Bab 65
Banyak kerja yang harus disiapkan sebelum Amin
pulang ke rumah. Urusan kos dan biaya tender terbaru yang ingin didapatkan oleh
syarikatnya terpaksa diuruskan oleh Malik dan Rihan kerana Balkish mengambil
cuti menjaga Sufi.
“Bos, kami balik dulu” pinta Rihan. Dia memberikan
isyarat mata kepada Malik untuk segera mengikutnya. Takut pula macam-macam
disuruh oleh bos mereka itu. Ini pun sudah dikira kerja lebih masa tanpa gaji.
“Bos, balik dulu” Malik turut meminta diri. Mereka
bertiga berpisah di tangga bawah syarikat. Amin berjalan ke arah tempat parkir
berdekatan dengan lorong sunyi di samping 7eleven. Parkir di situ selalu
kososng kerana orang tidak berani parkir dekat lorong sunyi itu tetapi
sepanjang Amin bekerja di situ, tidak pula dia mendengar ada cerita atau
kejadian yang tidak baik berlaku di situ. Pintu kereta dibuka dan Amin duduk di
tempat pemandu. Tidak lama kemudian keretanya dipandu keluar ke jalan raya
utama. Amin mahu segera pulang untuk berehat dan bertemu dengan keluarganya.
Sebaik sahaja sampai di perkarangan rumah, Amin
melihat kereta Aman turut parkir di tempat biasa. Amin parkir keretanya di luar
pagar rumah kerana ruang parkir kereta sudah penuh. Dia menapak masuk ke dalam
rumah dan melihat Aman sedang menonton televisyan. Dia menegur, “Bila balik?”
soal Amin.
“Petang tadi. Lambat abang balik. Banyak ke kerja
dekat syarikat?” soal Aman.
Amin duduk di sofa.
“Kerja sampai bila-bila pun tak habis” jawab Amin.
“Nasib baik bukan Aman yang ambil alih syarikat
papa” Amin melafazkan syukur. Tanpa sedar, kata-katanya itu melukai hati
abangnya.
“Abang nak makan ke?” soal Aman lagi saat dia mula
sedar kata-katanya itu mungkin mengguris hati abangnya.
“Abang penatlah” beritahu Amin. Dia mula mengangkat
kaki meninggalkan Aman. Amin naik ke tingkat atas dan membuka pintu bilik
Balkish. Dilihat Balkish dan anak-anak mereka sedang tidur dengan nyenyak di
katil. Amin menghampiri. Dia merendahkan badan menatap wajah Sufi yang
berbaring disisi Balkish. Dahi Sufi dikucup mesra, sayu hatinya apabila menatap
wajah Sufi yang sedang nyenyak tidur, kanak-kanak sekecil Sufi sudah harus
merasai sakit seperti sekarang. Ini semua kerana kelalaiannya untuk
memerhatikan kedua-dua anaknya. Nasib baik Sufi sembuh dengan cepat dan akan
kembali seperti biasa. Seandainya sesuatu yang buruk terjadi kepada Sufi, dia
pasti tidak dapat meaafkan dirinya.
Amin bangun
berdiri, sebentar dia melihat ke arah Balkish, menatap wajah Balkish yang
berbaring disamping Sufi dan Iman. Wajah itu sangat ayu, seperti selalu.
Melihat Balkish lena tidur, membuatkan hati lelakinya damai, wajah itu masih
cantik seperti beberapa tahun dulu, kulitnya putih mulus tanpa cela, tanpa alat
mekap. Rambut panjang dan hitam milik Balkish lepas mengurai di bantal. Balkish
sangat cantik sehingga membuatkan hati Amin jatuh cinta untuk ke sekian
kalinya. Dia tidak pernah dapat melupakan atau melepaskan Balkish walaupun
mereka berdua telah menempuh banyak dugaan dalam hubungan perkahwinan mereka. Setelah
kehadiran Balkish, dia tidak pernah jatuh cinta dengan wanita lain dalam
hidupnya. Cintanya hanya untuk Balkish seorang dan tiada yang lain selain
Balkish.
Balkish tersedar dari tidurnya dan dia agak terkejut
apabila menatap wajah Amin berhadapan dengannya. Balkish cepat-cepat
membetulkan posisinya dan duduk di katil, dia bertentangan mata dengan Amin
yang sedang memandangnya.
“Abang dah makan? Kalau abang nak makan, Balkish
panaskan makanan petang tadi” beritahu Balkish. Kasihan Amin, jam-jam begini
baru pulang kerja. Pasti dia lapar.
“Abang dah makan” beritahu Amin.
“Ah, Aman balik petang tadi. Abang tidur mana malam ni?”
soal Balkish. Dia risau jika Amin tidur sebilik dengannya kerana dia belum
bersedia. Kalau Amin tidur di sofa, dia pula tidak sampai hati, sudah beberapa
hari ini Amin asyik tidur di kerusi keranan menunggu Sufi di hospital. Tambahan
pula Amin hari ini kerja keras sampai jam sekarang baru pulang. Kalau dibiarkan
sahaja Amin tidur di sofa, rasanya kurang elok. Kalau Amin mahu tidur di sini,
pasti aku akan membiarkan sahaja itupun jika dia bersuara. Kalau Amin yang
minta, kalau aku yang ajak, tak mungkinlah!
“Abang tidur bilik Iman sajalah” beritahu Amin,
apabila memikirkan kerisauan hati Balkish kalau dia tidur di bilik ini.
Mendengar jawapan Amin itu, hati Balkish seharusnya
gembira dan bersyukur tetapi tidak, entah kenapa dia berasa hampa dengan
jawapan yang baru diberikan oleh suaminya. Berharapkah aku agar Amin tidur
sebilik denganku? Mustahil, sedangkan selama ini aku bermati-matian tak nak
sebilik dengan dia, bahkan sebumbung juga tidak mahu. Tapi kenapa aku tidak
gembira apabila mendengar Amin mahu
tidur sendirian di bilik Iman? Balkish sedar sedikit, kau tu perempuan, takkan
nak terhegeh-hegeh pula dekat Amin? Fikir Balkish, fikir. Malu kau nanti kalau
kau yang ajak Amin tidur sini.
“Kenapa tak nak tidur sini?” soal Balkish polos. Lak? Tadi bukan main akal aku menegah
aku dari mengundang Amin tidur sini. Lain difikirkan, lain pula lidah ini
berkata.
“Balkish nak abang tidur sini?” pertanyaan itu
diajukan tersekat-sekat kerana perasaan
tidak percaya. Wajah Balkish dilihat dan gadis itu pula sengaja melarikan
wajahnya daripada ditatap oleh Amin. Amin tersenyum lucu saat melihat wajah
Balkish yang sudah merona merah menahan malu. Dia tahu Balkish belum bersedia tetapi
Alhamdulillah, hati isterinya itu sudah mula terbuka untuknya.
“Tak apalah, abang tidur bilik Iman sajalah”
beritahu Amin.
Apabila mendengar jawapan daripada Amin itu, Balkish
segera mengangkat wajahnya memandang Amin dengan rasa tidak percaya. Dia sudah
memberi peluang ini kepada Amin walaupun dia sebenarnya masih belum bersedia, tetapi
Amin menolak. Amin tahu yang aku belum bersedia? Semakin dia mengenali Amin
semakin dia berasa kagum dengan keperibadian dan sikap lelaki itu. Kenapa
selama ini aku buta menilai kebaikan hati dan budi yang dipamerkan oleh Amin
kepadaku? Kenapa aku gagal mengesan perubahan baik atau hijrah pada diri
suamiku sendiri? Adakah aku terlalu menyisihkan dia dari hidupku selama ini?
Amin terlalu baik, dia akan cuba untuk memenuhi
setiap kehendak dan permintaanku, tidak pernah dia menolak. Aku mahukan dia
tidur di balkoni dan di sofa, dia menurut, aku mahukan kami tidak sebumbung,
dia hanya mengikut tanpa protes apa-apa sedangkan dia hanya tinggal di rumah
sewa dan aku bersenang-senang tinggal di rumah papa. Amin telah banyak
berkorban untukku selama ini, kenapa baru sekarang aku sedar?
“Kenapa abang baik sangat dengan Balkish?” soal Balkish polos. Akhirnya terpacul juga
pertanyaan itu darpada bibir munggil Balkish. Dia melihat kepada Amin yang
masih berdiri. Hatinya kasih melihat seraut wajah yang sangat tampan itu.
Wajahnya masih kelihatan tampan Cuma sudah lebih matang berbanding Amin yang
dikenali beberapa tahun dulu. Cara dan gaya pemakaiannya juga sudah berubah.
Amin duduk berteleku dengan kedua lututnya
dipacakkan ke lantai untuk dia bertentangan dengan Balkish yang duduk di katil.
Wajah mereka berdua agak jauh namun Amin menatap Balkish dengan pandangan penuh
kasih sayang. Tiada wanita lain (selain mama) yang bertahta di hatinya kecuali
Balkish. Balkishlah isteri yang pertama dan terakhir buatnya walaupun gadis tu
masih belum menyedarinya atau sengaja berpura-pura tidak menyedari hakikat yang
dia benar-benar menyintai Balkish dengan sepenuh hati. Setelah dia menikahi
Balkish dengan hanya satu lafaz, saat itu dia sudah merasakan yang hatinya akan
menyayangi Balkish dan melindungi Balkish dengan sepenuh hati, membahagiakan
Balkish dan menjaga Balkish selama hayatnya di kandung badan. Dia berharap
cintanya akan sampai ke hati Balkish, perasaan tulus ikhlasnya terhadap Balkish
lambat-laun akan mencairkan ego Balkish dan andainya ada peluang, dia berharap
agar Balkish memaafkannya dan memberinya kesempatan untuk dia menebus segala
kesalahannya yang dulu.
Pertanyaan Balkish tadi tidak dirasakan aneh. Dia
tidak boleh menyalahkan Balkish andainya gadis itu masih berasa curiga atau
tidak percaya kepadanya memandangkan dia dulu memang seorang lelaki yang tidak
boleh diharapkan. Bukan sahaja Balkish tetapi dia juga bahkan tidak percaya
dengan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Ini semua berkat izin Allah dan
bantuan Farid serta Ustaz Wahid, serta Balkish yang secara tidak langsung
mengubah pendiriannya dalam hidup. Allah yang
membuka hatinya dan memberinya hidayat dan Balkish merupakan sebab
kepada perubahan itu. Walaupun hubungannya dengan Balkish bukan seperti hubungan
suami isteri yang lain tetapi dia tetap bersyukur kerana memperisterikan gadis
sebaik Balkish. Dia tahu dalam keegoan Balkish, sikap yang keras kepala dan kedegilannya,
jauh di sudut hatinya Balkish merupakan seorang isteri yang baik. Buktinya
gadis itu tidak pernah menduakannya walaupun dia membencinya dengan sepenuh
hati. Sikap negatif yang ada pada Balkish sekarang mungkin kerana perasaan
marahnya serta cara untuk dia melindungi dirinya dari terluka lagi. Seandainya
Balkish memberi satu peluang, dia akan membuatkan Balkish bahagia.
Amin memberanikan diri memegang tangan kanan Balkish
sementara Balkish hanya membiarkan. Mereka berdua bertentang mata, Amin
kemudiannya menarik tangan Balkish dengan lembut dan meletakkan telapak tangan
Balkish ke pipinya. Balkish hanya memandang ke arahnya. Perbuatan Amin itu
dirasakan pelik tetapi saat tangannya menyentuh wajah Amin, dia berasa tenang.
Dia tidak pernah menyentuh tubuh Amin apatah lagi wajahnya. Inilah pertama
kali, wajah bersih Amin yang sentiasa dikaguminya itu disentuh oleh telapak
tangannya. Kulit Amin hangat, walapun wajah itu kelihatan bersih namun saat
jari-jemari Balkish mengelus pipi Amin, dia dapat merasakan kasar janggut yang
baru dicukur di bahagian dagu. Balkish senyum lucu, tak sangka pula, Amin ni
berjambang. Geli Balkish dibuatnya. Dia melarikan tangannya.
“Kenapa gelak?” soal Amin pelik.
Balkish menggeleng. Malas mahu berkongsi perkara
yang dianggapnya lucu itu. Nanti dia pula yang diketawakan oleh Amin.
“Balkish ada rasa apa-apa tak?” soal Amin ingin
tahu.
“Rasa apa?” soal Balkish.
“Apa-apa, jantung Balkish berdegup kencang ke?
Berdebar-debar ke?” soal Amin. dia mahu mencari tahu perasaan sebenar isterinya
itu.
“Tak ada apa-apa pun” bentak Balkish. Padahal, dia
berdebar-debar bagai nak rak tadi,
itupun sebentar sahaja. Kemudian dia berasa tenang apabila menyentuh wajah
suaminya.
Amin kecewa.
“Betul tak ada apa-apa?” soal Amin lagi, tidak
percaya dengan jawapan pertama Balkish tadi.
“Tak ada apa-apa” jawab Balkish pula.
“Kalau abang buat macam ni” baru sahaja Amin mahu
mencium dahi Balkish, gadis itu cepat-cepat mengelak dan menepis pipi Amin
dengan tapak tangannya.
“Er, tak nak” marah Balkish.
Amin senyum saja. Manja suara Balkish kedengaran di
telinganya. Cium saja pun, itupun susah. Nampaknya Amin kena berusaha lebih
kuat lagi untuk mencairkan hati Balkish.
Balkish akhirnya melepaskan tangannya dari wajah Amin.
Sejak sentuhan pertama pada pipi Amin tadi, dia sudah tidak berfikir panjang
untuk menyentuh lagi pipi itu untuk kedua kalinya. Cuma kali ini dia cover-cover sedikit, takut pula Amin
perasan yang dia sengaja mahu merasakan kehangatan pada wajah itu.
“Tidurlah, abang pun mengantuk dah ni” Amin bangun
dari duduknya, dia berjalan ke arah Iman yang tidur di samping Balkish. Rambut
Iman yang menutup dahi di selak dan kemudian Amin mencium dahi anaknya itu.
“Assalamualaikum” ucap Amin seraya dia keluar dari
bilik Balkish dan menutup pintu bilik rapat-rapat.
Apabila melihat Amin sudah keluar, barulah Balkish membaringkan
badannya ke samping Iman dan Sufi. Gebar ditarik untuk menyelimuti tubuh Sufi,
Iman dan juga dirinya. Balkish tersenyum sendiri. Kemesraan Amin terasa lucu
baginya. Lama-kelamaan barulah Balkish dapat kembali melelapkan matanya yang
sudah mengantuk.
Bab 66
Awal-awal pagi lagi Balkish sudah turun ke dapur
untuk menyiapkan apa yang patut. Setelah semua keluarganya bersarapan, Balkish
menyiapkan pula makanan untuk Sufi. Anaknya itu masih belum boleh makan nasi
biasa, nasi Sufi sengaja dimasak lembik untuk memudahkan proses penghadamannya.
Bibik, seperti biasa, jam-jam begini sudah menyiapkan bahan mentah untuk makan
siang.
Balkish membawa keluar sepinggan ayam goreng
kegemaran Sufi ke ruang makan. Dia sempat menjeling ke arah anak-anaknya yang
leka bermain dengan Amin di ruang menonton. Sufi sembuh dengan cepat dan
sekarang dia sudah boleh berjalan dan melakukan aktiviti sehari-harian tanpa bantuan
orang lain. Kadang-kadang tu, dia
yang terpaksa melarang Sufi dari bermain dengan Iman kerana merisaukan
keselamatan dan kesihatanya.
Dato' Sahar dan Datin Hasmah turun ke tingkat bawah
dengan berpakaian cantik-cantik.
“Min, mama dengan papa nak keluar kejap pergi masjid” beritahu Datin
Hasmah kepada Amin. Balkish turut mendengar, dia kemudian berjalan ke ruang
menonton televisyen.
“Mama tunggulah lepas makan tengahari dulu, Balkish
tengah masak ni” beritahu Balkish.
“Tak apalah, kami makan dekat luar saja” sampuk
Dato' Sahar.
“Cepatlah, Mah” ajak Dato' Sahar. Datin Hasmah
mengikut suaminya dari belakang.
Amin dan Balkish menghantar Dato' Sahar dan Datin
Hasmah ke pintu. Mereka melambaikan tangan saat mahu keluar ke jalan raya.
“Awak masak apa?” Soal Amin.
“Masak makanan
kegemaran awaklah” jawab Balkish.
“Mesti sedap” Amin bergurau, sengaja memaniskan mood
isterinya di hari ini. Balkish kembali semula ke dapur untuk menyambung
kerjanya semenetara Amin kembali ke ruang menonton, bermain bersama anak-anaknya.
“Abang, oh abang” panggil Balkish saat dia sudah
siap menghidangkan makanan buat Sufi. Makanan Sufi disiapkan terlebih dulu
kerana anaknya itu makan sedikit sahaja pagi tadi, kerana takut Sufi berasa
lapar jadi Balkish sengaja menghidangkana makanan Sufi yang berupa nasi lembik
dan ayam goreng kegemarannya.
Balkish berpaling ke arah ruang menonton. Dia
tergelak lucu saat melihat Amin, Iman dan Sufi berpaling serentak ke arahnya.
“Balkish panggil Sufi ke?’ soal Amin hampa. Ingatkan
isterinya itu memanggilnya
Ketawa Balkish masih berlarutan saat menatap wajah Amin
yang tampan dalam ekspresi gembira kerana sangkanya, panggilan abang tadi buat
dirinya. Sekarang ini panggilan abang
itu menimbulkan kekeliruan. Kalau dulu lainlah, ‘abang’ buat Iman seorang. Tapi
kini ‘ abang’ buat Amin dan Sufi juga.
Balkish mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan
Amin selepas ketawanya berhenti.
“Abang, mari makan” ajak Balkish lagi. Balkish
berjalan ke arah ruang menonton untuk mengajak Sufi makan.
“Sufi, mama panggil. Sufi belum makan lunch lagi kan? Kejap lagi nak makan ubat” tegur Amin saat melihat panggilan
Balkish tadi tidak diendahkan oleh anaknya. Sufi memang tidak suka makan
makanannya semenjak dia sakit ini. Makannnya harus dikisar dan tidak mempunyai
rasa kecuali rasa tawar.
“Jom makan. Abang nak kena makan ubat lagi” pujuk
Balkish pula.
Sufi menggelengkan kepalanya dan menutup mulutnya
dengan kedua tangan.
“Abang kan dah besar, kena bagi contoh dekat adik, kalau
abang tak dengar cakap mama dengan papa, nanti adik ikut, macamana?” pujuk
Balkish lagi.
“Abang tak nak makan, tak sedap”
“Okey
kalau abang makan hari ni, esok mama masak special untuk abang. Esok abang dah
boleh makan macam adik. Nak?” soal Balkish.
Sufi mengangguk laju.
“Kalau macam tu abang kena makan dulu apa yang mama
masak hari ni”
Sufi menggelengkan kepalanya sekali lagi.
“Makanlah sedikit. Mama janji esok abang boleh makan
macam adik” pujuk Balkish lagi. kali ini Sufi berdiam diri.
“Erm, makan sedikit, ya” pujuk Balkish. Dia memegang
tangan Sufi dan membimbing Sufi ke ruang makan. Amin juga mengikut. Sufi
didudukkan di kerusi, Balkish duduk di sampingnya dan mengambil makanan Sufi. Isi
nasi disuapkan ke mulut Sufi. Perlahan-lahan Sufi mengunyah dan menelan.
Mukanya mengkerut menahan rasa tidak enak nasi lembik yang dimasak oleh
Balkish.
“Mama, tak nak dah, dah kenyang” beritahu Sufi.
“Makan sedikit lagi” sampuk Amin.
“Pa, tak sedap” balas Sufi.
“Habiskah, nanti kita keluar pergi Toys ‘R’ Us kalau Sufi habiskan” sambung
Amin.
“Betul pa. kalau pergi Sufi nak beli transformers yang baru” sambung Sufi”
“Boleh, tapi Sufi kena habiskan” balas Amin.
“Adik nak juga, pa” sambung Sufi. Amin mengangguk
setuju.
“Awak ikut sekali” beritahu Amin kepada Balkish yang
sejak dari tadi memerhatikannya. Mereka berdua tidak pernah keluar sekeluarga.
Biasanya Amin hanya membawa Iman dan Sufi. Balkish jarang mahu mengikut mereka
keluar tetapi sekarang sudah lain, Balkish mungkin mahu ikut serta kalau dia
membawa anak-anak mereka keluar membeli-belah. Jadi Amin mencuba nasib dengan
mengajak isterinya sekali.
“Bila awak nak pergi?”soal Balkish.
“Malam ni, atau esok” beritahu Amin. Balkish
mengangguk. Dia kembali menyuap makanan Sufi. Amin tersenyum gembira, ajakannya
itu diterima oleh Balkish. Tak sabar rasanya nak keluar sekeluarga dengan
Balkish. Amin memasang angan-angan dapat bermesra dan berbual-bual dengan
isterinya itu saat mereka sekeluarga keluar bersama-sama nanti.
…………………………………….
Rina tidak senang duduk apabila memikirkan yang
sebentar lagi rombongan merisik akan sampai ke rumahnya. Patutlah mama beriya
suruh pulang hujung minggu ini, rupa-rupanya ini halnya. Siapalah gerangan
lelaki malang yang bakal datang ke rumahnya dan meminta untuk menyunting
dirinya.
Rina membetulkan baju kurung kuning yang dibeli oleh
mama semalam. Beriya mama beli baju cantik ni dekat butik kegemaran mama.
Patutnya masa tu aku dah syak mama ada agenda tersendiri saat mama beriya ajak
pergi buat facial, pergi sauna dan pergi shopping
semalam. Ingatkan mama cuma demam rindu sebab lama tak jumpa aku., ternyata
mama lebih cermat.
Mama pula sibuk di dapur menguruskan hidangan yang
bakal disajikan kepada ‘tetamu kehormat’ mama nanti. Pandai mama merancang
segala-galanya tanpa sedikitpun menimbulkan syak di hatiku. Pujiku lagi buat
rancangan bermakna mama utnuk mempertemukanku dengan calon tunang yang ditetapkan
oleh mama. Entah macamanalah rupa calon yang dipilih mama, handsome ke? Pasti beriman dan baik, sebab orangtua ni biasanya
pandai ‘melihat’
Rina masuk ke dapur. “Mama, nanti kalau calon mama
tu tak datang lagi, Rina nak keluar dulu” beritahu Rina. Dia sudah penat
menunggu kehadiran tetamu yang tidak kunjung tiba.
“Nak pergi mana, tunggulah. Orang datang nak lihat
kamu. Takkan kamu nak keluar pula” marah mama, tetapi mama tak berhenti dari
menyusun kuih yang dimasaknya, dan aku sejak dari pagi tadi memang tak pernah
berhenti mengomel.
“Siapa suruh datang lambat, janji pukul berapa, ni
dah nak petang dah ni” marah Rina lagi. Penat dia menunggu dengan baju kurung
kuning pilihan mama ini.
Yatie memandang wajah anak daranya yang sudah masam
mencuka. Dia mencubit pipi Rina, “Senyum sedikit, nanti kalau tetamu kita datang,
jangan buat muka masam macam ni pula” tegur Yatie. Dia mengangkat pinggan yang
telah berisi kuih ke meja makan.
“Abang, tak telefon lagi dia orang tu?” soal Yatie
kepada suaminya yang sedang menunggu di ruang tamu.
“Belum, on the
way lah tu” jawab Hamdan.
Rina keluar ke ruang makan, “Ma, kawan Rina kata nak
datang hari ni, Nanti..”
Belum sempat Rina menghabiskan kata-katanya, Yatie
segera mencelah, marah juga mendengar ucapan dari anak daranya itu.
“Yang kamu janji nak keluar hari ni tu kenapa? Kan
hari ni, orang datang nak tengok Rina, takkan Rina pula nak keluar”
“Mana Rina tahu dia orang nak datang. Mama pula tak
cakap apa-apa. Lagipun Rina dah janji dengan dia, kelmarin lagi dia cakap dia
ada hal dekat sini so dia nak singgah
jumpa Rina kejap. Nanti Rina jumpa
dululah dengan calon menantu mama tu, lepas tu Rina keluar dengan kawan Rina”
beritahu Rina akan rancangannya. Nasib baik ada Farid yang menelefonnya memberitahu
ingin bertemu dengannya. Farid, katanya ada urusan dekat-dekat sini jadi dia mahu
berjumpa denganku yang kebetulan minggu ini pulang ke rumah papa. Untung ada
Farid, sekurang-kurangnya dapatlah aku mencari alasan daripada lama-lama
berdepan dengan pilihan menantu mama. Tak kuasa nak melayan lelaki yang tak
dikenali, nanti pasti aku sendiri kekok.
“Dengan kawan yang mana pula kamu berjanji ni?” soal
mama lagi.
“Adalah, mama tak kenal pun” Rina mengelak dari
memberi jawapan yang panjang-panjang ke mama. Kalau mama tahu kawan yang bakal
datang nanti adalah seorang kawan lelaki, pasti mama dah suruh aku call Farid sekarang cakap tak payah
datang.
Entah macamanalah pilihan mama. Handsome ke, kacak ke, aku tak peduli. Buat masa sekarang, aku tak
nak fikir sangat pasal kahwin. Dalam hati ni, ada Amin saja. Tapi Amin pula
suami orang. Tak kisahlah, adalah tu jodoh aku mana-mana dekat ceruk di
Malaysia ni. Lagipun, aku belum bertemu lagi dengan pemilik tulang belakang aku
ni, sampai masa nanti, kalau dah bertemu dengan jodohku, ke pelamin juga aku.
Rina berjalan ke arah luar. Dia mahu duduk di
samping papa tetapi dia takut andainya dihujani pertanyaan papa dan juga
teguran-teguran dari papa tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukannya
saat tetamu kami datang sebentar lagi. Rina berjalan ke arah luar rumah.
Fikirannya hanyut ke Kuala Lumpur pada seraut wajah
yang sangat tampan milik Amin. Lelaki itu telah menjadi temannya selama bertahun-tahun
dan mereka telah berkongsi suka dan duka bersama. Teringat saat pertama
perkenalan mereka dulu, saat itu Amin telah menyelamatkannya daripada serangan
beberapa orang lelaki mabuk saat dia memandu sendirian pada malam hari. Sebelum
itu, dia dan kawan-kawannya banyak mengutuk dan mengejek Amin kerana benci
dengan cerita dan khabar angin tentang sikap playboynya. Tetapi setelah mengenali Amin. Pandangannya terhadap
lelaki itu berubah. Amin tidak seteruk yang disangka, selama bertahun-tahun
ini, dia menyaksikan perubahan sikap dan tingkahlaku yang dipamerkan oleh lelaki
itu. Betapa bertuahnya Balkish kerana memilik lelaki sehebat Amin yang jelas
menyintai isterinya dengan sepenuh hati. Dia juga mahu memiliki Amin tetapi sayangnya,
lelaki itu hanya menyintai Balkish seorang. Andainya Amin turut mempunyai
perasaan yang sama kepadanya, dia sanggup bermadu dan beralah kepada Balkish.
Seandainya Amin bukan milikku, siapakah yang berhak
ke atasku? Dapatkah aku merasa cinta seorang suami sehebat cinta Amin kepada
Balkish? Mungkinkah aku berpeluang untuk bertemu dengan lelaki sebaik Amin?
Tanpa sedar, kereta yang dipandu oleh Farid berhenti
di luar pagar rumah Rina. Dia keluar dari perut kereta dan melambai-lambaikan
tanganya ke arah Rina. Rina tersentak dari lamunannya apabila terpandang wajah
kawan yang ditunggu-tunggu sejak tadi. Rina mencari-cari mama dan papanya,
takut-takut mereka ternampak Farid. Setelah memastikan yang kedua orangtuanya
tidak menyadari akah kedatangan Farid, dia berjalan perlahan-lahan ke
perkerangan rumah.
Seorang lelaki keluar dari perut kereta Farid, Rina
senyum kepadanya dan juga Farid.
“Hye” sapa
Rina.
Farid senyum.
“You bawa
kawan?” soal Rina. Sekejap-sekejap dia melihat ke belakang, takut-takut mama
ataupun papa menyedari kedatangan Farid. Risau juga kalau-kalau mama nanti
mengusir Farid pulang semata-mata kedatangan Farid ini bukan pada masa yang
sesuai. Maklumlah, hari ini juga mama telah berjanji dengan bakal besannya untuk
berjumpa dan berbincang di rumah, kalau-kalau mereka melihat aku bertemu dengan
kawan lelaki, apa pula mereka fikir nanti.
“Awak cantik-cantik ni nak ke mana?” soal Farid
apabila melihat penampilan Rina yang lengkap sedondon kuning dengan baju kurung
serta tudungnya.
“Nantilah saya cerita” sambung Rina.
“Tak nak ajak saya masuk rumah ke?’ soal Farid. Dia
ingin sekali kenal dengan keluarga Rina tetapi Rina kelihatan agak takut-takut
menerima kedatangannya hari ini. Entah apalah yang dikalutkan olehnya. Farid
senyum sahaja melihat kerenah Rina yang sentiasa mencuit hatinya.
Semasa Rina sedang bercakap dengan Farid, tiba-tiba
seubah kereta Proton Preve berselisih dengan mereka dan masuk parkir di ruang
parkir yang masih kosong di perkarangan rumah.
Rina jadi bertambah kalut. Apalah yang bakal terjadi nanti kalau mama dan papa
keluar untuk menjemput tetamu mereka dan ternampak dia sedang berbual-bual
dengan Farid? Dan apa pula keluarga calon menantu mama fikir kalau melihat dia
bersama-sama Farid di sini?
Rina dan Farid hanya memerhatikan apabila sepasang
suami isteri keluar dari kereta Preve yang diparkir di depan rumah. Tidak lama
kemudian Hamdan dan Yatie keluar untuk menjemput tetamu mereka. Mereka
bersalam-salaman dan bertuka-tukar senyuman. Dalam hati, waktu itu Rina hanya
mampu berdoa agar mama dan papanya tidak melihat ke luar rumah kerana di situ
dia berdiri di samping Farid dan juga kawan Farid yang baru dikenalinya. Wajah
Rina pucat lesi apabila mama berpaling ke arahnya dengan pandangan pelik,
ekspresi wajah mama sulit ditafsirkan. Lama-lama papa dan tetamu mereka itu
turut berpaling ke arahnya dengan ekspresi yang sama. Rina bertambah takut, apalah
yang bakal terjadi kepadanya? Farid, tolonglah selamatkan aku, aku tak nak
terlibat dalam arranged married ni!
“Rina!” panggil mama.
Rina diam, takut dengan konsekuensi yang bakal
diterimanya nanti.
“Farid!” panggil tetamu wanita yang baru sahaja
sampai itu.
Rina memandang wajah Farid dengan perasaan aneh.
Bagaimana tetamunya itu tahu nama lelaki di sebelahnya ini? Bagaimana calon
besan mama itu tahu nama Farid? Wajah Rina kelihatan bengis saat memikirkan
jawapan yang paling sesuai untuk pertanyaannya tadi. Dia memarahi Farid di
dalam hati. Lelaki itu telah membohonginya dan mempermainkannya. Jadi, Faridlah
calon pilihan mama. Kenapa Farid tidak memberutahunya apa-apa malah sengaja
mempermainkannya dengan merahsiakan tentang rancangan kedua orang tua mereka
ini.
‘Siap kau Farid!’
“Jemputlah masuk” ajak Yatie, memanggil Farid yang
masih tercegat di samping keretanya untuk mengikut mereka masuk ke dalam rumah.
Farid mengangguk. Dia menghampiri Rina yang masih berdiri kaku kerana terkejut.
Wajah Rina yang mula kelihatan sangat mengerikan, Farid bahkan takut untuk
berbicara, takut tak pasal-pasal dia dimarahinya.
“Jomlah masuk” ajak Farid perlahan-lahan. Takut juga
di luar lama-lama dengan Rina. Kalau di dalam rumah, dengan ada keluarga
mereka, Rina pasti takkan memarahinya. Dia segera mengatur langkah masuk ke
dalam dan menjarakkan dirinya daripada Rina. Mereka bedua duduk bersama
keluarga masing-masing di ruang tamu.
Rina memandang Fraid dengan pandangan tajam, dia marah dengan perbuatan
Farid yang merahsiakan tentang
kedatangannya bersama-sama dengan kedua ibu bapanya hari ini.
“Jemputlah minum, Farid” pelawa Yatie.
Farid pula mempelawa kedua orangtuanya untuk minum.
Teh yang dibancuh suam-suam itu diteguk perlahan-lahan. Cawan tadi diletakkan
kembali ke piring.
“Maaflah susahkan uncle dan keluarga hari ini”
beritahu Farid memulakan bicara.
“Tak apa. Kan kami juga yang jemput” sambung Hamdan
lalu senyum.
“Uncle,
kenalkan ni ayah saya dan mak saya” beritahu Farid pula, memperkenalkan ayah
dan maknya. Ayah Farid, Karim senyum kepada tuan rumah.
“Maaflah kami datang hari cuti macam ni” kata Karim
memulakan bicara. Semuanya sudah disusun agar kedengaran sopan dan beralas.
“En. Hamdan dan Puan Yatie, sebenarnya kedatangan
kami hari ini ada hajat” ujar Karim.
Hamdan sekadar senyum, sebenarnya maksud kedatangan
tetamu mereka itu sudah diketahui awal-awal lagi. Semuanya telah disampaikan oleh
Farid sebelum ini. Cuma hari ini mereka datang sebagai memenuhi tuntutan adat
dan formaliti.
Sejak beberapa minggu kelmarin, Farid telah beberapa
kali bertandang ke rumah mereka sendirian dan memperkenalkan dirinya kepada mereka
sebagai kawan Rina. Pada awalnya dia berasa pelik dengan pertemuan pertama
mereka dahulu tetapi pada saat itu juga dia sebagai seorang lelaki dapat merasa
keikhlasan dan keberanian Farid dalam usahanya untuk mengenali anaknya. Jadi
pada pertemuan yang pertama dulu dia sudah berkenan dengan Farid. Tidak berapa
lama setelah itu, Farid datang lagi, sekadar untuk menziarahi mereka tanpa
pengetahuan Rina. Katanya dia berada berdekatan dengan perumahan jadi saja-saja
dia datang menziarah. Dan kedatangan Farid untuk ketiga kalinya membawa maksud
dan tujuan yang lebih besar iaitu meminta kebenarannya serta isternya untuk
mengajak kedua orangtuanya bertandang dengan maksud mahu mengikat Rina sebagai
tunangnya. Dia dan isteri bersetuju tetapi segala-galanya terletak pada tangan
Rina untuk memutuskan samada menerima pinangan itu atau tidak.
“En. Hamdan dan isteri mungkin dah tahu. Kami
sebenarnya datang sebab Rina, kalau tak ada halangan di pihak En. Hamdan dan
keluarga serta Rina sendiri, saya bagi pihak anak saya Farid, nak merisik anak
perempuan En. Hmadan” beritahu Karim.
Hamdan dan isterinya senyum. Rina pula terkejut
mendengar kata-kata ayah Farid itu. Tidak pernah terlintas di fikirannya
tentang mahu menikahi Farid, dia pula memang tidak pernah menganggap Farid
lebih dari seorang teman. Tak sangka pula Farid boleh berfikir ke arah situ
sedangkan selama ini dia tidak pernah menyangka yang dalam diam lelaki itu
menyimpan perasaan terhadapnya. Dan tahu-tahu, hari ini, saat Farid datang
dengan hajat besar ke rumahnya. Kenapa selama ini lelaki itu tidak pernah
memberitahunya apa-apa dan bertanya tentang pandangannya terlebih dahulu?
Kenapa tidak berterus-terang sahaja dan berbincang hal ini dengannya? Kenapa
harus membawa hal ini ke pengetahuan mama dan papa?
Farid memandang wajah Rina di depannya. Wajah wanita
itu kusut, bahagian dahi, diantara dua
keningnya berkerut. Pasti Rina sekarang tengah buntu dan terkejut dengan hajat
yang dibawa oleh keluarganya hari ini. Fikir Farid.
“Kami mengalu-alukan kedatangan En. Karim dan
keluarga, hajat pihak En. Karim juga kami terima dengan baik” kata Hamdan
sambil senyum, dia sempat melihat wajah isterinya dan juga wajah anak tunggalnya,
Rina, kemudian baru dia menyambung. “Keputusan nanti kami letak ke tangan Rina.
Biarlah dia yang putuskan. Apa yang baik bagi Rina baik juga bagi kami. Kami
juga dengar yang Rina dan Farid ni berkawan sejak dari univerisiti lagi,
masing-masing dah kenal hati budi masing-masing, kan?” sambung Hamdan.
“Macam tu juga yang saya dengar” sampuk Karim dan
dia ketawa.
Selepas berbual-bual, Hamdan dan isterinya
mengundang tetamu-tetamu mereka untuk makan tengahari bersama-sama. Rina berdiam diri sahaja dan menjawab kalau
ditanya. Dia tidak tau apa yang harus dilakukannya kecuali kalau disuruh oleh
mamanya.
……………………………………………..
Dato' Sahar memberhentikan keretanya di hadapan
rumah batu di hadapannya. Dia dan Datin Hasmah membuka tali keledar dan turun
dari kereta. Dilihat Tahir sedang bekerja di laman rumahnya tercegat untuk
memerhatikan gerangan tetamu yang bertandang ke rumahnya.
Apabila melihat Dato' Sahar dan Datin Hasmah turun
dari keretanya, Tahir segera menyapa besannya itu. Dia berjalan dan berjabat
tangan dengan Dato' Sahar dan menjemput mereka berdua masuk ke dalam rumah.
Tahir memanggil isterinya untuk keluar ke ruang tamu
dan menyapa besan mereka. Datin Hasmah senyum kepada Aminah yang terkocoh-kocoh
keluar dari dapur untuk menyapa mereka. Aminah mengesat tangannya yang basah di
kain sarung miliknya sebelum dia menghulurkan kedua tangannya untuk bersalam
dengan Aminah.
“Duduklah” pelawa Tahir. Dato' Sahar dan Datin
Hasmah duduk di kerusi di ruangan itu.
“Duduklah dulu, saya buatkan air” beritahu Aminah.
“Tak payah susah-susah kak, kami dah minum di masjid
tadi” beritahu Datin Hasmah. Dia dan suaminya, sebenarnya dari masjid dekat
kawasan perumahan sebelum mereka berdua memandu kereta ke rumah besan mereka
ini.
“Eh tak apalah, tak susah pun” beritahu Aminah.
“Tak payahlah kak, tak baik tua-tua ni minum air
manis banyak-banyak” sampuk Dato' Sahar pula. Mereka tidak mahu menyusahkan
besan mereka itu.
Aminah akhirnya mengalah dan duduk di samping suaminya.
“Kenapa tak cakap nak datang? Kalau kami tahu, kami
dah siapkan makanan yang sedap-sedap sedikit” ujar Tahir.
“Tu sebabnya kami tak cakap, abang. Takut susahkan
abang saja” sambung Dato' Sahar. Dia dan isterinya senyum.
“Tak susahpun, makan kat sini sajalah nanti. Aminah
ni pun tengah masak tadi” sambung Tahir lagi.
“Tak susahkan abang, ke?’ soal Dato' Sahar.
“Tak adalah” beritahu Tahir.
“Kalau macam tu, saya ikut saja bang. Lagipun dah
lama tak rasa masakan kampung ni, bang” beritahu Dato' Sahar lagi.
“Balkish dengan Amin tak datang sekali ke?’ soal Aminah.
Dia dapat mengagak tujuan kedatangannya besannya itu adalah mahu berbincang
soal anak mereka.
“Ada dekat rumah kak. Dengan Amin sekali. Saja kami
tinggalkan mereka berdua dan datang ke sini, ingat nak bincang pasal dia orang”
beritahu Datin Hasmah.
“Sufi macamana? Dah sembuh?” soal Aminah
mengingatkan tentang keadaan Sufi.
“Alhamdulillah dah semakin baik, kak. Cepat sembuh,
sekarang dah boleh nak berjalan. Luka operate
pun dah kering” beritahu Datin Hasmah lagi.
“Balkish dengan Amin macamana?” soal Tahir ingin
tahu. Dia sebenarnya malu dengan keluarga besannya itu memandangkan sikap
Balkish yag dirasakan biadap terhadap suaminya sendiri. Dia terkejut apabila
mendengar tentang penceraian yang diminta oleh Balkish. Nasib baik Amin tu
tidak mudah melatah dan berjaya menangani sikap Balkish yang keras kepala.
Perkahwinan anaknya itu masih mungkin boleh diselamatkan lagi.
Walaupun kecelakaan telah terjadi kepada Sufi namun
semua itu mungikn ada hikmahnya. Balkish sudah boleh menerima Sufi sepertimana
dia menyayangi anaknya, Iman dan dia berharap agar Balkish menerima Amin
sebagai seorang suami dan membunuh niatnya untuk bercerai dengan Amin. Dia
yakin yang Amin telah banyaki berubah selama bertahun-tahun ini. Amin
menjalanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan menantu dengan baik. Amin juga
telah banyak membantu adik-adik Balkish. Dia tidak akan mendapat menantu yang
lebih baik daripada Amin dan dia yakin Amin dapat menjaga Balkish dengan
sempurna, cuma anaknya itu yang tidak
memberikan suaminya peluang.
“Balkish dah berbaik dengan Amin, bang. Saya tengok
Balkish dah berubah sedikit-sedikit. Cuma kita tak boleh nak push sangat dia orang tu. Masing-masing
masih muda, takutnya nanti kalau kita masuk campur sangat lain pula yang jadi”
beritahu Dato' Sahar.
“Maaflah pasal Balkish. abang pun tak sangka dia
bertindak sejauh tu. kalau ada lihat yang tak baik, tegurlah Balkish tu, abang
tak kisah. Lagipun Amin tu, abang dah anggap macam anak sendiri. Balkish tu dia
dari dulu tak macam tu. Tak tahulah kenapa jadi macam tu” sampuk Tahir.
“Tak adalah, bang. Balkish macam tu pun sebab Amin.
Kami tak pernah nak salahkan menantu kami. Kita berdoalah untuk mereka. Saya
nak sangat tengok mereka berdua berbaik” sambung Dato' Sahar lagi. Aminah dah Datin
Hasmah terngaguk-angguk setuju.
“Amin tinggal kat luar lagi ke?’ soal Aminah.
“Dia dah pindah rumah kami. Cuma tinggal dekat bilik
Aman buat sementara waktu ni” beritahu Aminah lagi.
“Perlahan-lahanlah tu” sampuk Dato' Sahar lagi.
…………………………………………….
Balkish memimpin Iman sementara Amin mendukung Sufi
dalam dukungannya. Anak-anak mereka itu teruja saat Amin memberitahu ingin
keluar membeli belah malam ini. Mereka bukan main lagi meminta Amin untuk
singgah di Toys R Us seperti selalu. Memang itu juga tujuan Amin membawa
keluarganya keluar malam ini. Janjinya kepada Iman dan Sufi untuk membelikan
mereka berdua hadiah baru harus ditunaikan dan kali ini Balkish turut menemani.
Sudah lama dia tidak keluar bersama-sama Balkish. Malam ini Balkish bersiap sangat
cantik, dengan seluar jeans warna biru tua dan dengan blouse kuning yang
longgar serta bertudung shawl dengan
corak abstrak, menambahkan seri pada penampilannya.
Amin membawa keluarganya ke Toys R Us sambil di
ikuti oleh Balkish dan Iman.
“Pa, boleh abang jalan sendiri?” soal Sufi yang
masih di dalam dukungan papanya.
“Jangan main jauh-jauh. Adik nanti tengok-tengokkan
abang” pesan Amin kepada Iman. Walaupun Sufi sudah boleh berdikari sendiri dan
lukanya sudah semakin sembuh tapi dia harus lebih hati-hati. Takutnya
terlanggar orang secara tidak sengaja
dan terjatuh, nanti lukanya yang sudah sembuh itu takut-takut menjadi bertambah
parah.
Amin meletakkan Sufi berdiri di atas kakinya
sendiri. Sufi kemudian segera mengajak Iman untuk mengekorinya. Mereka berdua
berjalan ke arah suatu sudut yang dipenuhi dengan rak yang menempati banyak
permainan robot.
“Tak apa ke awak biar Sufi macam tu?” soal Balkish
risau.
“InsyaAllah tak apa-apa. Dia dah sihat dah pun
sekarang ni” beritahu Amin. Dia mendekati Balkish yang berdiri di sisinya.
“Cantik Balkish malam ni” puji Amin. Balkish senyum.
Pujian itu menjentik hati wanitanya. Tambahan pula pujian itu, dari suami
sendiri.
“Company macamana,
abang?” soal Balkish sengaja menukar topik. Walaupun pujian Amin tadi
menggembirakan hatinya tetapi dia tidak mahuu terus hanyut dengan kata-kata
manis itu.
“Okey saja.
Kenapa Balkish tanya?” soal Amin.
“Tak ada, hari tu Rihan call tanya pasal akaun dulu. abang nak ambil tender baru ke?” soal
Balkish ingin tahu.
“Ada projek baru dekat Kuantan. Tapi abang dah suruh
Malik dengan Rihan tengok bajet untuk projek tu” beritahu Amin.
“Abang nak pergi Kuantan ke nanti?’ soal Balkish
risau.
“Tak tahu lagi. Mungkin abang suruh Farhan saja
pergi kalau Balkish tak nak abang pergi” beritahu Amin.
Balkish diam sebentar. Obvious sangat ke tadi? Coverlah
sedikit Balkish oi! Kan tak pasal-pasal sekarang dah malu sendiri.
“Balkish tak kisah pun” kata Balkish. Tak kisah? Oh yeah, I mind. Tapi sebab malu tadi so terkeluar pula yang lain.
“Tegoklah nanti macamana, abang rasa yang mula-mula
ni abang yang patut pergi, then nanti second visit baru abang suruh Farhan saja yang pergi” beritahu Amin.
Hah! Ambik Balkish! Amin nak pergi Kuantan nanti.
Tinggallah kau seorang-seorang dekat rumah. Nanti kalau rindu, pandai-pandailah
sendiri. Siapa suruh berlagak sangat tadi cakap tak kisah.
Balkish diam sebentar. Dia melihat ke arah
anak-anaknya yang sedang sibuk berbincng mahu membeli barang mainan apa. Mereka
berdua bagaikan taksub dalam dunia mereka sendiri tanpa mempedulikan
persekitaran dan orang ramai di sekeliling mereka. Balkish sekadar senyum
melihat keakraban kedua orang anaknya itu.
“Kalau tak ada apa-apa, hari isnin ni saya nak masuk
kerja” beritahu Balkish. Dia mengambil keputusan ini setelah melihat kesihatan
Sufi sudah bertambah baik dan dia pula sudah lama tidak masuk ke pejabat.
Walaupun Amin memahami dan memberikan izin dengan situasinya tetapi dia sendiri
berasa tidak selesa kerana mengambil cuti tanpa gaji terlalu lama.
“Pa!” laung Iman dari tempat dia berdiri. Balkish
dan Amin berpaling ke arah anak-anak mereka. Iman melambaikan tangan meminta Amin
datang ke arahnya.
Amin mengajak Balkish berjalan ke arah anak-anak
mereka.
“Pa, adik nak yang ni boleh?” soal Iman.
“Ni kan sama dengan yang kat rumah” pintas Amin.
“Adik cari lain” beritahu Iman.
“Abang tak kisahpun kalau Balkish nak cuti lagi”
sambung Amin saat dia melihat wajah Balkish. Ayunya isteri abang ni. Balkish
melihat ke arah suaminya. Mereka bertentangan mata untuk seketika. Balkish
senyum dan Amin juga turut tersenyum.
“Abang dah cakap ke yang Balkish cantik malam ni?”
soal Amin.
Balkish ketawa lucu. “Dah” jawabnya. Terhibur dengan
gurauan manja dari suaminya.
“Mama, abang pun rasa mama cantik” sampuk Sufi yang
terdengar kata-kata papanya yang memuji mama.
Balkish terkejut tapi kemudian dia ketawa lucu. Tak
sangka pula perbualan mereka didengari oleh Sufi yang sejak dari tadi hanya
berdiam diri.
“Sufi ni nak bersaing dengan papa ke?” soal Amin
sengaja mengusik anak sulungnya itu.
“Best man win,
papa” balas Sufi.
“Amboi!” marah Amin. Dia tidak menyangka anaknya
yang masih kanak-kanak itu tahu dengan istilah begitu. Balkish ketawa lucu.
Sufi akhirnya pergi mendapatkan adiknya yang masih leka
mencari barang mainan.
“Abang ni, dengan Sufi pun nak bergaduh” rungut
Balkish, namun dia tahu yang Amin sebenarnya hanya mahu bergurau dengan Sufi. Amin
ketawa.
“Abang terkejut juga dengar Sufi jawab macam tu
tadi. Budak-budak zaman sekarang ni, cepat membesar”
Balkish mengangguk. Dia dan Amin berjalan ke arah
anak-anak mereka.
“Boleh abang pegang tangan Balkish?” soal Amin.
Balkish berhenti dan melihat ke arah suaminya. Takkan itu pun Amin nak minta
kebenaran? Aku tak kisah tapi takkan nak jawab boleh pula? Malu kot!
Amin senyum sambil menantikan jawapan daripada
isterinya itu. Balkish berlalu pergi tanpa sebarang jawapan, dia berharap agar Amin
terus memegang tangannya tapi harapannya itu kosong. Mereka berdua berjalan
berasingan menuju ke tempat anak-anak mereka.
Amin hampa apabila Balkish tidak memberikan izinnya.
Mahu bertindak sesuka hati takut pula mengundang marah di hati si isteri jadi dikebumikan
sahaja kehendak hatinya itu. Takut pula mood dan suasana yang baik begini rosak
gara-gara sikapnya yang bertindak melulu. Balkish ni unpredictable, nanti apa-apa jadi susah pula. Tak apalah, mungkin
lain kali baru Balkish mahu. Bersabarlah sedikit lagi, Amin!