Wednesday, December 9, 2015

sndki 65-66


Bab 65
Banyak kerja yang harus disiapkan sebelum Amin pulang ke rumah. Urusan kos dan biaya tender terbaru yang ingin didapatkan oleh syarikatnya terpaksa diuruskan oleh Malik dan Rihan kerana Balkish mengambil cuti menjaga Sufi.
“Bos, kami balik dulu” pinta Rihan. Dia memberikan isyarat mata kepada Malik untuk segera mengikutnya. Takut pula macam-macam disuruh oleh bos mereka itu. Ini pun sudah dikira kerja lebih masa tanpa gaji.
“Bos, balik dulu” Malik turut meminta diri. Mereka bertiga berpisah di tangga bawah syarikat. Amin berjalan ke arah tempat parkir berdekatan dengan lorong sunyi di samping 7eleven. Parkir di situ selalu kososng kerana orang tidak berani parkir dekat lorong sunyi itu tetapi sepanjang Amin bekerja di situ, tidak pula dia mendengar ada cerita atau kejadian yang tidak baik berlaku di situ. Pintu kereta dibuka dan Amin duduk di tempat pemandu. Tidak lama kemudian keretanya dipandu keluar ke jalan raya utama. Amin mahu segera pulang untuk berehat dan bertemu dengan keluarganya.
Sebaik sahaja sampai di perkarangan rumah, Amin melihat kereta Aman turut parkir di tempat biasa. Amin parkir keretanya di luar pagar rumah kerana ruang parkir kereta sudah penuh. Dia menapak masuk ke dalam rumah dan melihat Aman sedang menonton televisyan. Dia menegur, “Bila balik?” soal Amin.
“Petang tadi. Lambat abang balik. Banyak ke kerja dekat syarikat?” soal Aman.
Amin duduk di sofa.
“Kerja sampai bila-bila pun tak habis” jawab Amin.
“Nasib baik bukan Aman yang ambil alih syarikat papa” Amin melafazkan syukur. Tanpa sedar, kata-katanya itu melukai hati abangnya.
“Abang nak makan ke?” soal Aman lagi saat dia mula sedar kata-katanya itu mungkin mengguris hati abangnya.
“Abang penatlah” beritahu Amin. Dia mula mengangkat kaki meninggalkan Aman. Amin naik ke tingkat atas dan membuka pintu bilik Balkish. Dilihat Balkish dan anak-anak mereka sedang tidur dengan nyenyak di katil. Amin menghampiri. Dia merendahkan badan menatap wajah Sufi yang berbaring disisi Balkish. Dahi Sufi dikucup mesra, sayu hatinya apabila menatap wajah Sufi yang sedang nyenyak tidur, kanak-kanak sekecil Sufi sudah harus merasai sakit seperti sekarang. Ini semua kerana kelalaiannya untuk memerhatikan kedua-dua anaknya. Nasib baik Sufi sembuh dengan cepat dan akan kembali seperti biasa. Seandainya sesuatu yang buruk terjadi kepada Sufi, dia pasti tidak dapat meaafkan dirinya.
 Amin bangun berdiri, sebentar dia melihat ke arah Balkish, menatap wajah Balkish yang berbaring disamping Sufi dan Iman. Wajah itu sangat ayu, seperti selalu. Melihat Balkish lena tidur, membuatkan hati lelakinya damai, wajah itu masih cantik seperti beberapa tahun dulu, kulitnya putih mulus tanpa cela, tanpa alat mekap. Rambut panjang dan hitam milik Balkish lepas mengurai di bantal. Balkish sangat cantik sehingga membuatkan hati Amin jatuh cinta untuk ke sekian kalinya. Dia tidak pernah dapat melupakan atau melepaskan Balkish walaupun mereka berdua telah menempuh banyak dugaan dalam hubungan perkahwinan mereka. Setelah kehadiran Balkish, dia tidak pernah jatuh cinta dengan wanita lain dalam hidupnya. Cintanya hanya untuk Balkish seorang dan tiada yang lain selain Balkish.
Balkish tersedar dari tidurnya dan dia agak terkejut apabila menatap wajah Amin berhadapan dengannya. Balkish cepat-cepat membetulkan posisinya dan duduk di katil, dia bertentangan mata dengan Amin yang sedang memandangnya.
“Abang dah makan? Kalau abang nak makan, Balkish panaskan makanan petang tadi” beritahu Balkish. Kasihan Amin, jam-jam begini baru pulang kerja. Pasti dia lapar.
“Abang dah makan” beritahu Amin.
“Ah, Aman balik petang tadi. Abang tidur mana malam ni?” soal Balkish. Dia risau jika Amin tidur sebilik dengannya kerana dia belum bersedia. Kalau Amin tidur di sofa, dia pula tidak sampai hati, sudah beberapa hari ini Amin asyik tidur di kerusi keranan menunggu Sufi di hospital. Tambahan pula Amin hari ini kerja keras sampai jam sekarang baru pulang. Kalau dibiarkan sahaja Amin tidur di sofa, rasanya kurang elok. Kalau Amin mahu tidur di sini, pasti aku akan membiarkan sahaja itupun jika dia bersuara. Kalau Amin yang minta, kalau aku yang ajak, tak mungkinlah!
“Abang tidur bilik Iman sajalah” beritahu Amin, apabila memikirkan kerisauan hati Balkish kalau dia tidur di bilik ini.
Mendengar jawapan Amin itu, hati Balkish seharusnya gembira dan bersyukur tetapi tidak, entah kenapa dia berasa hampa dengan jawapan yang baru diberikan oleh suaminya. Berharapkah aku agar Amin tidur sebilik denganku? Mustahil, sedangkan selama ini aku bermati-matian tak nak sebilik dengan dia, bahkan sebumbung juga tidak mahu. Tapi kenapa aku tidak gembira apabila  mendengar Amin mahu tidur sendirian di bilik Iman? Balkish sedar sedikit, kau tu perempuan, takkan nak terhegeh-hegeh pula dekat Amin? Fikir Balkish, fikir. Malu kau nanti kalau kau yang ajak Amin tidur sini.
“Kenapa tak nak tidur sini?” soal Balkish polos. Lak? Tadi bukan main akal aku menegah aku dari mengundang Amin tidur sini. Lain difikirkan, lain pula lidah ini berkata.
“Balkish nak abang tidur sini?” pertanyaan itu diajukan tersekat-sekat kerana  perasaan tidak percaya. Wajah Balkish dilihat dan gadis itu pula sengaja melarikan wajahnya daripada ditatap oleh Amin. Amin tersenyum lucu saat melihat wajah Balkish yang sudah merona merah menahan malu. Dia tahu Balkish belum bersedia tetapi Alhamdulillah, hati isterinya itu sudah mula terbuka untuknya.
“Tak apalah, abang tidur bilik Iman sajalah” beritahu Amin.
Apabila mendengar jawapan daripada Amin itu, Balkish segera mengangkat wajahnya memandang Amin dengan rasa tidak percaya. Dia sudah memberi peluang ini kepada Amin walaupun dia sebenarnya masih belum bersedia, tetapi Amin menolak. Amin tahu yang aku belum bersedia? Semakin dia mengenali Amin semakin dia berasa kagum dengan keperibadian dan sikap lelaki itu. Kenapa selama ini aku buta menilai kebaikan hati dan budi yang dipamerkan oleh Amin kepadaku? Kenapa aku gagal mengesan perubahan baik atau hijrah pada diri suamiku sendiri? Adakah aku terlalu menyisihkan dia dari hidupku selama ini?
Amin terlalu baik, dia akan cuba untuk memenuhi setiap kehendak dan permintaanku, tidak pernah dia menolak. Aku mahukan dia tidur di balkoni dan di sofa, dia menurut, aku mahukan kami tidak sebumbung, dia hanya mengikut tanpa protes apa-apa sedangkan dia hanya tinggal di rumah sewa dan aku bersenang-senang tinggal di rumah papa. Amin telah banyak berkorban untukku selama ini, kenapa baru sekarang aku sedar?
“Kenapa abang baik sangat dengan Balkish?” soal  Balkish polos. Akhirnya terpacul juga pertanyaan itu darpada bibir munggil Balkish. Dia melihat kepada Amin yang masih berdiri. Hatinya kasih melihat seraut wajah yang sangat tampan itu. Wajahnya masih kelihatan tampan Cuma sudah lebih matang berbanding Amin yang dikenali beberapa tahun dulu. Cara dan gaya pemakaiannya juga sudah berubah.
Amin duduk berteleku dengan kedua lututnya dipacakkan ke lantai untuk dia bertentangan dengan Balkish yang duduk di katil. Wajah mereka berdua agak jauh namun Amin menatap Balkish dengan pandangan penuh kasih sayang. Tiada wanita lain (selain mama) yang bertahta di hatinya kecuali Balkish. Balkishlah isteri yang pertama dan terakhir buatnya walaupun gadis tu masih belum menyedarinya atau sengaja berpura-pura tidak menyedari hakikat yang dia benar-benar menyintai Balkish dengan sepenuh hati. Setelah dia menikahi Balkish dengan hanya satu lafaz, saat itu dia sudah merasakan yang hatinya akan menyayangi Balkish dan melindungi Balkish dengan sepenuh hati, membahagiakan Balkish dan menjaga Balkish selama hayatnya di kandung badan. Dia berharap cintanya akan sampai ke hati Balkish, perasaan tulus ikhlasnya terhadap Balkish lambat-laun akan mencairkan ego Balkish dan andainya ada peluang, dia berharap agar Balkish memaafkannya dan memberinya kesempatan untuk dia menebus segala kesalahannya yang dulu.
Pertanyaan Balkish tadi tidak dirasakan aneh. Dia tidak boleh menyalahkan Balkish andainya gadis itu masih berasa curiga atau tidak percaya kepadanya memandangkan dia dulu memang seorang lelaki yang tidak boleh diharapkan. Bukan sahaja Balkish tetapi dia juga bahkan tidak percaya dengan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Ini semua berkat izin Allah dan bantuan Farid serta Ustaz Wahid, serta Balkish yang secara tidak langsung mengubah pendiriannya dalam hidup. Allah yang  membuka hatinya dan memberinya hidayat dan Balkish merupakan sebab kepada perubahan itu. Walaupun hubungannya dengan Balkish bukan seperti hubungan suami isteri yang lain tetapi dia tetap bersyukur kerana memperisterikan gadis sebaik Balkish. Dia tahu dalam keegoan Balkish, sikap yang keras kepala dan kedegilannya, jauh di sudut hatinya Balkish merupakan seorang isteri yang baik. Buktinya gadis itu tidak pernah menduakannya walaupun dia membencinya dengan sepenuh hati. Sikap negatif yang ada pada Balkish sekarang mungkin kerana perasaan marahnya serta cara untuk dia melindungi dirinya dari terluka lagi. Seandainya Balkish memberi satu peluang, dia akan membuatkan Balkish bahagia.
Amin memberanikan diri memegang tangan kanan Balkish sementara Balkish hanya membiarkan. Mereka berdua bertentang mata, Amin kemudiannya menarik tangan Balkish dengan lembut dan meletakkan telapak tangan Balkish ke pipinya. Balkish hanya memandang ke arahnya. Perbuatan Amin itu dirasakan pelik tetapi saat tangannya menyentuh wajah Amin, dia berasa tenang. Dia tidak pernah menyentuh tubuh Amin apatah lagi wajahnya. Inilah pertama kali, wajah bersih Amin yang sentiasa dikaguminya itu disentuh oleh telapak tangannya. Kulit Amin hangat, walapun wajah itu kelihatan bersih namun saat jari-jemari Balkish mengelus pipi Amin, dia dapat merasakan kasar janggut yang baru dicukur di bahagian dagu. Balkish senyum lucu, tak sangka pula, Amin ni berjambang. Geli Balkish dibuatnya. Dia melarikan tangannya.
“Kenapa gelak?” soal Amin pelik.
Balkish menggeleng. Malas mahu berkongsi perkara yang dianggapnya lucu itu. Nanti dia pula yang diketawakan oleh Amin.
“Balkish ada rasa apa-apa tak?” soal Amin ingin tahu.
“Rasa apa?” soal Balkish.
“Apa-apa, jantung Balkish berdegup kencang ke? Berdebar-debar ke?” soal Amin. dia mahu mencari tahu perasaan sebenar isterinya itu.
“Tak ada apa-apa pun” bentak Balkish. Padahal, dia berdebar-debar bagai nak rak tadi, itupun sebentar sahaja. Kemudian dia berasa tenang apabila menyentuh wajah suaminya.
Amin kecewa.
“Betul tak ada apa-apa?” soal Amin lagi, tidak percaya dengan jawapan pertama Balkish tadi.
“Tak ada apa-apa” jawab Balkish pula.
“Kalau abang buat macam ni” baru sahaja Amin mahu mencium dahi Balkish, gadis itu cepat-cepat mengelak dan menepis pipi Amin dengan tapak tangannya.
“Er, tak nak” marah Balkish.
Amin senyum saja. Manja suara Balkish kedengaran di telinganya. Cium saja pun, itupun susah. Nampaknya Amin kena berusaha lebih kuat lagi untuk mencairkan hati Balkish.
Balkish akhirnya melepaskan tangannya dari wajah Amin. Sejak sentuhan pertama pada pipi Amin tadi, dia sudah tidak berfikir panjang untuk menyentuh lagi pipi itu untuk kedua kalinya. Cuma kali ini dia cover-cover sedikit, takut pula Amin perasan yang dia sengaja mahu merasakan kehangatan pada wajah itu.
“Tidurlah, abang pun mengantuk dah ni” Amin bangun dari duduknya, dia berjalan ke arah Iman yang tidur di samping Balkish. Rambut Iman yang menutup dahi di selak dan kemudian Amin mencium dahi anaknya itu.
“Assalamualaikum” ucap Amin seraya dia keluar dari bilik Balkish dan menutup pintu bilik rapat-rapat.
Apabila melihat Amin sudah keluar, barulah Balkish membaringkan badannya ke samping Iman dan Sufi. Gebar ditarik untuk menyelimuti tubuh Sufi, Iman dan juga dirinya. Balkish tersenyum sendiri. Kemesraan Amin terasa lucu baginya. Lama-kelamaan barulah Balkish dapat kembali melelapkan matanya yang sudah mengantuk.

Bab 66
Awal-awal pagi lagi Balkish sudah turun ke dapur untuk menyiapkan apa yang patut. Setelah semua keluarganya bersarapan, Balkish menyiapkan pula makanan untuk Sufi. Anaknya itu masih belum boleh makan nasi biasa, nasi Sufi sengaja dimasak lembik untuk memudahkan proses penghadamannya. Bibik, seperti biasa, jam-jam begini sudah menyiapkan bahan mentah untuk makan siang.
Balkish membawa keluar sepinggan ayam goreng kegemaran Sufi ke ruang makan. Dia sempat menjeling ke arah anak-anaknya yang leka bermain dengan Amin di ruang menonton. Sufi sembuh dengan cepat dan sekarang dia sudah boleh berjalan dan melakukan aktiviti sehari-harian tanpa bantuan orang lain. Kadang-kadang tu, dia yang terpaksa melarang Sufi dari bermain dengan Iman kerana merisaukan keselamatan dan kesihatanya.
Dato' Sahar dan Datin Hasmah turun ke tingkat bawah dengan berpakaian cantik-cantik.
“Min, mama dengan papa nak keluar kejap pergi masjid” beritahu Datin Hasmah kepada Amin. Balkish turut mendengar, dia kemudian berjalan ke ruang menonton televisyen.
“Mama tunggulah lepas makan tengahari dulu, Balkish tengah masak ni” beritahu Balkish.
“Tak apalah, kami makan dekat luar saja” sampuk Dato' Sahar.
“Cepatlah, Mah” ajak Dato' Sahar. Datin Hasmah mengikut suaminya dari belakang.
Amin dan Balkish menghantar Dato' Sahar dan Datin Hasmah ke pintu. Mereka melambaikan tangan saat mahu keluar ke jalan raya.
“Awak masak apa?” Soal Amin.
“Masak  makanan kegemaran awaklah” jawab Balkish.
“Mesti sedap” Amin bergurau, sengaja memaniskan mood isterinya di hari ini. Balkish kembali semula ke dapur untuk menyambung kerjanya semenetara Amin kembali ke ruang menonton, bermain bersama anak-anaknya.
“Abang, oh abang” panggil Balkish saat dia sudah siap menghidangkan makanan buat Sufi. Makanan Sufi disiapkan terlebih dulu kerana anaknya itu makan sedikit sahaja pagi tadi, kerana takut Sufi berasa lapar jadi Balkish sengaja menghidangkana makanan Sufi yang berupa nasi lembik dan ayam goreng kegemarannya.
Balkish berpaling ke arah ruang menonton. Dia tergelak lucu saat melihat Amin, Iman dan Sufi berpaling serentak ke arahnya.
“Balkish panggil Sufi ke?’ soal Amin hampa. Ingatkan isterinya itu memanggilnya
Ketawa Balkish masih berlarutan saat menatap wajah Amin yang tampan dalam ekspresi gembira kerana sangkanya, panggilan abang tadi buat dirinya.  Sekarang ini panggilan abang itu menimbulkan kekeliruan. Kalau dulu lainlah, ‘abang’ buat Iman seorang. Tapi kini ‘ abang’ buat Amin dan Sufi juga.
Balkish mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Amin selepas ketawanya berhenti.
“Abang, mari makan” ajak Balkish lagi. Balkish berjalan ke arah ruang menonton untuk mengajak Sufi makan.
“Sufi, mama panggil. Sufi belum makan lunch lagi kan? Kejap lagi nak makan ubat” tegur Amin saat melihat panggilan Balkish tadi tidak diendahkan oleh anaknya. Sufi memang tidak suka makan makanannya semenjak dia sakit ini. Makannnya harus dikisar dan tidak mempunyai rasa kecuali rasa tawar.
“Jom makan. Abang nak kena makan ubat lagi” pujuk Balkish pula.
Sufi menggelengkan kepalanya dan menutup mulutnya dengan kedua tangan.
“Abang kan dah besar, kena bagi contoh dekat adik, kalau abang tak dengar cakap mama dengan papa, nanti adik ikut, macamana?” pujuk Balkish lagi.
“Abang tak nak makan, tak sedap”
Okey kalau abang makan hari ni, esok mama masak special untuk abang. Esok abang dah boleh makan macam adik. Nak?” soal Balkish.
Sufi mengangguk laju.
“Kalau macam tu abang kena makan dulu apa yang mama masak hari ni”
Sufi menggelengkan kepalanya sekali lagi.
“Makanlah sedikit. Mama janji esok abang boleh makan macam adik” pujuk Balkish lagi. kali ini Sufi berdiam diri.
“Erm, makan sedikit, ya” pujuk Balkish. Dia memegang tangan Sufi dan membimbing Sufi ke ruang makan. Amin juga mengikut. Sufi didudukkan di kerusi, Balkish duduk di sampingnya dan mengambil makanan Sufi. Isi nasi disuapkan ke mulut Sufi. Perlahan-lahan Sufi mengunyah dan menelan. Mukanya mengkerut menahan rasa tidak enak nasi lembik yang dimasak oleh Balkish.
“Mama, tak nak dah, dah kenyang” beritahu Sufi.
“Makan sedikit lagi” sampuk Amin.
“Pa, tak sedap” balas Sufi.
“Habiskah, nanti kita keluar pergi Toys ‘R’ Us kalau Sufi habiskan” sambung Amin.
“Betul pa. kalau pergi Sufi nak beli transformers yang baru” sambung Sufi”
“Boleh, tapi Sufi kena habiskan” balas Amin.
“Adik nak juga, pa” sambung Sufi. Amin mengangguk setuju.
“Awak ikut sekali” beritahu Amin kepada Balkish yang sejak dari tadi memerhatikannya. Mereka berdua tidak pernah keluar sekeluarga. Biasanya Amin hanya membawa Iman dan Sufi. Balkish jarang mahu mengikut mereka keluar tetapi sekarang sudah lain, Balkish mungkin mahu ikut serta kalau dia membawa anak-anak mereka keluar membeli-belah. Jadi Amin mencuba nasib dengan mengajak isterinya sekali.
“Bila awak nak pergi?”soal Balkish.
“Malam ni, atau esok” beritahu Amin. Balkish mengangguk. Dia kembali menyuap makanan Sufi. Amin tersenyum gembira, ajakannya itu diterima oleh Balkish. Tak sabar rasanya nak keluar sekeluarga dengan Balkish. Amin memasang angan-angan dapat bermesra dan berbual-bual dengan isterinya itu saat mereka sekeluarga keluar bersama-sama nanti.
…………………………………….
Rina tidak senang duduk apabila memikirkan yang sebentar lagi rombongan merisik akan sampai ke rumahnya. Patutlah mama beriya suruh pulang hujung minggu ini, rupa-rupanya ini halnya. Siapalah gerangan lelaki malang yang bakal datang ke rumahnya dan meminta untuk menyunting dirinya. 
Rina membetulkan baju kurung kuning yang dibeli oleh mama semalam. Beriya mama beli baju cantik ni dekat butik kegemaran mama. Patutnya masa tu aku dah syak mama ada agenda tersendiri saat mama beriya ajak pergi buat facial, pergi sauna dan pergi shopping semalam. Ingatkan mama cuma demam rindu sebab lama tak jumpa aku., ternyata mama lebih cermat.
Mama pula sibuk di dapur menguruskan hidangan yang bakal disajikan kepada ‘tetamu kehormat’ mama nanti. Pandai mama merancang segala-galanya tanpa sedikitpun menimbulkan syak di hatiku. Pujiku lagi buat rancangan bermakna mama utnuk mempertemukanku dengan calon tunang yang ditetapkan oleh mama. Entah macamanalah rupa calon yang dipilih mama, handsome ke? Pasti beriman dan baik, sebab orangtua ni biasanya pandai ‘melihat’
Rina masuk ke dapur. “Mama, nanti kalau calon mama tu tak datang lagi, Rina nak keluar dulu” beritahu Rina. Dia sudah penat menunggu kehadiran tetamu yang tidak kunjung tiba.
“Nak pergi mana, tunggulah. Orang datang nak lihat kamu. Takkan kamu nak keluar pula” marah mama, tetapi mama tak berhenti dari menyusun kuih yang dimasaknya, dan aku sejak dari pagi tadi memang tak pernah berhenti mengomel.
“Siapa suruh datang lambat, janji pukul berapa, ni dah nak petang dah ni” marah Rina lagi. Penat dia menunggu dengan baju kurung kuning pilihan mama ini.
Yatie memandang wajah anak daranya yang sudah masam mencuka. Dia mencubit pipi Rina, “Senyum sedikit, nanti kalau tetamu kita datang, jangan buat muka masam macam ni pula” tegur Yatie. Dia mengangkat pinggan yang telah berisi kuih ke meja makan.
“Abang, tak telefon lagi dia orang tu?” soal Yatie kepada suaminya yang sedang menunggu di ruang tamu.
“Belum, on the way lah tu” jawab Hamdan.
Rina keluar ke ruang makan, “Ma, kawan Rina kata nak datang hari ni, Nanti..”
Belum sempat Rina menghabiskan kata-katanya, Yatie segera mencelah, marah juga mendengar ucapan dari anak daranya itu.
“Yang kamu janji nak keluar hari ni tu kenapa? Kan hari ni, orang datang nak tengok Rina, takkan Rina pula nak keluar”
“Mana Rina tahu dia orang nak datang. Mama pula tak cakap apa-apa. Lagipun Rina dah janji dengan dia, kelmarin lagi dia cakap dia ada hal dekat sini so dia nak singgah jumpa Rina kejap. Nanti Rina jumpa dululah dengan calon menantu mama tu, lepas tu Rina keluar dengan kawan Rina” beritahu Rina akan rancangannya. Nasib baik ada Farid yang menelefonnya memberitahu ingin bertemu dengannya. Farid, katanya ada urusan dekat-dekat sini jadi dia mahu berjumpa denganku yang kebetulan minggu ini pulang ke rumah papa. Untung ada Farid, sekurang-kurangnya dapatlah aku mencari alasan daripada lama-lama berdepan dengan pilihan menantu mama. Tak kuasa nak melayan lelaki yang tak dikenali, nanti pasti aku sendiri kekok.
“Dengan kawan yang mana pula kamu berjanji ni?” soal mama lagi.
“Adalah, mama tak kenal pun” Rina mengelak dari memberi jawapan yang panjang-panjang ke mama. Kalau mama tahu kawan yang bakal datang nanti adalah seorang kawan lelaki, pasti mama dah suruh aku call Farid sekarang cakap tak payah datang.
Entah macamanalah pilihan mama. Handsome ke, kacak ke, aku tak peduli. Buat masa sekarang, aku tak nak fikir sangat pasal kahwin. Dalam hati ni, ada Amin saja. Tapi Amin pula suami orang. Tak kisahlah, adalah tu jodoh aku mana-mana dekat ceruk di Malaysia ni. Lagipun, aku belum bertemu lagi dengan pemilik tulang belakang aku ni, sampai masa nanti, kalau dah bertemu dengan jodohku,  ke pelamin juga aku.
Rina berjalan ke arah luar. Dia mahu duduk di samping papa tetapi dia takut andainya dihujani pertanyaan papa dan juga teguran-teguran dari papa tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukannya saat tetamu kami datang sebentar lagi. Rina berjalan ke arah luar rumah.
Fikirannya hanyut ke Kuala Lumpur pada seraut wajah yang sangat tampan milik Amin. Lelaki itu telah menjadi temannya selama bertahun-tahun dan mereka telah berkongsi suka dan duka bersama. Teringat saat pertama perkenalan mereka dulu, saat itu Amin telah menyelamatkannya daripada serangan beberapa orang lelaki mabuk saat dia memandu sendirian pada malam hari. Sebelum itu, dia dan kawan-kawannya banyak mengutuk dan mengejek Amin kerana benci dengan cerita dan khabar angin tentang sikap playboynya. Tetapi setelah mengenali Amin. Pandangannya terhadap lelaki itu berubah. Amin tidak seteruk yang disangka, selama bertahun-tahun ini, dia menyaksikan perubahan sikap dan tingkahlaku yang dipamerkan oleh lelaki itu. Betapa bertuahnya Balkish kerana memilik lelaki sehebat Amin yang jelas menyintai isterinya dengan sepenuh hati. Dia juga mahu memiliki Amin tetapi sayangnya, lelaki itu hanya menyintai Balkish seorang. Andainya Amin turut mempunyai perasaan yang sama kepadanya, dia sanggup bermadu dan beralah kepada Balkish.
Seandainya Amin bukan milikku, siapakah yang berhak ke atasku? Dapatkah aku merasa cinta seorang suami sehebat cinta Amin kepada Balkish? Mungkinkah aku berpeluang untuk bertemu dengan lelaki sebaik Amin?
Tanpa sedar, kereta yang dipandu oleh Farid berhenti di luar pagar rumah Rina. Dia keluar dari perut kereta dan melambai-lambaikan tanganya ke arah Rina. Rina tersentak dari lamunannya apabila terpandang wajah kawan yang ditunggu-tunggu sejak tadi. Rina mencari-cari mama dan papanya, takut-takut mereka ternampak Farid. Setelah memastikan yang kedua orangtuanya tidak menyadari akah kedatangan Farid, dia berjalan perlahan-lahan ke perkerangan rumah.
Seorang lelaki keluar dari perut kereta Farid, Rina senyum kepadanya dan juga Farid.
Hye” sapa Rina.
Farid senyum.
You bawa kawan?” soal Rina. Sekejap-sekejap dia melihat ke belakang, takut-takut mama ataupun papa menyedari kedatangan Farid. Risau juga kalau-kalau mama nanti mengusir Farid pulang semata-mata kedatangan Farid ini bukan pada masa yang sesuai. Maklumlah, hari ini juga mama telah berjanji dengan bakal besannya untuk berjumpa dan berbincang di rumah, kalau-kalau mereka melihat aku bertemu dengan kawan lelaki, apa pula mereka fikir nanti.
“Awak cantik-cantik ni nak ke mana?” soal Farid apabila melihat penampilan Rina yang lengkap sedondon kuning dengan baju kurung serta tudungnya.
“Nantilah saya cerita” sambung Rina.
“Tak nak ajak saya masuk rumah ke?’ soal Farid. Dia ingin sekali kenal dengan keluarga Rina tetapi Rina kelihatan agak takut-takut menerima kedatangannya hari ini. Entah apalah yang dikalutkan olehnya. Farid senyum sahaja melihat kerenah Rina yang sentiasa mencuit hatinya.
Semasa Rina sedang bercakap dengan Farid, tiba-tiba seubah kereta Proton Preve berselisih dengan mereka dan masuk parkir di ruang parkir yang masih kosong di perkarangan rumah.
Rina jadi bertambah kalut. Apalah  yang bakal terjadi nanti kalau mama dan papa keluar untuk menjemput tetamu mereka dan ternampak dia sedang berbual-bual dengan Farid? Dan apa pula keluarga calon menantu mama fikir kalau melihat dia bersama-sama Farid di sini?
Rina dan Farid hanya memerhatikan apabila sepasang suami isteri keluar dari kereta Preve yang diparkir di depan rumah. Tidak lama kemudian Hamdan dan Yatie keluar untuk menjemput tetamu mereka. Mereka bersalam-salaman dan bertuka-tukar senyuman. Dalam hati, waktu itu Rina hanya mampu berdoa agar mama dan papanya tidak melihat ke luar rumah kerana di situ dia berdiri di samping Farid dan juga kawan Farid yang baru dikenalinya. Wajah Rina pucat lesi apabila mama berpaling ke arahnya dengan pandangan pelik, ekspresi wajah mama sulit ditafsirkan. Lama-lama papa dan tetamu mereka itu turut berpaling ke arahnya dengan ekspresi yang sama. Rina bertambah takut, apalah yang bakal terjadi kepadanya? Farid, tolonglah selamatkan aku, aku tak nak terlibat dalam arranged married ni!
“Rina!” panggil mama.
Rina diam, takut dengan konsekuensi yang bakal diterimanya nanti.
“Farid!” panggil tetamu wanita yang baru sahaja sampai itu.
Rina memandang wajah Farid dengan perasaan aneh. Bagaimana tetamunya itu tahu nama lelaki di sebelahnya ini? Bagaimana calon besan mama itu tahu nama Farid? Wajah Rina kelihatan bengis saat memikirkan jawapan yang paling sesuai untuk pertanyaannya tadi. Dia memarahi Farid di dalam hati. Lelaki itu telah membohonginya dan mempermainkannya. Jadi, Faridlah calon pilihan mama. Kenapa Farid tidak memberutahunya apa-apa malah sengaja mempermainkannya dengan merahsiakan tentang rancangan kedua orang tua mereka ini.
‘Siap kau Farid!’
“Jemputlah masuk” ajak Yatie, memanggil Farid yang masih tercegat di samping keretanya untuk mengikut mereka masuk ke dalam rumah. Farid mengangguk. Dia menghampiri Rina yang masih berdiri kaku kerana terkejut. Wajah Rina yang mula kelihatan sangat mengerikan, Farid bahkan takut untuk berbicara, takut tak pasal-pasal dia dimarahinya.
“Jomlah masuk” ajak Farid perlahan-lahan. Takut juga di luar lama-lama dengan Rina. Kalau di dalam rumah, dengan ada keluarga mereka, Rina pasti takkan memarahinya. Dia segera mengatur langkah masuk ke dalam dan menjarakkan dirinya daripada Rina. Mereka bedua duduk bersama keluarga masing-masing di ruang tamu.  Rina memandang Fraid dengan pandangan tajam, dia marah dengan perbuatan Farid yang merahsiakan tentang  kedatangannya bersama-sama dengan kedua ibu bapanya hari ini.
“Jemputlah minum, Farid” pelawa Yatie.
Farid pula mempelawa kedua orangtuanya untuk minum. Teh yang dibancuh suam-suam itu diteguk perlahan-lahan. Cawan tadi diletakkan kembali ke piring.
“Maaflah susahkan uncle dan keluarga hari ini” beritahu Farid memulakan bicara.
“Tak apa. Kan kami juga yang jemput” sambung Hamdan lalu senyum.
“Uncle, kenalkan ni ayah saya dan mak saya” beritahu Farid pula, memperkenalkan ayah dan maknya. Ayah Farid, Karim senyum kepada tuan rumah.
“Maaflah kami datang hari cuti macam ni” kata Karim memulakan bicara. Semuanya sudah disusun agar kedengaran sopan dan beralas.
“En. Hamdan dan Puan Yatie, sebenarnya kedatangan kami hari ini ada hajat” ujar Karim.
Hamdan sekadar senyum, sebenarnya maksud kedatangan tetamu mereka itu sudah diketahui awal-awal lagi. Semuanya telah disampaikan oleh Farid sebelum ini. Cuma hari ini mereka datang sebagai memenuhi tuntutan adat dan formaliti.
Sejak beberapa minggu kelmarin, Farid telah beberapa kali bertandang ke rumah mereka  sendirian dan memperkenalkan dirinya kepada mereka sebagai kawan Rina. Pada awalnya dia berasa pelik dengan pertemuan pertama mereka dahulu tetapi pada saat itu juga dia sebagai seorang lelaki dapat merasa keikhlasan dan keberanian Farid dalam usahanya untuk mengenali anaknya. Jadi pada pertemuan yang pertama dulu dia sudah berkenan dengan Farid. Tidak berapa lama setelah itu, Farid datang lagi, sekadar untuk menziarahi mereka tanpa pengetahuan Rina. Katanya dia berada berdekatan dengan perumahan jadi saja-saja dia datang menziarah. Dan kedatangan Farid untuk ketiga kalinya membawa maksud dan tujuan yang lebih besar iaitu meminta kebenarannya serta isternya untuk mengajak kedua orangtuanya bertandang dengan maksud mahu mengikat Rina sebagai tunangnya. Dia dan isteri bersetuju tetapi segala-galanya terletak pada tangan Rina untuk memutuskan samada menerima pinangan itu atau tidak.
“En. Hamdan dan isteri mungkin dah tahu. Kami sebenarnya datang sebab Rina, kalau tak ada halangan di pihak En. Hamdan dan keluarga serta Rina sendiri, saya bagi pihak anak saya Farid, nak merisik anak perempuan En. Hmadan” beritahu Karim.
Hamdan dan isterinya senyum. Rina pula terkejut mendengar kata-kata ayah Farid itu. Tidak pernah terlintas di fikirannya tentang mahu menikahi Farid, dia pula memang tidak pernah menganggap Farid lebih dari seorang teman. Tak sangka pula Farid boleh berfikir ke arah situ sedangkan selama ini dia tidak pernah menyangka yang dalam diam lelaki itu menyimpan perasaan terhadapnya. Dan tahu-tahu, hari ini, saat Farid datang dengan hajat besar ke rumahnya. Kenapa selama ini lelaki itu tidak pernah memberitahunya apa-apa dan bertanya tentang pandangannya terlebih dahulu? Kenapa tidak berterus-terang sahaja dan berbincang hal ini dengannya? Kenapa harus membawa hal ini ke pengetahuan mama dan papa?
Farid memandang wajah Rina di depannya. Wajah wanita itu kusut, bahagian dahi,  diantara dua keningnya berkerut. Pasti Rina sekarang tengah buntu dan terkejut dengan hajat yang dibawa oleh keluarganya hari ini. Fikir Farid.
“Kami mengalu-alukan kedatangan En. Karim dan keluarga, hajat pihak En. Karim juga kami terima dengan baik” kata Hamdan sambil senyum, dia sempat melihat wajah isterinya dan juga wajah anak tunggalnya, Rina, kemudian baru dia menyambung. “Keputusan nanti kami letak ke tangan Rina. Biarlah dia yang putuskan. Apa yang baik bagi Rina baik juga bagi kami. Kami juga dengar yang Rina dan Farid ni berkawan sejak dari univerisiti lagi, masing-masing dah kenal hati budi masing-masing, kan?” sambung Hamdan.
“Macam tu juga yang saya dengar” sampuk Karim dan dia ketawa.
Selepas berbual-bual, Hamdan dan isterinya mengundang tetamu-tetamu mereka untuk makan tengahari bersama-sama.  Rina berdiam diri sahaja dan menjawab kalau ditanya. Dia tidak tau apa yang harus dilakukannya kecuali kalau disuruh oleh mamanya.
……………………………………………..
Dato' Sahar memberhentikan keretanya di hadapan rumah batu di hadapannya. Dia dan Datin Hasmah membuka tali keledar dan turun dari kereta. Dilihat Tahir sedang bekerja di laman rumahnya tercegat untuk memerhatikan gerangan tetamu yang bertandang ke rumahnya.
Apabila melihat Dato' Sahar dan Datin Hasmah turun dari keretanya, Tahir segera menyapa besannya itu. Dia berjalan dan berjabat tangan dengan Dato' Sahar dan menjemput mereka berdua masuk ke dalam rumah.
Tahir memanggil isterinya untuk keluar ke ruang tamu dan menyapa besan mereka. Datin Hasmah senyum kepada Aminah yang terkocoh-kocoh keluar dari dapur untuk menyapa mereka. Aminah mengesat tangannya yang basah di kain sarung miliknya sebelum dia menghulurkan kedua tangannya untuk bersalam dengan Aminah.
“Duduklah” pelawa Tahir. Dato' Sahar dan Datin Hasmah duduk di kerusi di ruangan itu.
“Duduklah dulu, saya buatkan air” beritahu Aminah.
“Tak payah susah-susah kak, kami dah minum di masjid tadi” beritahu Datin Hasmah. Dia dan suaminya, sebenarnya dari masjid dekat kawasan perumahan sebelum mereka berdua memandu kereta ke rumah besan mereka ini.
“Eh tak apalah, tak susah pun” beritahu Aminah.
“Tak payahlah kak, tak baik tua-tua ni minum air manis banyak-banyak” sampuk Dato' Sahar pula. Mereka tidak mahu menyusahkan besan mereka itu.
Aminah akhirnya mengalah dan duduk di samping suaminya.
“Kenapa tak cakap nak datang? Kalau kami tahu, kami dah siapkan makanan yang sedap-sedap sedikit” ujar Tahir.
“Tu sebabnya kami tak cakap, abang. Takut susahkan abang saja” sambung Dato' Sahar. Dia dan isterinya senyum.
“Tak susahpun, makan kat sini sajalah nanti. Aminah ni pun tengah masak tadi” sambung Tahir lagi.
“Tak susahkan abang, ke?’ soal Dato' Sahar.
“Tak adalah” beritahu Tahir.
“Kalau macam tu, saya ikut saja bang. Lagipun dah lama tak rasa masakan kampung ni, bang” beritahu Dato' Sahar lagi.
“Balkish dengan Amin tak datang sekali ke?’ soal Aminah. Dia dapat mengagak tujuan kedatangannya besannya itu adalah mahu berbincang soal anak mereka.
“Ada dekat rumah kak. Dengan Amin sekali. Saja kami tinggalkan mereka berdua dan datang ke sini, ingat nak bincang pasal dia orang” beritahu Datin Hasmah.
“Sufi macamana? Dah sembuh?” soal Aminah mengingatkan tentang keadaan Sufi.
“Alhamdulillah dah semakin baik, kak. Cepat sembuh, sekarang dah boleh nak berjalan. Luka operate pun dah kering” beritahu Datin Hasmah lagi.
“Balkish dengan Amin macamana?” soal Tahir ingin tahu. Dia sebenarnya malu dengan keluarga besannya itu memandangkan sikap Balkish yag dirasakan biadap terhadap suaminya sendiri. Dia terkejut apabila mendengar tentang penceraian yang diminta oleh Balkish. Nasib baik Amin tu tidak mudah melatah dan berjaya menangani sikap Balkish yang keras kepala. Perkahwinan anaknya itu masih mungkin boleh diselamatkan lagi.
Walaupun kecelakaan telah terjadi kepada Sufi namun semua itu mungikn ada hikmahnya. Balkish sudah boleh menerima Sufi sepertimana dia menyayangi anaknya, Iman dan dia berharap agar Balkish menerima Amin sebagai seorang suami dan membunuh niatnya untuk bercerai dengan Amin. Dia yakin yang Amin telah banyaki berubah selama bertahun-tahun ini. Amin menjalanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan menantu dengan baik. Amin juga telah banyak membantu adik-adik Balkish. Dia tidak akan mendapat menantu yang lebih baik daripada Amin dan dia yakin Amin dapat menjaga Balkish dengan sempurna,  cuma anaknya itu yang tidak memberikan suaminya peluang.
“Balkish dah berbaik dengan Amin, bang. Saya tengok Balkish dah berubah sedikit-sedikit. Cuma kita tak boleh nak push sangat dia orang tu. Masing-masing masih muda, takutnya nanti kalau kita masuk campur sangat lain pula yang jadi” beritahu Dato' Sahar.
“Maaflah pasal Balkish. abang pun tak sangka dia bertindak sejauh tu. kalau ada lihat yang tak baik, tegurlah Balkish tu, abang tak kisah. Lagipun Amin tu, abang dah anggap macam anak sendiri. Balkish tu dia dari dulu tak macam tu. Tak tahulah kenapa jadi macam tu” sampuk Tahir.
“Tak adalah, bang. Balkish macam tu pun sebab Amin. Kami tak pernah nak salahkan menantu kami. Kita berdoalah untuk mereka. Saya nak sangat tengok mereka berdua berbaik” sambung Dato' Sahar lagi. Aminah dah Datin Hasmah terngaguk-angguk setuju.
“Amin tinggal kat luar lagi ke?’ soal Aminah.
“Dia dah pindah rumah kami. Cuma tinggal dekat bilik Aman buat sementara waktu ni” beritahu Aminah lagi.
“Perlahan-lahanlah tu” sampuk Dato' Sahar lagi.

…………………………………………….
Balkish memimpin Iman sementara Amin mendukung Sufi dalam dukungannya. Anak-anak mereka itu teruja saat Amin memberitahu ingin keluar membeli belah malam ini. Mereka bukan main lagi meminta Amin untuk singgah di Toys R Us seperti selalu. Memang itu juga tujuan Amin membawa keluarganya keluar malam ini. Janjinya kepada Iman dan Sufi untuk membelikan mereka berdua hadiah baru harus ditunaikan dan kali ini Balkish turut menemani. Sudah lama dia tidak keluar bersama-sama Balkish. Malam ini Balkish bersiap sangat cantik, dengan seluar jeans warna biru tua dan dengan blouse kuning yang longgar serta bertudung shawl dengan corak abstrak, menambahkan seri pada penampilannya.
Amin membawa keluarganya ke Toys R Us sambil di ikuti oleh Balkish dan Iman.
“Pa, boleh abang jalan sendiri?” soal Sufi yang masih di dalam dukungan papanya.
“Jangan main jauh-jauh. Adik nanti tengok-tengokkan abang” pesan Amin kepada Iman. Walaupun Sufi sudah boleh berdikari sendiri dan lukanya sudah semakin sembuh tapi dia harus lebih hati-hati. Takutnya terlanggar orang  secara tidak sengaja dan terjatuh, nanti lukanya yang sudah sembuh itu takut-takut menjadi bertambah parah.
Amin meletakkan Sufi berdiri di atas kakinya sendiri. Sufi kemudian segera mengajak Iman untuk mengekorinya. Mereka berdua berjalan ke arah suatu sudut yang dipenuhi dengan rak yang menempati banyak permainan robot.
“Tak apa ke awak biar Sufi macam tu?” soal Balkish risau.
“InsyaAllah tak apa-apa. Dia dah sihat dah pun sekarang ni” beritahu Amin. Dia mendekati Balkish yang berdiri di sisinya.
“Cantik Balkish malam ni” puji Amin. Balkish senyum. Pujian itu menjentik hati wanitanya. Tambahan pula pujian itu, dari suami sendiri.
Company macamana, abang?” soal Balkish sengaja menukar topik. Walaupun pujian Amin tadi menggembirakan hatinya tetapi dia tidak mahuu terus hanyut dengan kata-kata manis itu.
Okey saja. Kenapa Balkish tanya?” soal Amin.
“Tak ada, hari tu Rihan call tanya pasal akaun dulu. abang nak ambil tender baru ke?” soal Balkish ingin tahu.
“Ada projek baru dekat Kuantan. Tapi abang dah suruh Malik dengan Rihan tengok bajet untuk projek tu” beritahu Amin.
“Abang nak pergi Kuantan ke nanti?’ soal Balkish risau.
“Tak tahu lagi. Mungkin abang suruh Farhan saja pergi kalau Balkish tak nak abang pergi” beritahu Amin.
Balkish diam sebentar. Obvious sangat ke tadi? Coverlah sedikit Balkish oi! Kan tak pasal-pasal sekarang dah malu sendiri.
“Balkish tak kisah pun” kata Balkish. Tak kisah? Oh yeah, I mind. Tapi sebab malu tadi so terkeluar pula yang lain.
“Tegoklah nanti macamana, abang rasa yang mula-mula ni abang yang  patut pergi, then nanti second visit baru abang suruh Farhan saja yang pergi” beritahu Amin.
Hah! Ambik Balkish! Amin nak pergi Kuantan nanti. Tinggallah kau seorang-seorang dekat rumah. Nanti kalau rindu, pandai-pandailah sendiri. Siapa suruh berlagak sangat tadi cakap tak kisah.
Balkish diam sebentar. Dia melihat ke arah anak-anaknya yang sedang sibuk berbincng mahu membeli barang mainan apa. Mereka berdua bagaikan taksub dalam dunia mereka sendiri tanpa mempedulikan persekitaran dan orang ramai di sekeliling mereka. Balkish sekadar senyum melihat keakraban kedua orang anaknya itu.
“Kalau tak ada apa-apa, hari isnin ni saya nak masuk kerja” beritahu Balkish. Dia mengambil keputusan ini setelah melihat kesihatan Sufi sudah bertambah baik dan dia pula sudah lama tidak masuk ke pejabat. Walaupun Amin memahami dan memberikan izin dengan situasinya tetapi dia sendiri berasa tidak selesa kerana mengambil cuti tanpa gaji terlalu lama.
“Pa!” laung Iman dari tempat dia berdiri. Balkish dan Amin berpaling ke arah anak-anak mereka. Iman melambaikan tangan meminta Amin datang ke arahnya.
Amin mengajak Balkish berjalan ke arah anak-anak mereka.
“Pa, adik nak yang ni boleh?” soal Iman.
“Ni kan sama dengan yang kat rumah” pintas Amin.
“Adik cari lain” beritahu Iman.
“Abang tak kisahpun kalau Balkish nak cuti lagi” sambung Amin saat dia melihat wajah Balkish. Ayunya isteri abang ni. Balkish melihat ke arah suaminya. Mereka bertentangan mata untuk seketika. Balkish senyum dan Amin juga turut tersenyum.
“Abang dah cakap ke yang Balkish cantik malam ni?” soal Amin.
Balkish ketawa lucu. “Dah” jawabnya. Terhibur dengan gurauan manja dari suaminya.
“Mama, abang pun rasa mama cantik” sampuk Sufi yang terdengar kata-kata papanya yang memuji mama.
Balkish terkejut tapi kemudian dia ketawa lucu. Tak sangka pula perbualan mereka didengari oleh Sufi yang sejak dari tadi hanya berdiam diri.
“Sufi ni nak bersaing dengan papa ke?” soal Amin sengaja mengusik anak sulungnya itu.
Best man win, papa” balas Sufi.
“Amboi!” marah Amin. Dia tidak menyangka anaknya yang masih kanak-kanak itu tahu dengan istilah begitu. Balkish ketawa lucu.
Sufi akhirnya pergi mendapatkan adiknya yang masih leka mencari barang mainan.
“Abang ni, dengan Sufi pun nak bergaduh” rungut Balkish, namun dia tahu yang Amin sebenarnya hanya mahu bergurau dengan Sufi. Amin ketawa.
“Abang terkejut juga dengar Sufi jawab macam tu tadi. Budak-budak zaman sekarang ni, cepat membesar”
Balkish mengangguk. Dia dan Amin berjalan ke arah anak-anak mereka.
“Boleh abang pegang tangan Balkish?” soal Amin. Balkish berhenti dan melihat ke arah suaminya. Takkan itu pun Amin nak minta kebenaran? Aku tak kisah tapi takkan nak jawab boleh pula? Malu kot!
Amin senyum sambil menantikan jawapan daripada isterinya itu. Balkish berlalu pergi tanpa sebarang jawapan, dia berharap agar Amin terus memegang tangannya tapi harapannya itu kosong. Mereka berdua berjalan berasingan menuju ke tempat anak-anak mereka.
Amin hampa apabila Balkish tidak memberikan izinnya. Mahu bertindak sesuka hati takut pula mengundang marah di hati si isteri jadi dikebumikan sahaja kehendak hatinya itu. Takut pula mood dan suasana yang baik begini rosak gara-gara sikapnya yang bertindak melulu. Balkish ni unpredictable, nanti apa-apa jadi susah pula. Tak apalah, mungkin lain kali baru Balkish mahu. Bersabarlah sedikit lagi, Amin!

10 comments: