiliknya itu yang mahu tidur
petang.
“Aku penatlah. Aku rest dulu sekejap. Nanti 30 minit lagi, kau kejutkan aku untuk
solat” balas Fakrul.
Muaz menggelengkan kepala dengan sikap teman
sebiliknya itu. Fakrul terus terlena dibuai mimpi indah.leteran Muaz hanya sekadar
berlegar-legar di ruang bilik, langsung tidak masuk dan tembus ke telinga. Sekejap
sahaja Fakrul sudah terlelap tanpa mendahulukan solat Asar.
…………………………………………
Sekejap-sekejap Fakrul berguling ke kiri dan sekejap-sekejap
ke kanan pula. Setelah puas tidur, matanya dibuka perlahan-lahan dan kelibat
Muaz terlihat di pandangan. Lelaki itu sedang belajar di katilnya. Dengan rasa malas
dan lembik, Fakrul bangun dari tidur lalu duduk di birai katil.
“Best giler tidur” kata Fakrul sambil menggeliat
puas. Sudah agak lama barangkali dia tertidur sehinggakan penatnya yang terasa
selepas kuliah kini sudah hilang.
Muaz tidak mengendahkannya. Fakrul melihat ke luar
tingkap. Sudah gelap dan kelam. Hanya lampu neon kuning yang menyuluh jalan raua
bertentangan dengan bilik mereka.
“Dah pukul berapa ni?’ di luar sana sudah tidak secerah
petang tadi. kelihatan beberapa orang mahasiswa kolej sedang berjalan di pinggiran
jalan. Mungkin mereka dari kafe yang berhampiran.
“Pukul 10 malam dah ni” balas Muaz.
“Kenapa kau tak kejut aku bangun?” marah Fakrul.
“Aku dah kejut, kau yang tak nak bangun. Selepas 30
minit pun aku kejut. Waktu solat Maghrib pun aku kejut, kau yang tak nak
bangun” beritahu Muaz.
“Aku mengantuk sangat” balas Fakrul.
“Main game onlinelah
tu”
Fakrul diam. Kata-kata Muaz itu ada benarnya. Dia
bangun dan mencapai tuala untuk ke bilik
air. Setelah mandi beberapa minit, dia kembali ke bilik dengan hanya bertuala
paras pinggang.
“Kau dah makan?” soal Fakrul kepada teman sebiliknya
itu.
“Aku makan Maggie je”
“Jomlah keluar. Aku lapar ni”
“Malaslah. Banyak kerja aku nak kena siapkan. Kalau
kau keluar, belikan untuk aku sekali” pesan Muaz.
“Kau nak apa?”
“Apa-apa jelah,
asalkan boleh dimakan”
Fakrul mengangguk, dia tahu kegemaran teman
sebiliknya itu. Kalau bukan nasi goreng USA mesti nasi goreng ikan masin.
Fakrul mengenakan pakaiannya lalu keluar dari bilik.
Dia ke gerai makan yang selalu dikunjungi oleh mereka yang terletak berhampiran
dengan kawasan kampus. Dia memilih untuk membeli di luar makanan di luar kampus
sahaja kerana harga makanan di luar lebih murah dan ada gerai yang menyajikan
makanan lebih enak berbanding gerai-gerai makanan di dalam kampus.
Motornya diparkir berdekatan dengan gerai makan supaya
dia tidak perlu berjalan jauh. Pelanggan gerai Selera Orang Melayu itu memang
sentiasa ramai, jadi Fakrul terpaksa menunggu agak lama. Dia memilih untuk
membeli makanan yang dibungkus. Lebih berselera kalau makan berdua dengan Muaz
berbanding makan sendiri di sini. Setelah pesanannya siap, Fakrul memandu
motornya menelusuri jalan untuk pulang ke kampus. Dia berhenti di traffic light terakhir sebelum masuk ke
jalan utama ke kampus. Matanya tertacap pada sebuah susuk kenderaan mewah berwarna
hitam metallic model BMW di sebelah
motornya. Kerdil rasa dirinya dibandingkan dengan lelaki pemilik kereta mewah itu.
Matanya tidak boleh dialihkan dari kereta. Cantiknya! Best kalau dapat bawa kereta macam ni! Fakrul melihat ke dalam
kereta, mengintai pemilik kenderaan mewah ini. Handsomekah? Dari balik cermin hitam itu, dia dapat melihat wajah
si lelaki bertuah yang dapat memandu kereta mewah ini menglilingi bandaraya
Kuala Lumpur. Handsome! Sesuailah.
Sepadan dengan keretanya.
Fakrul mengintai lagi wajah gadis di sebelah si
pemandu. Gadis mana yang bertuah sekali dapat menangguk ikan besar di dalam
lautan yang luas ini. Pasti wanita itu tidak kurang cantiknya!
Wajah wanita di sebelah tempat duduk pemandu itu
diitai, wajah itu seperti… Dia cam sekali dengan seraut wajah ayu itu. Balkish!
Fakrul sangat terkejut melihat gadis yang wajahnya mirip
dengan Balkish bersama-sama dengan lelaki yang tidak dikenalinya di dalam
sebuah kereta mewah. Macam-macam tanggapan mula menghantui fikirannya. Fakrul
cuba mengawal perasaannya yang mula menjadi marah dan geram. Dia tidak sangka Balkish
begitu orangnya.
Sabar dulu Fakrul, tenangkan diri, jangan-jangan lelaki
itu keluarga Balkish. Fakrul bermonolog sendirian. Tapi Balkish anak sulung,
dia tidak mempunyai abang. Balkish juga bukannya dari golongan keluarga
mewah-mewah jadi mustahil lelaki itu adalah ahli keluarganya.
Lampu isyarat bertukar ke warna hijau. Tanpa
berfikir panjang, Fakrul mengekori kereta mewah itu sampailah kereta itu
membelok masuk ke tempat parkir sebuah hotel bertaraf berbintang-bintang.
Motornya diberhentikan di pinggir jalan sahaja. Dia mengekori langkah Balkish
yang keluar dari kereta bersama lelaki tersebut dan masuk ke dalam hotel.
Fakrul terhendap-hendap macam penyiasat persendirian
yang tak lulus nak jadi spy.
Perbuatannya itu disedari dan mengundang rasa curiga seorang pengawal security yang sejak dari tadi
memerhatikannya. Pengawal keselamatan itu akhirnya menahan Fakrul daripada
masuk ke dalam lobi hotel.
Setelah perbuatannya itu dihalang, Fakrul akhirnya
berputus asa mahu mengekori Balkish lagi. Dia memandu motornya kembali ke
kolej.Sesampainya di bilik, makanan yang dibelinya dicampakkan ke meja.
Terkejut Muaz melihat perubahan sikap teman sebiliknya itu. Tadi baik-baik je keluar, sekarang balik marah-marah.
“Kenapa dengan kau ni?” soal Muaz.
“Kau tahu aku nampak apa tadi?” marah Fakrul.
Suaranya tinggi. Muaz juga turut terkejut. Dia tidak pernah melihat Fakrul
semarah ini sebelum ini.
“Manalah aku nak tahu”
“Aku nampak Balkish. Dia masuk hotel dengan seorang
lelaki. Panas aku macam ni!”
“Sabar dulu. betul ke tu Balkish?” soal Muaz meminta kepastian. Jangan sampai cerita
ini menimbulkan fitnah kepada seorang wanita muslimah yang baik seperti
Balkish.
“Aku kenal sangat dengan Balkish tu, dari cara dia berjalan
sampai baju yang dia pakai pergi kelas pun aku dah hafal. Aku dengar tapak kaki
dia pun aku dah tahu itu dia. Inikan pula aku Nampak dengan mata aku sendiri. Baju
yang dia pakai tu aku pun aku pernah nampak dia pakai masa pergi kelas”
“Sabar dulu Fakrul. Kau ni marah macam ni kenapa?
Macamlah Balkish tu isteri kau”
“Dia bakal isteri aku, aku ingat dia perempuan
baik-baik. Tapi macam ni dia buat dekat aku. Kalau aku tahu dia perempuan macam
tu, dah lama dah aku…”
“Apa kau cakap ni. Kita tak tahu lagi hal sebenar.
Jangan nak buat kesimpulan melulu”
“Apa yang melulu? Aku Nampak dia masuk hotel. Hotel
mewah pula tu. Lelaki tu pun bawa kereta BMW.
Patutlah dengan aku yang pakai motor kapcai ni dia tak nak layan. Kalau dah malam-malam
macam ni kalau masuk hotel nak buat apa lagi? Kalau kau kat tempat aku, kau pun
mesti fikir macam tu kan?”
Muaz terdiam. Kalau aku kat tempat Fakrul?
Nauzubillah, aku harap aku takkan pernah mengalami situasi macam ni. Mungkinkah
aku akan bertindak seperti Fakrul?
Fakrul terduduk di birai katilnya. Entah bila,
matanya basah bergenang dengan air mata.
“Sampai hati dia buat aku macam ni” esak tangis
Fakrul mula kedengaran. Muaz bangun dari duduknya dan berjalan menghampiri
Fakrul. Dia duduk di sebelah teman sebiliknya itu.
“Sabar. Apa kata kau solat dulu. Nanti besok, cuba
kau tanya hal sebenar dengan Balkish sendiri” kata Muaz sambil menepuk-nepuk
bahu Fakrul. Teman sebiliknya itu dilihat frust
menonggeng seperti Balkish tu telah melakukan kesalahan besar, sedangkan
Fakrul belum memastikan lagi hal yang sebenar daripada Balkish.
Dia yakin Balkish bukanlah seteruk seperti apa yang
difikirkan oleh Fakrul. Barangkali kerana perasaan sayangnya kepada Balkish
membuatkan Fakrul tidak boleh berfikir dengan baik.