Tuesday, September 2, 2014

SNDKI bab 30

Bab 30
Jantungnya berdegup kencang, entah apa yang membuakan dia berasa berdebar-debar. Balkish di sebelah dilihat. Dengan tidak sengaja gadis itu juga turut memandangnya. Mereka sama-sama terdiam. Dengan takut-takut, Amin bersuara, “Awaklah cakap dekat papa, ya?” pujuk Amin.
Balkish cepat-cepat menggeleng. Dia melihat kegelisahan yang jelas terpamer pada wajah lelaki itu. Semalam dia menerima sms daripada Amin. Sms itu membuatkan dia terkejut dan dalam masa yang sama gembira kerana Amin mengambil keputusan untuk menyampaikan berita tentang kehamilannya kepada kedua orang tua mereka. Balkish bersyukur kepada Allah kerana telah membukakan pintu hati lelaki itu.
Hati wanitanya tersentuh dengan sms yang diterimanya itu. Timbul sedikit rasa yang susah untuk diinterpretasi kepada lelaki itu. Sayang? Adakah aku sudah mula menyayangi lelaki ini? Pantaskah Amin untuk disayangi, sedangkan dia tahu lelaki playboy seperti Amin susah untuk berubah. Inikah yang dikatakan cinta, hati tetap menyintai walaupun akal menegah kerana tiada pengakhiran yang baik untuk cerita cinta antara dia dan Amin.
Itu yang dilihatnya setakat ini. Dengan perangai Amin begini, mustahil lelaki itu dapat menjadi seorang ayah dan suami yang baik. Balkish harus meletakkan benteng kukuh di hatinya supaya lelaki playboy seperti Amin tidak dapat mengetuk masuk ke dalam hatinya.
“Jom” ajak Amin. Balkish menurut dari belakang.
Kebetulan waktu itu, Dato’ Sahar dan Datin Hasmah berada di halaman rumah. Dato’ Sahar seperti biasa membaca surat khabar yang belum sempat dibaca sebelah paginya dan Datin Hasmah pula sibuk dengan pokok-pokok bonzainya. Amin melangkah perlahan-lahan ke arah kedua orang tuanya. Dia menarik kerusi untuk Balkish dan Datin Hasmah.
“Hah, baru sampai. Jammed ke?” soal Dato’ Sahar kepada Balkish. Gadis itu mengangguk. Dia memandang ke arah Amin. Mereka berdua berbisik. Dato’ Sahar terpinga-pinga melihat gelagat anak sulung dengan isterinya itu.
“Mama, papa. Sebenarnya Amin dengan Balkish ada benda nak bagitahu” kata Amin.
Datin Hasmah memandang suaminya. Dato’ Sahar menjungkitkan bahunya sebagai isyarat dia juga tidak mengetahui berita apa yang bakal disampaikan oleh anak lelaki mereka itu.
“Mama, papa, Balkish mengandung. Amin akan jadi ayah!” beritahu Amin. Dia tersenyum bangga. Balkish juga gembira. Tanpa dipaksa, dia menatap wajah Amin. Wajah itulah yang dirinduinya sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah” ucap Dato’ Sahar. Dia bangun dan memeluk anak lelakinya. Bahu Amin ditepuk-tepuk bangga.
“Papa bangga dengan Amin” ucap Dato’ Sahar.
Datin Hasmah memeluk Balkish erat. Menantunya itu telah menanggung penderitaan yang berat sebelum ini. Tetapi sekarang dia gembira melihat wajah ceria Balkish dan kegembiraan yang terpamer di raut wajah Amin. Dia bersyukur kerana Amin menerima berita itu dengan baik dan tidak hanya lepas tangan. Dia turut berbangga dengan perubahan sikap Amin itu. Semuanya adalah rahmat dari Allah. Segala apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Dengan apa yang terjadi kepada Balkish, Amin mulai belajar erti tanggungjawab. Amin sudah berubah sedikit demi sedikit, demi Balkish.
Setelah selesai solat Magrib, Balkish turun ke dapur untuk menyediakan makan malam untuk keluarganya. Dikeluarkan bahan mentah dari dalam peti ais. Sayur-sayuran dan bawang dipotong. Tidak lama kemudian, Datin Hasmah turun dan menegur Balkish.
“Eh, Balkish ni. Rehat saja. Biar mama masak”
“Tak apalah, mama. Balkish pun jarang-jarang balik. Sekali-sekala tolong memasak apa salahnya”
“Balkish kena banyak berehat. Sebelum ni sibuk belajar, hari ini biar mama masak”
“Tak apalah mama, Balkish tolong”
“Jangan manjakan sangat Balkish ni. Biar saja dia tolong” sampuk Amin. Dia berjalan ke arah mamanya. Tubuh Datin Hasmah dipeluk dari belakang.
“Aman tak balik, ma?” soal Amin.
“Aman exam sekarang. katanya penting. Lepas exam dia baliklah” beritahu Datin Hasmah.
“Nasib baik Amin tak ambil medic kan ma. Tak ada life”
Balkish mencebik. ‘Ambil engineering pun tak lepas, ada hati nak ambil medic’
“Eh, rimaslah mama. Nak masak pun susah” tegur Datin Hasmah apabila dipeluk lama-lama oleh Amin. Amin pula ketawa lucu dan segera melepaskan pelukannya. Dia menghampiri Balkish yang sedang mencuci sayur di sinki.
“Nak abang peluk dari belakang?” usik Amin.
“Jangan nak mengadalah, Amin” bisik Balkish.
“Awak ni garang sangat. Nanti anak kita ikut perangai garang awak tu” tegur Amin.
“Ma, Amin nak keluar sekejap” beritahu Amin. Dia tetap lagi berdiri di sebelah Balkish.
“Nak pergi mana lagi?” soal Datin Hasmah.
“Nak beli Ramly burger dekat depan tu. Ada orang tu mengidam” beritahu Amin. Datin Hasmah mengangguk memberi keizinan. Amin melihat ke arah Balkish di sebelahnya.
“Buat tak dengar pula. Anak papa ni nak makan Ramly burger, ya. Kejap ya, papa carikan” bisik Amin ke telinga Balkish.
Balkish berhenti dari melakukan kerjanya, dia melihat ke arah Amin yang sudah berjalan meninggalkanya. Sengaja dia berpura-pura tidak mendengar dan tidak memberikan reaksi sedangkan dalam hatinya tersentuh dengan kesungguhan dan keprihatinan Amin untuk memenuhi hasratnya. Tidak disangka Amin masih mengingati pesanannya di Hotel tempohari.
“Lega hati mama tengok kamu berdua bahagia” kata Datin Hasmah. Balkish mengalihkan pandangannya ke arah ibu mertuanya.
Balkish kelu. Tidak tahu bagaimana mahu memberikan respons.
‘Bahagia? Masih jauh perjalanan rumah tangga kami untuk sampai ke tahap bahagia. Balkish belum lagi boleh menerima Amin sepenuhnya. Hati Balkish sudah terbuka, dan Balkish belum yakin dengan Amin. Malah Balkish takut dengan Amin’
“Dah bagitahu ayah dan ibu Balkish?” soal Datin Hasmah.
“Belum”
“Bila Balkish nak bagitahu?”
“Kalau tak ada apa-apa, esok Amin kata nak ke rumah ayah” beritahu Balkish.
Wajah Datin Hasmah berubah. Amin? Masih belum ada panggilan abang buat anak lelakinya itu dari  Balkish. Mungkinkah hubungan mereka tidak sebahagia yang disangka? Atau mungkinkah masih berbekas parut semalam di hati Balkish? Datin Hasmah tidak mahu berfikiran negatif maka dia mensetkan fikirannya dengan alasan mungkin kerana mereka ini masih mentah.
Setelah selesai makan malam, Balkish duduk-duduk sebentar berbual dengan papa dan mama. Banyak yang menjadi topik perbualan mereka memandangkan dia dan Amin sudah lama tidak pulang. Datin Hasmah banyak berdiam diri dan hanya mendengar, sesekali sahaja dia menyampuk perbualan kami bertiga. Entah apa yang menganggu fikiran ibu mertuanya itu. setelah agak malam, Balkish meminta izin untuk naik ke kamarnya. Amin juga membontoti dari belakang. Mereka berdua masuk ke bilik.
“Esok nak pergi pukul berapa?” soal Balkish.
“Janganlah awal sangat, abang nak bangun lambat sedikit” beritahu Amin.
“Abang kena tidur dekat balkoni lagi ke ni?” soal Amin sambil mengambil persiapan tidurnya dari dalam almari.
“Awak boleh tidur dekat sofa” beritahu Balkish.
Amin tersenyum gembira.
‘Bye nyamuk betina dekat balkoni! Malam ni aku tidur dengan isteri aku!’ Kata Amin dalam hati. Hatinya gembira walaupun tidurnya hanya beralaskan kerusi sofa.
…………………
Amin dan Balkish keluar dari keretanya dan dari jauh sudah kelihatan ibu Balkish sedang menunggu mereka di bangku buluh di bawah pohon. Sebaik sahaja terlihat Balkish, Aminah segera mendapatkan anak sulungnya itu, mereka berdua berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu. Sejak Balkish masuk universiti, dia sudah agak jarang boleh pulang ke rumah papa, apatah lagi kembali ke rumah ayahnya yang terletak agak jauh berbanding dengan rumah papa. Semalam semasa menerima khabar gembira daripada Balkish melalui telefon, Aminah sangat gembira. Dia sudah berpesan agar sepasang suami isteri itu datang awal pagi. Suaminya juga disuruh ke pekan untuk membeli sedikit lauk untuk dimasak, istimewa buat anak gadis mereka yang sedang hamil itu. Amin menghampiri dan menyalami tangan ibu mertuanya itu.
“Ayah mana ibu?” soal Amin kepada Aminah.
“Ayah keluar, sekejap lagi baliklah tu” beritahu Aminah.
“Abang!” jerit Fahmi sambil berlari dengan sekuat hati mendapatkan Amin. Aminah dan Balkish memerhatikan kanak-kanak kecil itu riang apabila dapat bertemu dengan Amin. Tubuh kecil Fahmi dipangku oleh Amin.
“Dah besar dah. Beratnya” kata Amin.
“Ish, Fahmi ni kan dah besar. Kasihan Abang Amin tu”
“Biar saja ibu” sampuk Balkish. Dia melirik ke arah Amin. Dalam hatinya, dia tersenyum melihat keakraban Fahmi dengan lelaki itu. Cepat sekali Amin mengambil hati adiknya itu sampaikan Fahmi berlari-lari memeluknya. Kalau dulu, Fahmi itu sering menerpa ke arahnya dahulu, tapi sekarang nampaknya hati adik bongsunya itu sudah berpaling ke arah Amin. Tapi Amin memang ada charm itu, charm yang mudah membuatkan orang suka kepadanya.
Aminah mengajak semuanya masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Tahir dan Farah pulang dari pekan dengan membawa beberapa plastic barang-barang di tangan mereka. Farah melihat ke arah Amin. Dalam tidak sengaja, mata mereka bertentang, namun cepat-cepat Farah melarikan pandangannya.
Amin sekadar tersenyum. Adik Balkish yang satu ini memang pemalu, jarang sangat bercakap. Kalau ditegur sepatah, sepatahlah yang dijawab. Waktu kunjungan yang pertama dulu pun, Farah tidak menegurnya. Amin yang terpaksa memulakan bicara. Kekok juga sebenarnya tapi lama-kelamaan, Amin faham, mungkin dia seorang yang pemalu. Farah mengambil semua barang-barang yang dibeli dan dibawa ke dapur sementara Tahir duduk di kerusi bersebelahan dengan Amin.
“Ayah sihat?” soal Amin mengambil hati si ayah mertua.
“Alhamdulillah sihat” jawah Tahir.
Amin tersenyum. Mahu juga ayah mertuanya itu berbicara dengannya. Kalau dulu, susah.
“Macamana belajar?” soal Tahir kepada Balkish.
“Alhamdulilah, okey ayah. Cuma Balkish sibuk sedikit. Jarang Balkish dapat balik walaupun hujung minggu. Banyak aktiviti kokurikulum”
“Sibuk pun jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri, sebagai anak” sambung Tahir.
Balkish mengangguk. Balkish sempat kerling ke arah Amin. Lelaki itu tersenyum kepadanya.
“Ni ibu kamu ni. Tiap hari ayah dengar mengeluh teringatkan kamu” sambung Tahir.
“Ibu, maaflah. Lain kali Balkish telefon ibu ya. Kalau ibu rindu Balkish, ibu pun boleh call Balkish”
“Ibu manalah tahu guna telefon. Ayah pun sama” sampuk Aminah.
“Nanti ibu minta tolong Farah” beritahu Balkish. Dia mengerti perasaan ibunya dan dia sangat berasa bersalah membuatkan ibunya merisaukan dirinya.
“Doktor kata kamu hamil berapa bulan?” soal Tahir lagi.
“Dua bulan” sampuk Amin.
“Alhamdulillah” sama-sama Tahir dan Aminah memanjatkan syukur. Namun ada kerisauan yang bertandang di hati seorang ibu. Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun tentang kerisauannya itu walaupun kepada suaminya sendiri. Aminah berhasrat mahu bertanya kepada Tahir tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicaranya.
“Fatin man, bu” soal Balkish tentang adiknya yang seorang lagi itu.
“Ke sekolah. Ada kelas tambahan” sambung Aminah.
Balkish melihat ke jam dinding, mungkin sebentar lagi adiknya itu akan pulang.
Balkish dan Aminah berjalan ke dapur. Mereka berdua mahu menyiapkan makan siang untuk mereka sekeluarga. Tahir membawa diri ke biliknya. Setelah pulang dari pekan itu dia berasa penat dan mahu berehat di kamarnya sahaja. Amin keluar ke perkarangan rumah untuk mengambil angin pagi. Dia berbaring di bangku buluh, mahu tidur tetapi tidak terlelap. Kelihatan Fatin berjalan dari jauh dengan sepasang baju sekolah dan beg sandang yang digalasnya. Kelihatan berat sekali isi beg yang harus digalas itu. Amin duduk dan mahu menegur tapi terlihat Fatin yang sedang menangis. Dia kehairanan. Dipanggil sahaja kanak-kanak itu datang kepadanya. Fatin menurut dan duduk di sebelah Amin. Beg galasnya diletakkan di sisi.
“Kenapa menangis ni?” soal Amin.
Kanak-kanak itu masih menangis teresak-esak. Bahunya terhinjut-hinjut. Tudung sekolah ditarik ke belakang kerana sudah menutup separuh dahi.
“Cuba cakap dekat abang” pujuk Amin lagi.
“Fatin cerita, abang jangan cakap dekat siapa-siapa” akhirnya kanak-kanak itu mahu berbicara.
Amin mengangguk.
“Kawan-kawan sekolah ejek Fatin lagi. Dia orang kata Fatin busuk”
“Kenapa dia orang cakap macam tu?”
“Sebab baju sekolah Fatin buruk, warna kuning. Bukan sebab Fatin tak cuci, tapi sebab baju sekolah ni, baju lama” Tangisannya semakin keras. Sedih dan pilu mengenangkan sikap kawan-kawan yang tidak mengerti tentang kesusahan dan kemiskinan keluarganya.
“Tak cakap dekat cikgu?’ soal Amin.
“Cikgu marah dia orang tapi esok, dia orang buat lagi”
“Tak cakap dekat ayah?” soal Amin.
Fatin menggeleng. “Nanti ayah susah hati” Kanak-kanak kecil itu menangis lagi.
“Dahlah, jangan menangis” pujuk Amin. Tangisan Fatin belum berhenti. Dia tidak mengarapkan apa-apa tapi cukuplah ada seseorang yang dapat mendengar rintihannya. Dia tidak boleh meluahkan kepada sesiapapun termasuk ayah, ibu atau kakak Balkish kerana dia tahu mereka semua telah berusaha untuk mencari rezeki. Dia tahu tentang kemiskinan keluarganya dan dia tahu tentang kepayahan ayahnya untuk mencari rezeki, dan kerana sebab itulah, dia tidak memberitahu hal ini kepada sesiapapun.
Fatin terkejut apabila tubuhnya diangkat oleh Amin. Tidak pernah dia diperlakukan sebegitu. Tambahan pula dia bukannya anak kecil lagi, dah 11 tahun. Abang kandungnya sendiri, Fahim tidak pernah memperlakukannya sedemikian.
“Abang Amin!” jerit Fatin.
“Hah, kan dah tak nangis”
“Fatin nak turun!”
“Hari ni, Fatin dengan Fahmi kena temankan abang pergi pekan. Okey!?”
“Tak nak”
“Degil. Sama dengan kak Balkish. Tak nak tahu ke kenapa abang Amin nak pergi pekan?” soal Amin
“Kenapa?” Fatin bertanya.
“Hari ni, abang rasa nak pergi beli barang-barang sekolah Fatin. Nak?”
Perlahan-lahan Fatin mengangguk. Wajahnya senyum.
“Kita ajak Fahmi dengan Kak Balkish sekali” beritahu Amin. Beg sekolah yang sudah koyak namun ditampal dengan kain biasa dan dijahit tangan itu digalas di pundak. Amin melangkah masuk ke dalam rumah sambil mendukung Fatin.
Dia ke dapur untuk mendapatkan Balkish. Farah, Balkish dan Aminah terkejut melihat Amin yang mendukung Fatin yang sudah besar dan berat itu.
“Ni kenapa ni?” soal Aminah pelik.
“Hari ini, ada seorang puteri dalam rumah kita ni” beritahu Amin.
Balkish mendapatkan Amin.
“Awak ni kenapa?” soal Balkish pelik dengan perubahan sikap Amin itu.
“Awak, temankan kita orang pergi pekan” ajak Amin.
“Nak buat apa?” soal Balkish marah. Malas dia mahu melayan kerenah Amin.
“Rahsia. Awak kena ikut baru awak tahu” ajak Amin.
“Jomlah kakak” ajak Fatin pula. Akhirnya Balkish terpaksa akur dengan permintaan Amin dan Fatin itu. Dia juga tertanya-tanya, apalah yang menjadi komplot antara Amin dan adiknya itu. Fahmi turut dibawa mengikuti mereka masuk ke kereta.
Amin memberhentikan keretanya di parkir samping jalan. Mereka berempat keluar dari perut kereta. Dia menggendong Fatin dalam dukungnya. Fahmi pula dipimpin oleh Balkish.
“Awak ni kenapa?” soal Balkish pelik. Amin tersenyum sahaja. Mereka berhenti di sebuah kedai pakaian, Amin mengajak Balkish masuk.
“Nak cari apa, awak?” soal Balkish lagi.
“Cari uniform untuk Fatin dan Fahmi. Kalau awak nak juga pun boleh” beritahu Amin sambil bergurau. Balkish melirik manja sambil tertawa. Amin menurunkan Fatin dari dukungannya dan menyuruhnya untuk mencari pakaian yang ingin dibelinya. Fahmi pula mengikut sahaja Fatin. Wajah mereka berdua sangat gembira.
“Fatin ada cakap apa-apa ke dekat awak?’ soal Balkish.
“Rahsia” balas Amin.
“Tak elok awak manjakan sangat budak-budak ni. Nanti mereka terbiasa meminta-minta” tegur Balkish.
“Saya hanya menyediakan keperluan mereka” balas Amin.
“Thanks Amin” beritahu Balkish. Dia terharu dengan kebaikan Amin. Dia tahu bagi lelaki itu, wang bukanlah masalah besar dan dia bukannya seorang yang berkira. Tetapi baginya keikhlasan Amin dalam berbelanja untuk adik-adiknya adalah suatu kebaikan yang jarang ditunjukkan kepadanya ataupun kepada ahli keluarganya yang lain.
Balkish merenung ke wajah lelaki itu. Kacak, tak payahlah nak dihuraikan lagi. Wajah itu juga yang sering berkunjung ke dalam imaginasinya saat dia berada di kampus. Sejak dia mengandung ini, sering-sering juga dia teringatkan Amin. Kalau dulu tak sangat. Dia juga agak terbuka dengan perlakuan dan gurauan Amin. Tidak disangka lelaki ini menjadi suaminya sedangkan dulu dia menyukai Amin dalam diam. Namun setelah kejadian pahit itu, dia membenci Amin dengan sepenuh hati. Tapi sekarang, lain pula perasaan yang timbul buat suaminya itu.
“Kita kan dah jadi keluarga, tak payahlah nak berterima kasih” balas Amin.
Balkish senyum, jawapan Amin itu membuatkan hatinya gembira. Tanpa disangka Amin juga berpaling ke arahnya. Mata mereka bertentangan. Kerana perasaan takut, Balkish segera melarikan pandangannya dan mengikut Fatin. Amin ditinggalkan sendirian.
Setelah membeli pakaian yang diinginkan, Amin mengajak mereka berjalan-jalan di sekitar pekan sebelum mereka pulang. Dia belum pernah bersiar-siara di kawasan pekan ini. Balkish mengikut sahaja kehendak lelaki itu. Fatin didukung oleh Amin. Adik Balkish itu gembira sekali apabila dibelikan beberapa helai baju baru termasuk uniform sekolah.
“Kak” panggil Fahmi.
Balkish tunduk bertanya kepada adiknya yang paling bongsu itu.
“Kenapa ?” soal Balkish. Wajah Fahmi dilihat sudah masam mencuka.
Fahmi hanya berdiam diri apabila ditanya.
“Mengantuk dah ke?” soal Balkish. Fahmi mengangguk laju.
“Nak balik dah?” soal Amin. Dia kemudiannya melihat ke arah Fatin.
“Sini abang dukung. Fatin tak kisahkan jalan dengan kak Balkish” soal Amin kepada Fatin yang masih dalam dukungannya.
Fatin mengangguk. Amin kemudiannya mendukung Fahmi yang sudah mengantuk itu.
“Kita nak ke mana lagi ni? Lama lagi ke, Fahmi dah mengantuk dah ni” soal Balkish kepada Amin. Lelaki itu masih belum mahu pulang.
“Awak ikut sajalah” balas Amin. Dia akhirnya menjejakkan kaki ke dalam sebuah kedai basikal. Sengaja Amin kerling ke arah wajah Fatin yang sedang memimpin tangan Balkish. wajah kanak-kanak itu tersenyum gembira.
“Abang nak belikan basikal ke?’ soal Fatin gembira.
“Abang beli kalau Fatin berjanji akan belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin. Dia senyum kepada Balkish. Isterinya itu diam kerana terkejut.
“Banyak awak spend duit untuk adik-adik saya. Dahlah Amin” kata Balkish.
“Adik awak adik saya juga” balas Amin.
“Abang, Fahmi pun nak!”
“Fahmi pandai ke naik basikal?” soal Amin sengaja mengusik.
“Kak Fatin boleh ajar”
“Fahmi pun kena janji belajar bersungguh-sungguh” sambung Amin.
“Fahmi janji” Amin tersenyum lucu melihat gelagat adik Balkish yang paling bongsu itu. Tadi, katanya mengantuk tapi apabila melihat Kak Fatinnya dapat sebuah basikal baru, mata Fahmi yang kuyu tadi jadi celik. Amin menurunkan Fahmi. Kanak-kanak itu kemudiannya berlari mengikut kakaknya, Fatin. Mereka berdua berbincang dan saling menunjuk ke arah basikal-basikal yang dipamerkan di kedai itu.
“Banyak awak spend duit hari ni” tegur Balkish. Dia rasa bersalah kepada Amin kerana menyusahkan lelaki itu. Hatinya gembira melihat wajah adik-adiknya yang berseri-seri mendapat basikal baru, namun tidak enak perasaannya terhadap Amin. Tambah menyakitkan hati lagi apabila memikirkan dia terhutang budi dengan lelaki itu.
Happy saja dua orang tu dapat basikal baru” Amin senyum melihat gelagat Fahmi dan Fatin.
Balkish terdiam. Matanya hanya menatap susuk tubuh lelaki yang membelakanginya itu dan  lelaki itu telah bergelar suaminya. Sayang? Suke? Balkish turut  bingung dengan oerasaannya sendiri. Apakah rasa yang sesuai untuk mentafsir perasaannya saat ini terhadap lelaki itu?
………………………
Selesai makan malam dan solat Isyak, Balkish keluar dari biliknya. Dia berjalan keluar ke arah pintu rumah yang masih lagi ternganga luas. Biasanya pada jam-jam begini pintu rumah sudah tertutup rapat namun kerana Fatin dan Fahmi yang terlalu teruja untuk mencuba basikal baru mereka, pintu itu dibirkan menganga.
Balkish berdiri di samping pintu dan menyandarkan tubuhnya di dinding. Dari jauh dia dapat melihat Amin yang sedang membantu Fahmi untuk belajar mengayuh basikal. Sesekali kelihatan Fahmi mencebik ke arah Fatin yang mengetawakannya kerana masih tidak tahu mengayuhsendiri. Amin setia memegang basikal supaya Fahmi tidak terjatuh. Balkish memerhatikan Amin yang sibuk melayani kerenah Fahmi.
“InsyaAllah, Amin akan jadi ayah yang baik untuk anak kamu” tegur ibu yang mungkin sudah lama memerhatikan Balkish.
“Ibu” tegur Balkish.
“Tengoklah cara dia layan Fahmi. Ibu rasa Amin akan jadi seorang ayah yang baik” ulang Aminah lagi. Walaupun Amin bukanlah menantu pilihannya namun lama-kelamaan dia boleh menerima suami kepada Balkish itu. Amin pula tidak kekok bersama dengan keluarganya yang biasa-biasa ini.Kalau dulu, dia tidak menyukai Amin atas perbuatannya, tapi entah kenapa Amin pandai mengambil hati.
“Ibu, Balkish nak tanya sedikit”
“Tanya apa?”
“Sejak Balkish mengandung ni, perangai Balkish banyak berubah. Terutama kalau melibatkan Amin”
“Berubah macamana?”
“Sekejap-sekejap Balkish teringatkan dia. Kadang-kadang sampai menganggu”
Aminah tersenyum lucu.
“Baguslah kalau macam tu. Balkish dengan Amin kan dah jadi suami isteri” sampuk Aminah.
Balkish terdiam.
“Mungkin perawakan bayi. Biasalah, Balkish dengan Amin kan duduk asing-asing. Sesekali tu mungkin baby kamu rindu ayah dia. Kalau boleh, sering-seringlah Balkish jumpa Amin”

Balkish diam lagi. Permintaan atau suruhan ibu itu belum tentu dapat dilaksanakannya. Dia kembali melihat Amin.

10 comments:

  1. Pls post next n3 cpt2 ea...
    ape2 pn, keep it up sis...

    ReplyDelete
  2. Bestnyer.. hope to see next entry soon..its always interesting...

    ReplyDelete
  3. Bestnyer.. hope to see next entry soon..its always interesting...

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...finally ada cerita baru selepas lelah menunggu... :)

    ReplyDelete
  5. best !.. next plz !

    ReplyDelete
  6. Lame dah kami tunggu. Hope to get new entty soon. Tq

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah <3 dh lama tunggu n3 baru Balkis n Amin, nk lagi....

    ReplyDelete