Bab 30
Jantungnya
berdegup kencang, entah apa yang membuakan dia berasa berdebar-debar. Balkish
di sebelah dilihat. Dengan tidak sengaja gadis itu juga turut memandangnya.
Mereka sama-sama terdiam. Dengan takut-takut, Amin bersuara, “Awaklah cakap
dekat papa, ya?” pujuk Amin.
Balkish
cepat-cepat menggeleng. Dia melihat kegelisahan yang jelas terpamer pada wajah
lelaki itu. Semalam dia menerima sms daripada Amin. Sms itu membuatkan dia
terkejut dan dalam masa yang sama gembira kerana Amin mengambil keputusan untuk
menyampaikan berita tentang kehamilannya kepada kedua orang tua mereka. Balkish
bersyukur kepada Allah kerana telah membukakan pintu hati lelaki itu.
Hati
wanitanya tersentuh dengan sms yang diterimanya itu. Timbul sedikit rasa yang
susah untuk diinterpretasi kepada lelaki itu. Sayang? Adakah aku sudah mula
menyayangi lelaki ini? Pantaskah Amin untuk disayangi, sedangkan dia tahu
lelaki playboy seperti Amin susah
untuk berubah. Inikah yang dikatakan cinta, hati tetap menyintai walaupun akal
menegah kerana tiada pengakhiran yang baik untuk cerita cinta antara dia dan Amin.
Itu
yang dilihatnya setakat ini. Dengan perangai Amin begini, mustahil lelaki itu
dapat menjadi seorang ayah dan suami yang baik. Balkish harus meletakkan
benteng kukuh di hatinya supaya lelaki playboy
seperti Amin tidak dapat mengetuk masuk ke dalam hatinya.
“Jom”
ajak Amin. Balkish menurut dari belakang.
Kebetulan
waktu itu, Dato’ Sahar dan Datin Hasmah berada di halaman rumah. Dato’ Sahar
seperti biasa membaca surat khabar yang belum sempat dibaca sebelah paginya dan
Datin Hasmah pula sibuk dengan pokok-pokok bonzainya. Amin melangkah
perlahan-lahan ke arah kedua orang tuanya. Dia menarik kerusi untuk Balkish dan
Datin Hasmah.
“Hah,
baru sampai. Jammed ke?” soal Dato’ Sahar
kepada Balkish. Gadis itu mengangguk. Dia memandang ke arah Amin. Mereka berdua
berbisik. Dato’ Sahar terpinga-pinga melihat gelagat anak sulung dengan
isterinya itu.
“Mama,
papa. Sebenarnya Amin dengan Balkish ada benda nak bagitahu” kata Amin.
Datin
Hasmah memandang suaminya. Dato’ Sahar menjungkitkan bahunya sebagai isyarat
dia juga tidak mengetahui berita apa yang bakal disampaikan oleh anak lelaki
mereka itu.
“Mama,
papa, Balkish mengandung. Amin akan jadi ayah!” beritahu Amin. Dia tersenyum
bangga. Balkish juga gembira. Tanpa dipaksa, dia menatap wajah Amin. Wajah
itulah yang dirinduinya sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah”
ucap Dato’ Sahar. Dia bangun dan memeluk anak lelakinya. Bahu Amin
ditepuk-tepuk bangga.
“Papa
bangga dengan Amin” ucap Dato’ Sahar.
Datin
Hasmah memeluk Balkish erat. Menantunya itu telah menanggung penderitaan yang
berat sebelum ini. Tetapi sekarang dia gembira melihat wajah ceria Balkish dan
kegembiraan yang terpamer di raut wajah Amin. Dia bersyukur kerana Amin
menerima berita itu dengan baik dan tidak hanya lepas tangan. Dia turut
berbangga dengan perubahan sikap Amin itu. Semuanya adalah rahmat dari Allah.
Segala apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Dengan apa yang terjadi kepada
Balkish, Amin mulai belajar erti tanggungjawab. Amin sudah berubah sedikit demi
sedikit, demi Balkish.
Setelah
selesai solat Magrib, Balkish turun ke dapur untuk menyediakan makan malam
untuk keluarganya. Dikeluarkan bahan mentah dari dalam peti ais. Sayur-sayuran
dan bawang dipotong. Tidak lama kemudian, Datin Hasmah turun dan menegur
Balkish.
“Eh,
Balkish ni. Rehat saja. Biar mama masak”
“Tak
apalah, mama. Balkish pun jarang-jarang balik. Sekali-sekala tolong memasak apa
salahnya”
“Balkish
kena banyak berehat. Sebelum ni sibuk belajar, hari ini biar mama masak”
“Tak
apalah mama, Balkish tolong”
“Jangan
manjakan sangat Balkish ni. Biar saja dia tolong” sampuk Amin. Dia berjalan ke
arah mamanya. Tubuh Datin Hasmah dipeluk dari belakang.
“Aman
tak balik, ma?” soal Amin.
“Aman
exam sekarang. katanya penting. Lepas
exam dia baliklah” beritahu Datin
Hasmah.
“Nasib
baik Amin tak ambil medic kan ma. Tak
ada life”
Balkish
mencebik. ‘Ambil engineering pun tak
lepas, ada hati nak ambil medic’
“Eh,
rimaslah mama. Nak masak pun susah” tegur Datin Hasmah apabila dipeluk
lama-lama oleh Amin. Amin pula ketawa lucu dan segera melepaskan pelukannya. Dia
menghampiri Balkish yang sedang mencuci sayur di sinki.
“Nak
abang peluk dari belakang?” usik Amin.
“Jangan
nak mengadalah, Amin” bisik Balkish.
“Awak
ni garang sangat. Nanti anak kita ikut perangai garang awak tu” tegur Amin.
“Ma,
Amin nak keluar sekejap” beritahu Amin. Dia tetap lagi berdiri di sebelah
Balkish.
“Nak
pergi mana lagi?” soal Datin Hasmah.
“Nak
beli Ramly burger dekat depan tu. Ada
orang tu mengidam” beritahu Amin. Datin Hasmah mengangguk memberi keizinan. Amin
melihat ke arah Balkish di sebelahnya.
“Buat
tak dengar pula. Anak papa ni nak makan Ramly
burger, ya. Kejap ya, papa carikan” bisik Amin ke telinga Balkish.
Balkish
berhenti dari melakukan kerjanya, dia melihat ke arah Amin yang sudah berjalan
meninggalkanya. Sengaja dia berpura-pura tidak mendengar dan tidak memberikan
reaksi sedangkan dalam hatinya tersentuh dengan kesungguhan dan keprihatinan Amin
untuk memenuhi hasratnya. Tidak disangka Amin masih mengingati pesanannya di
Hotel tempohari.
“Lega
hati mama tengok kamu berdua bahagia” kata Datin Hasmah. Balkish mengalihkan
pandangannya ke arah ibu mertuanya.
Balkish
kelu. Tidak tahu bagaimana mahu memberikan respons.
‘Bahagia?
Masih jauh perjalanan rumah tangga kami untuk sampai ke tahap bahagia. Balkish
belum lagi boleh menerima Amin sepenuhnya. Hati Balkish sudah terbuka, dan
Balkish belum yakin dengan Amin. Malah Balkish takut dengan Amin’
“Dah
bagitahu ayah dan ibu Balkish?” soal Datin Hasmah.
“Belum”
“Bila
Balkish nak bagitahu?”
“Kalau
tak ada apa-apa, esok Amin kata nak ke rumah ayah” beritahu Balkish.
Wajah
Datin Hasmah berubah. Amin? Masih belum ada panggilan abang buat anak lelakinya
itu dari Balkish. Mungkinkah hubungan
mereka tidak sebahagia yang disangka? Atau mungkinkah masih berbekas parut
semalam di hati Balkish? Datin Hasmah tidak mahu berfikiran negatif maka dia
mensetkan fikirannya dengan alasan mungkin kerana mereka ini masih mentah.
Setelah
selesai makan malam, Balkish duduk-duduk sebentar berbual dengan papa dan mama.
Banyak yang menjadi topik perbualan mereka memandangkan dia dan Amin sudah lama
tidak pulang. Datin Hasmah banyak berdiam diri dan hanya mendengar, sesekali sahaja
dia menyampuk perbualan kami bertiga. Entah apa yang menganggu fikiran ibu
mertuanya itu. setelah agak malam, Balkish meminta izin untuk naik ke kamarnya.
Amin juga membontoti dari belakang. Mereka berdua masuk ke bilik.
“Esok
nak pergi pukul berapa?” soal Balkish.
“Janganlah
awal sangat, abang nak bangun lambat sedikit” beritahu Amin.
“Abang
kena tidur dekat balkoni lagi ke ni?” soal Amin sambil mengambil persiapan
tidurnya dari dalam almari.
“Awak
boleh tidur dekat sofa” beritahu Balkish.
Amin
tersenyum gembira.
‘Bye
nyamuk betina dekat balkoni! Malam ni aku tidur dengan isteri aku!’ Kata Amin
dalam hati. Hatinya gembira walaupun tidurnya hanya beralaskan kerusi sofa.
…………………
Amin
dan Balkish keluar dari keretanya dan dari jauh sudah kelihatan ibu Balkish
sedang menunggu mereka di bangku buluh di bawah pohon. Sebaik sahaja terlihat
Balkish, Aminah segera mendapatkan anak sulungnya itu, mereka berdua berpelukan
kerana sudah lama tidak bertemu. Sejak Balkish masuk universiti, dia sudah agak
jarang boleh pulang ke rumah papa, apatah lagi kembali ke rumah ayahnya yang
terletak agak jauh berbanding dengan rumah papa. Semalam semasa menerima khabar
gembira daripada Balkish melalui telefon, Aminah sangat gembira. Dia sudah
berpesan agar sepasang suami isteri itu datang awal pagi. Suaminya juga disuruh
ke pekan untuk membeli sedikit lauk untuk dimasak, istimewa buat anak gadis
mereka yang sedang hamil itu. Amin menghampiri dan menyalami tangan ibu
mertuanya itu.
“Ayah
mana ibu?” soal Amin kepada Aminah.
“Ayah
keluar, sekejap lagi baliklah tu” beritahu Aminah.
“Abang!”
jerit Fahmi sambil berlari dengan sekuat hati mendapatkan Amin. Aminah dan
Balkish memerhatikan kanak-kanak kecil itu riang apabila dapat bertemu dengan Amin.
Tubuh kecil Fahmi dipangku oleh Amin.
“Dah
besar dah. Beratnya” kata Amin.
“Ish,
Fahmi ni kan dah besar. Kasihan Abang Amin tu”
“Biar
saja ibu” sampuk Balkish. Dia melirik ke arah Amin. Dalam hatinya, dia
tersenyum melihat keakraban Fahmi dengan lelaki itu. Cepat sekali Amin
mengambil hati adiknya itu sampaikan Fahmi berlari-lari memeluknya. Kalau dulu,
Fahmi itu sering menerpa ke arahnya dahulu, tapi sekarang nampaknya hati adik
bongsunya itu sudah berpaling ke arah Amin. Tapi Amin memang ada charm itu, charm yang mudah membuatkan orang suka kepadanya.
Aminah
mengajak semuanya masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Tahir dan Farah
pulang dari pekan dengan membawa beberapa plastic barang-barang di tangan
mereka. Farah melihat ke arah Amin. Dalam tidak sengaja, mata mereka
bertentang, namun cepat-cepat Farah melarikan pandangannya.
Amin
sekadar tersenyum. Adik Balkish yang satu ini memang pemalu, jarang sangat
bercakap. Kalau ditegur sepatah, sepatahlah yang dijawab. Waktu kunjungan yang
pertama dulu pun, Farah tidak menegurnya. Amin yang terpaksa memulakan bicara. Kekok
juga sebenarnya tapi lama-kelamaan, Amin faham, mungkin dia seorang yang
pemalu. Farah mengambil semua barang-barang yang dibeli dan dibawa ke dapur
sementara Tahir duduk di kerusi bersebelahan dengan Amin.
“Ayah
sihat?” soal Amin mengambil hati si ayah mertua.
“Alhamdulillah
sihat” jawah Tahir.
Amin
tersenyum. Mahu juga ayah mertuanya itu berbicara dengannya. Kalau dulu, susah.
“Macamana
belajar?” soal Tahir kepada Balkish.
“Alhamdulilah,
okey ayah. Cuma Balkish sibuk sedikit. Jarang Balkish dapat balik walaupun
hujung minggu. Banyak aktiviti kokurikulum”
“Sibuk
pun jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri, sebagai anak” sambung Tahir.
Balkish
mengangguk. Balkish sempat kerling ke arah Amin. Lelaki itu tersenyum
kepadanya.
“Ni
ibu kamu ni. Tiap hari ayah dengar mengeluh teringatkan kamu” sambung Tahir.
“Ibu,
maaflah. Lain kali Balkish telefon ibu ya. Kalau ibu rindu Balkish, ibu pun
boleh call Balkish”
“Ibu
manalah tahu guna telefon. Ayah pun sama” sampuk Aminah.
“Nanti
ibu minta tolong Farah” beritahu Balkish. Dia mengerti perasaan ibunya dan dia
sangat berasa bersalah membuatkan ibunya merisaukan dirinya.
“Doktor
kata kamu hamil berapa bulan?” soal Tahir lagi.
“Dua
bulan” sampuk Amin.
“Alhamdulillah”
sama-sama Tahir dan Aminah memanjatkan syukur. Namun ada kerisauan yang
bertandang di hati seorang ibu. Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun tentang
kerisauannya itu walaupun kepada suaminya sendiri. Aminah berhasrat mahu
bertanya kepada Tahir tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicaranya.
“Fatin
man, bu” soal Balkish tentang adiknya yang seorang lagi itu.
“Ke
sekolah. Ada kelas tambahan” sambung Aminah.
Balkish
melihat ke jam dinding, mungkin sebentar lagi adiknya itu akan pulang.
Balkish
dan Aminah berjalan ke dapur. Mereka berdua mahu menyiapkan makan siang untuk
mereka sekeluarga. Tahir membawa diri ke biliknya. Setelah pulang dari pekan
itu dia berasa penat dan mahu berehat di kamarnya sahaja. Amin keluar ke
perkarangan rumah untuk mengambil angin pagi. Dia berbaring di bangku buluh,
mahu tidur tetapi tidak terlelap. Kelihatan Fatin berjalan dari jauh dengan
sepasang baju sekolah dan beg sandang yang digalasnya. Kelihatan berat sekali
isi beg yang harus digalas itu. Amin duduk dan mahu menegur tapi terlihat Fatin
yang sedang menangis. Dia kehairanan. Dipanggil sahaja kanak-kanak itu datang
kepadanya. Fatin menurut dan duduk di sebelah Amin. Beg galasnya diletakkan di
sisi.
“Kenapa
menangis ni?” soal Amin.
Kanak-kanak
itu masih menangis teresak-esak. Bahunya terhinjut-hinjut. Tudung sekolah
ditarik ke belakang kerana sudah menutup separuh dahi.
“Cuba
cakap dekat abang” pujuk Amin lagi.
“Fatin
cerita, abang jangan cakap dekat siapa-siapa” akhirnya kanak-kanak itu mahu
berbicara.
Amin
mengangguk.
“Kawan-kawan
sekolah ejek Fatin lagi. Dia orang kata Fatin busuk”
“Kenapa
dia orang cakap macam tu?”
“Sebab
baju sekolah Fatin buruk, warna kuning. Bukan sebab Fatin tak cuci, tapi sebab
baju sekolah ni, baju lama” Tangisannya semakin keras. Sedih dan pilu
mengenangkan sikap kawan-kawan yang tidak mengerti tentang kesusahan dan
kemiskinan keluarganya.
“Tak
cakap dekat cikgu?’ soal Amin.
“Cikgu
marah dia orang tapi esok, dia orang buat lagi”
“Tak
cakap dekat ayah?” soal Amin.
Fatin
menggeleng. “Nanti ayah susah hati” Kanak-kanak kecil itu menangis lagi.
“Dahlah,
jangan menangis” pujuk Amin. Tangisan Fatin belum berhenti. Dia tidak
mengarapkan apa-apa tapi cukuplah ada seseorang yang dapat mendengar
rintihannya. Dia tidak boleh meluahkan kepada sesiapapun termasuk ayah, ibu
atau kakak Balkish kerana dia tahu mereka semua telah berusaha untuk mencari
rezeki. Dia tahu tentang kemiskinan keluarganya dan dia tahu tentang kepayahan
ayahnya untuk mencari rezeki, dan kerana sebab itulah, dia tidak memberitahu
hal ini kepada sesiapapun.
Fatin
terkejut apabila tubuhnya diangkat oleh Amin. Tidak pernah dia diperlakukan
sebegitu. Tambahan pula dia bukannya anak kecil lagi, dah 11 tahun. Abang
kandungnya sendiri, Fahim tidak pernah memperlakukannya sedemikian.
“Abang
Amin!” jerit Fatin.
“Hah,
kan dah tak nangis”
“Fatin
nak turun!”
“Hari
ni, Fatin dengan Fahmi kena temankan abang pergi pekan. Okey!?”
“Tak
nak”
“Degil.
Sama dengan kak Balkish. Tak nak tahu ke kenapa abang Amin nak pergi pekan?”
soal Amin
“Kenapa?”
Fatin bertanya.
“Hari
ni, abang rasa nak pergi beli barang-barang sekolah Fatin. Nak?”
Perlahan-lahan
Fatin mengangguk. Wajahnya senyum.
“Kita
ajak Fahmi dengan Kak Balkish sekali” beritahu Amin. Beg sekolah yang sudah
koyak namun ditampal dengan kain biasa dan dijahit tangan itu digalas di
pundak. Amin melangkah masuk ke dalam rumah sambil mendukung Fatin.
Dia
ke dapur untuk mendapatkan Balkish. Farah, Balkish dan Aminah terkejut melihat Amin
yang mendukung Fatin yang sudah besar dan berat itu.
“Ni
kenapa ni?” soal Aminah pelik.
“Hari
ini, ada seorang puteri dalam rumah kita ni” beritahu Amin.
Balkish
mendapatkan Amin.
“Awak
ni kenapa?” soal Balkish pelik dengan perubahan sikap Amin itu.
“Awak,
temankan kita orang pergi pekan” ajak Amin.
“Nak
buat apa?” soal Balkish marah. Malas dia mahu melayan kerenah Amin.
“Rahsia.
Awak kena ikut baru awak tahu” ajak Amin.
“Jomlah
kakak” ajak Fatin pula. Akhirnya Balkish terpaksa akur dengan permintaan Amin
dan Fatin itu. Dia juga tertanya-tanya, apalah yang menjadi komplot antara Amin
dan adiknya itu. Fahmi turut dibawa mengikuti mereka masuk ke kereta.
Amin
memberhentikan keretanya di parkir samping jalan. Mereka berempat keluar dari
perut kereta. Dia menggendong Fatin dalam dukungnya. Fahmi pula dipimpin oleh
Balkish.
“Awak
ni kenapa?” soal Balkish pelik. Amin tersenyum sahaja. Mereka berhenti di
sebuah kedai pakaian, Amin mengajak Balkish masuk.
“Nak
cari apa, awak?” soal Balkish lagi.
“Cari
uniform untuk Fatin dan Fahmi. Kalau awak nak juga pun boleh” beritahu Amin
sambil bergurau. Balkish melirik manja sambil tertawa. Amin menurunkan Fatin
dari dukungannya dan menyuruhnya untuk mencari pakaian yang ingin dibelinya.
Fahmi pula mengikut sahaja Fatin. Wajah mereka berdua sangat gembira.
“Fatin
ada cakap apa-apa ke dekat awak?’ soal Balkish.
“Rahsia”
balas Amin.
“Tak
elok awak manjakan sangat budak-budak ni. Nanti mereka terbiasa meminta-minta”
tegur Balkish.
“Saya
hanya menyediakan keperluan mereka” balas Amin.
“Thanks
Amin” beritahu Balkish. Dia terharu dengan kebaikan Amin. Dia tahu bagi lelaki
itu, wang bukanlah masalah besar dan dia bukannya seorang yang berkira. Tetapi
baginya keikhlasan Amin dalam berbelanja untuk adik-adiknya adalah suatu
kebaikan yang jarang ditunjukkan kepadanya ataupun kepada ahli keluarganya yang
lain.
Balkish
merenung ke wajah lelaki itu. Kacak, tak payahlah nak dihuraikan lagi. Wajah
itu juga yang sering berkunjung ke dalam imaginasinya saat dia berada di
kampus. Sejak dia mengandung ini, sering-sering juga dia teringatkan Amin.
Kalau dulu tak sangat. Dia juga agak terbuka dengan perlakuan dan gurauan Amin.
Tidak disangka lelaki ini menjadi suaminya sedangkan dulu dia menyukai Amin
dalam diam. Namun setelah kejadian pahit itu, dia membenci Amin dengan sepenuh
hati. Tapi sekarang, lain pula perasaan yang timbul buat suaminya itu.
“Kita
kan dah jadi keluarga, tak payahlah nak berterima kasih” balas Amin.
Balkish
senyum, jawapan Amin itu membuatkan hatinya gembira. Tanpa disangka Amin juga
berpaling ke arahnya. Mata mereka bertentangan. Kerana perasaan takut, Balkish
segera melarikan pandangannya dan mengikut Fatin. Amin ditinggalkan sendirian.
Setelah
membeli pakaian yang diinginkan, Amin mengajak mereka berjalan-jalan di sekitar
pekan sebelum mereka pulang. Dia belum pernah bersiar-siara di kawasan pekan
ini. Balkish mengikut sahaja kehendak lelaki itu. Fatin didukung oleh Amin.
Adik Balkish itu gembira sekali apabila dibelikan beberapa helai baju baru
termasuk uniform sekolah.
“Kak”
panggil Fahmi.
Balkish
tunduk bertanya kepada adiknya yang paling bongsu itu.
“Kenapa
?” soal Balkish. Wajah Fahmi dilihat sudah masam mencuka.
Fahmi
hanya berdiam diri apabila ditanya.
“Mengantuk
dah ke?” soal Balkish. Fahmi mengangguk laju.
“Nak
balik dah?” soal Amin. Dia kemudiannya melihat ke arah Fatin.
“Sini
abang dukung. Fatin tak kisahkan jalan dengan kak Balkish” soal Amin kepada
Fatin yang masih dalam dukungannya.
Fatin
mengangguk. Amin kemudiannya mendukung Fahmi yang sudah mengantuk itu.
“Kita
nak ke mana lagi ni? Lama lagi ke, Fahmi dah mengantuk dah ni” soal Balkish
kepada Amin. Lelaki itu masih belum mahu pulang.
“Awak
ikut sajalah” balas Amin. Dia akhirnya menjejakkan kaki ke dalam sebuah kedai
basikal. Sengaja Amin kerling ke arah wajah Fatin yang sedang memimpin tangan
Balkish. wajah kanak-kanak itu tersenyum gembira.
“Abang
nak belikan basikal ke?’ soal Fatin gembira.
“Abang
beli kalau Fatin berjanji akan belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin. Dia
senyum kepada Balkish. Isterinya itu diam kerana terkejut.
“Banyak
awak spend duit untuk adik-adik saya.
Dahlah Amin” kata Balkish.
“Adik
awak adik saya juga” balas Amin.
“Abang,
Fahmi pun nak!”
“Fahmi
pandai ke naik basikal?” soal Amin sengaja mengusik.
“Kak
Fatin boleh ajar”
“Fahmi
pun kena janji belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin.
“Fahmi
janji” Amin tersenyum lucu melihat gelagat adik Balkish yang paling bongsu itu.
Tadi, katanya mengantuk tapi apabila melihat Kak Fatinnya dapat sebuah basikal
baru, mata Fahmi yang kuyu tadi jadi celik. Amin menurunkan Fahmi. Kanak-kanak
itu kemudiannya berlari mengikut kakaknya, Fatin. Mereka berdua berbincang dan
saling menunjuk ke arah basikal-basikal yang dipamerkan di kedai itu.
“Banyak
awak spend duit hari ni” tegur
Balkish. Dia rasa bersalah kepada Amin kerana menyusahkan lelaki itu. Hatinya
gembira melihat wajah adik-adiknya yang berseri-seri mendapat basikal baru,
namun tidak enak perasaannya terhadap Amin. Tambah menyakitkan hati lagi
apabila memikirkan dia terhutang budi dengan lelaki itu.
“Happy saja dua orang tu dapat basikal
baru” Amin senyum melihat gelagat Fahmi dan Fatin.
Balkish
terdiam. Matanya hanya menatap susuk tubuh lelaki yang membelakanginya itu
dan lelaki itu telah bergelar suaminya. Sayang?
Suke? Balkish turut bingung dengan
oerasaannya sendiri. Apakah rasa yang sesuai untuk mentafsir perasaannya saat
ini terhadap lelaki itu?
………………………
Selesai
makan malam dan solat Isyak, Balkish keluar dari biliknya. Dia berjalan keluar ke
arah pintu rumah yang masih lagi ternganga luas. Biasanya pada jam-jam begini
pintu rumah sudah tertutup rapat namun kerana Fatin dan Fahmi yang terlalu
teruja untuk mencuba basikal baru mereka, pintu itu dibirkan menganga.
Balkish
berdiri di samping pintu dan menyandarkan tubuhnya di dinding. Dari jauh dia
dapat melihat Amin yang sedang membantu Fahmi untuk belajar mengayuh basikal.
Sesekali kelihatan Fahmi mencebik ke arah Fatin yang mengetawakannya kerana
masih tidak tahu mengayuhsendiri. Amin setia memegang basikal supaya Fahmi
tidak terjatuh. Balkish memerhatikan Amin yang sibuk melayani kerenah Fahmi.
“InsyaAllah,
Amin akan jadi ayah yang baik untuk anak kamu” tegur ibu yang mungkin sudah
lama memerhatikan Balkish.
“Ibu”
tegur Balkish.
“Tengoklah
cara dia layan Fahmi. Ibu rasa Amin akan jadi seorang ayah yang baik” ulang Aminah
lagi. Walaupun Amin bukanlah menantu pilihannya namun lama-kelamaan dia boleh
menerima suami kepada Balkish itu. Amin pula tidak kekok bersama dengan keluarganya
yang biasa-biasa ini.Kalau dulu, dia tidak menyukai Amin atas perbuatannya,
tapi entah kenapa Amin pandai mengambil hati.
“Ibu,
Balkish nak tanya sedikit”
“Tanya
apa?”
“Sejak
Balkish mengandung ni, perangai Balkish banyak berubah. Terutama kalau
melibatkan Amin”
“Berubah
macamana?”
“Sekejap-sekejap
Balkish teringatkan dia. Kadang-kadang sampai menganggu”
Aminah
tersenyum lucu.
“Baguslah
kalau macam tu. Balkish dengan Amin kan dah jadi suami isteri” sampuk Aminah.
Balkish
terdiam.
“Mungkin
perawakan bayi. Biasalah, Balkish dengan Amin kan duduk asing-asing. Sesekali
tu mungkin baby kamu rindu ayah dia.
Kalau boleh, sering-seringlah Balkish jumpa Amin”
Balkish
diam lagi. Permintaan atau suruhan ibu itu belum tentu dapat dilaksanakannya.
Dia kembali melihat Amin.