Saturday, January 16, 2016

sndki bab 66



Bab 66
Balkish parkir kereta Honda Citynya di tempat biasa. Nasib baik ada tempat kosong lagi jam-jam begini. Dia segera melompat keluar dari keretanya setelah mengambil beg kerjanya. Sempat juga Balkish kerling ke arah jam di tangan. Dia terlambat hari ini kerana risau meninggalkan Sufi di rumah. Setelah berpesan itu dan ini kepada anak-anaknyanya, barulah dia dengan berat hati berangkat ke pejabat. Amin pula awal-awal pagi sudah keluar menghantar Iman ke sekolah dan terus bertolak ke pejabat.
Balkish melangkah masuk ke dalam pejabat dan dia menyapa semua rakan sepejabat dengan sopan. Terasa janggal pula bila lama meninggalkan pejabat.
“Anak dah sihat ke Cik Balkish?” soal kak Bibi saat menyapa Balkish.
“Dah, kak” jawab Balkish. Dia senyum kemudiannya.
“Maaflah Balkish, akak tak sempat nak pergi melawat hari tu”
“Tak apa kak, doa kakak semua pun dah cukup. Alhamdulillah anak saya pun dah semakin sembuh” Balkish senyum lagi.
“Saya masuk dululah, kak” Balkish meminta diri. Dia melewati kamar Amin saat dia ke bilik pejabatnya. Sempat dia mencuri pandang ke arah suaminya yang kelihatan tekun bekerja. Balkish menyapa Rihan dan Malik sebelum dia masuk ke bilik pejabatnya, pekerja-pekerjanya itu bingkas bangun dan menuju ke arah Balkish untuk menyapa bos mereka itu.
“Bos, nasib baik bos datang” beritahu Rihan. Balkish terkejut mendengar kata-kata Rihan itu dan segera bertanya.
“Kenapa?” soal Balkish. Malik segera menyiku Rihan, mengisyaratkan kepada teman sekerjanya untuk berdiam diri sahaja.
“Kenapa Malik?” soal Balkish sekali lagi apabila Rihan hanya berdiam diri.
“Baik awak cakap” ugut Balkish.
“Tak ada, tadi bos besar marah-marah sebab bajet yang kami siapkan salah lagi” beritahu Malik. Balkish melihat ke arah Amin yang sedang berada di dalam biliknya. Lelaki itu sedang asyik meneliti dokumen di mejanya tanpa mempedulikan orang lain. Kalau di rumah, Amin sentiasa kelihatan gembira dan tidak ada masalah. Kalau ditanya soal pejabat dan syarikat, pasti Amin tidak memberitahu yang pekerja-pekerja syarikat sedang sibuk dan dia menghadapi masalah dengan bajet untuk tender baru. Pasti Amin berbuat begitu kerana tidak mahu aku risau dan hanya menumpukan perhatian kepada Sufi dan keluarga.
“Nanti saya tengok, awak transfer soft copy dokumen bajet yang awak dah siapkan” arah Balkish kepada Rihan.
“Bos, bos besar tahu ke bos masuk office hari ni?’ soal Malik.
Balkish mengangguk.
“Nanti kalau ada apa-apa bos panggil saja kita orang” sambung Malik lagi.
Balkish masuk ke dalam bilik pejabatnya. Dokumen yang dalam bentuk softcopy akan diteliti dengan sebaik-baiknya. Dan kalau boleh, kali ini dia mahu Amin berpuas hati dengan bajet yang bakal disiapkan olehnya nanti. Dia tidak boleh menyalahkan Malik atau Rihan dalam hal ini kerana dua orang pekerjanya itu tidaklah terlalu arif dalam hal-hal akaun kerana selama ini, memang dia yang bertanggungjawab penuh dalam menyiapkan bajet itu. Malik dan Rihan hanya membantu.
Rihan masuk ke dalam bilik dan mentransfer dokumen excel yang berkaitan dengan bajet tender terbaru ke komputer peribadi milik Balkish. Sementara Rihan melakukan pekerjaannya, Balkish mengeluarkan laptopnya dari beg kerja dan menghidupkan laptop tersebut. Dia duduk di kerusinya.
“Cik Balkish, anak dah sihat ke?’ soal Rihan.
“Alhamdulillah dah semakin sihat” beritahu Balkish.
Sorrylah cik kami tak sempat pergi jenguk. Ingatkan lepas tender ni, saya dengan Malik nak pergi melawat beritahu Rihan.
“Tak apa. Nanti kalau ada masa free jemputlah datang ke rumah” ajak Balkish. Dia faham dengan kondisi teman-teman sepejabatnya. Pasti semua orang sibuk menguruskan tender terbaru yang cuba didapatkan oleh syarikat. Amin pula kalau bekerja memang diktator sedikit. Semua orang pasti dikerahkan untuk mempersiapkan keperluan untuk projek tender terbaru ini.
“Kenapa awak dengan Malik tak telefon saya Tanya macaman nak buat akaun ni?” soal Balkish kerana perasaan bersalah menyerahkan tugasnya kepada Malik dan Rihan. Dia ingatkan mereka berdua tidak mempunyai masalah kerana mereka tidak pernah menelefonnya tetapi rupa-rupanya dua orang pekerjanya memang menghadapi masalah, cuma tidak mahu menyusahkannya.
“En. Amin yang tak bagi kita orang call bos. “ jawab Rihan.
Balkish ketawa geli hati, “Saya tak kisah pun kalau awak call tanya pasal kerja” jawab Balkish.
“Itulah bos, nak buat macamana lagi kalau En. Amin dah cakap macam tu. Tiap-tiap malam dia suruh kami balik lambat siapkan dokumen yang dia nak” Rihan mengadu kepada Balkish. Barangkali sudah stress dengan layanan ‘kejam’ dari bos besarnya itu.
“Tak apalah, dokumen ni biar saya tengok dulu. Nanti kalau ada apa-apa saya panggil awak dengan Malik” beritahu Balkish.
Rihan keluar untuk menyambung kerjanya, sementara Balkish membetulkan duduknya di kerusi dan melihat ke skrin komputer. Draf yang telah disiapkan oleh Rihan dan Malik itu diteliti. Balkish menumpukan perhatian dengan kerjanya, draft itu dilihat satu persatu. Sebenarnya kerja ini lebih mudah kalau dia sendiri yang menyiapkannya dari mula berbanding memeriksanya kembali satu persatu. Nilai belajanwan itu dihitung kembali dengan menggunakan programmer yang sudah diinstal di komputer. Sesekali Balkish memeriksa kembali dengan menggunakan kalkulatornya. Jika ada nilai yang salah, Balkish menggantikannya dengan nilai yang betul. Jumlahnya ditotalkan kembali dan menghasilkan nilai yang baru. Fail itu kemudian di save sebelum Balkish meneliti fail pada page yang berikutnya.
Dalam kekhusyukan Balkish mengerjakan tugasnya, dia terhenti saat melihat Amin keluar dari bilik pejabatnya dalam keadaan marah.  Balkish jadi penasaran, dia turut keluar dari bilik pejabatnya dan memerhatikan suaminya itu.
“Malik!” jerit Amin.
Terkocoh-kocoh pekerjanya itu datang mendapatkan Amin yang sedang marah.
“Mana akaun yang aku minta?!” soal Amin marah. Dia bercekak pinggang. Saat ini semua orang tidak berani bersuara, saat ini semua sudah menundukkan kepala berpura-pura sedang asyik dengan kerja masing-masing.
“Tengah disiapkan bos” jawab Malik.
“Dari semalam aku suruh kau buat, tak siap-siap lagi. Pergi ambil aku nak tengok” arah Amin. Dia kemudiannya masuk ke bilik pejabatnya semula.
“Malik. Dah kau tahu bos tengah bad mood kau buat hal lagi” tegur Kak Bibi. Teguran itu tidak diendahkan oleh Malik. Dia sebaliknya terus menuju ke arah Balkish untuk meminta akaun yang diperlukan oleh Amin.
“Kenapa mood dia macam tu?” soal Balkish tidak berpuas hati dengan layanan Amin terhadap Malik yang bertugas di bawahnya. Walaupun Malik gagal menyiapkan kerja itu tetapi Amin tidak sepatutnya memarahi Malik di hadapan semua rakan sekerjanya yang lain.
“Projek ni, projek besar, Cik Balkish. Tu sebab En. Amin risau” beritahu Malik.
“Tak apalah Malik. Biar saya saja yang hantar fail tu” beritahu Balkish. Dia kemudiannya masuk ke bilik dan mentransferkan semua softcopy yang baru diubahnya tadi ke dalam pendrive. Balkish kemudiannya masuk ke bilik Amin.
“Mana fail tu?” soal Amin saat melihat Balkish berdiri di hadapannya. Pendrive di tangan dihulurkan kepada Amin. Dia kemudiannya menyambung pendrive tersebut ke USB dan membukan fail yang dimaksudkan oleh Balkish.
“Duduklah” pelawa Amin.
Amin diam sahaja saat dia meneliti fail yang baru diubah oleh Balkish. Balkish melihat ke arah Amin dengan perasaan berdebar-debar. Takut juga kalau dia turut dimarahi oleh Amin gara-gara fail itu. Dia tekun menanti jawapan daripada suaminya dengan hati-hati sambil mempersiapkan dirinya dengan pelbagai alasan yang bakal diberikan oleh Amin andainya lelaki itu tidak suka dengan bajet yang baru disiapkannya sebentar tadi.
“Apa awak buat ni?” marah Amin tetapi nada suaranya dikawal agak tidak mengejutkan Balkish yang duduk di hadapannya.
“Kenapa?” soal Balkish risau.
“Mana boleh awak buat bajet untuk bahan mentah banyak ni. Simen sekarang harga dah naik, kalau awak buat harga macam ni mana kita nak untung?” beritahu Amin.
“Saya check harga semasalah tu. Kalau awak tak suka, saya ubah baliklah kalau macam tu” beritahu Balkish.
“Bukan masalah saya tak suka. Saya dah cakap dengan Malik dulu, buat harga macam yang saya cakap. Awak ubah tu kenapa?” marah Amin.
“Saya check harga semasa” balas Balkish pula.
Amin diam. Dia sedar yang waktu bekerja dalam keadaan stress dia cenderung untuk memarahi sesiapa sahaja. Tetapi dengan Balkish dia tidak mahu, hubungan mereka menjadi bertambah keruh kalau dia terus menengking gadis itu.
“Awak buat balik, panggil Malik dengan Rihan sekali. Buat dekat sini saja, boleh saya tengok juga” arah Amin.
Walaupun tidak suka dengan keputusan Amin itu  tetapi Balkish terpaksa menurut memandangkan Amin ketuanya dan kata-kata lelaki itu ada benarnya. Lebih mudah kalau teamnya bekerjasama dengan Amin memandangkan lelaki itu mahu mengikut biaya atau harga yang telah ditetapkan olehnya. Balkish keluar dari bilik Amin dan memanggil Rihan serta Malik untuk mengikutnya masuk ke bilik Amin. Mereka bertiga menghadap laptop Balkish sambil berbincang tentang biaya yang dikehendaki oleh bos mereka itu.
…………………………………………..
Wenda mencuri pandang kepada temannya yang dilihat sejak dari tadi duduk termenung di ruang meja. Kes-kes baru masuk sejak beberapa minggu ini habis dibaca dan disusun kembali ke rak berdekatan dengan tempat duduk mereka. Sejak dari pagi tadi lagi, Wenda melihat temannya itu dingin dan banyak berdiam diri. Selalaunya, Rina banyak celoteh terutama pada awal pagi kerana masih bertenaga. Kalau sudah menjengah ke petang masing-masing sudah low battery dan lebih banyak melayan perasaan.
Wenda cuba menegur temannya itu tetapi tidak diendahkan oleh Rina. Dia akhirnya berjalan perlahan-lahan ke arah Rina dan mencubit lengannya.
“Sakitlah” jerit Rina dan segera menggosok lengannya yang masih sakit akibat tindakan Wenda yang tidak berperikemanusiaan itu.
“Sakitlah, kau kenapa?” marah Rina kepada Wenda yang dari tadi hanya senyum ke arahnya tanpa mempedulikan jeritan kesakitan dari Rina.
“Aku panggil kau tak dengar, aku cubitlah” beritahu Wenda. Dia ketawa geli hati melihat wajah Rina yang menahan kesakitan. Memang dia mencubit bersungguh-sungguh tadi kerana geram Rina yang tidak mengendahkan panggilannya sejak dari tadi.
“Kau termenung panjang ni kenapa?” soal Wenda ingin tahu. Jarang Rina bersikap begini sebelum ini.
“Malam ini kau sibuk tak?” soal Rina. Soalan Wenda tadi belum dijawab, dia sudah mengutarakan pertanyaan yang lain kepada sahabatnya itu.
“Tak, kenapa?” soal Wenda.
“Temankan aku nanti” beritahu Rina.
“Kenapa? Cakap dulu kenapa, baru aku ikut kau malam ni” ugut wenda. Dia jadi penasaran tentang perubahan sikap Rina hari ini dan tiba-tiba sahaja Rina mahu menukar jadual kerja dengannya. Itupun last minute baru beritahu. Pasti ada sesuatu yang sangat penting sehingga Rina mengambil keputusan sebegitu.
“Ada benda aku nak settel dengan Farid” beritahu Rina.
“Kenapa dengan kau dengan Farid. Kau orang gaduh ke?’ soal Wenda. Hujan tidak, ribut tidak takkan Rina bergaduh dengan kawannya yang seorang lagi itu. Fikir Wenda.
“Weekend hari tu kan aku ada balik rumah parent aku, rupa-supanya Farid datang dengan keluarga dia nak merisik aku. Dia tak cakap sepatah pun dengan aku sebelum ni. Tahu-tahu pun bila mereka datang semalam, kalau tak, sampai bila aku nak diperbodohkan” beritahu Rina. Dia melepaskan keluhannya kepada Wenda. Walaupun Wenda tidak membantunya tetapi sekurang-kurangnya Wenda boleh mendengar dan memberi nasihat.
“Farid merisik kau?” soal Wenda seakan-akan tidak percaya mendengar cerita yang baru disampaikan oleh Rina tadi.
“Aku ingat nak pergi jumpa dia petang nanti. Nak settle pasal ni” sambung Rina.
“Kau nak buat apa nanti? Nak terima saja Farid atau …..?”
“Gila! Ni Farid. Tak kuasa aku nak kahwin dengan mamat tu. Selama ini aku anggap dia kawan saja” beritahu Rina. Dia marah juga apabila mendengar kata-kata Wenda tadi. Mustahil dia akan menerima Farid. Bukannya lelaki itu tidak cukup baik untuknya, tetapi dia yang tidak cukup baik untuk Farid. Tambahan pula dia tidak pernah menganggap Farid lebih daripada seorang sahabat. Hatinya hanya untuk Amin walaupun dia tahu lelaki itu sudah berkahwin dan menyayangi isterinya. Tetapi jodoh itu kan di tangan Allah, kalau betul jodohnya dengan Amin pasti suatu masa nanti akan terbuka pintu hati lelaki itu buatnya.
Rina kemudian memandang wajah Wenda. Dahinya berkerut menahan beban yang sarat di fikirannya. Semoga dia mempunyai kekuatan untuk berbincang tentang hal ini dengan Farid nanti.
“Assalamualaikum”
Rina dan Wenda berpaling ke arah lelaki yang menyapa mereka. Hati Rina jadi berdebar-debar apabila melihat wajah Farid muncul di ruang pejabat mereka. Wenda segera berpaling ke arah Rina, sahabat yang tercegat di sampingnya. Riak wajah Rina pucat lesi, jadi Wenda segera mencuit lengannya untuk menyedarkan Rina.
“Farid” sapa Wenda apabila Rina hanya berdiam diri sejak tadi. Lelaki itu diundang masuk ke pejabat mereka. Rina dan Wenda merupakan peguam baru yang memulakan kerja di sebuah syarikat peguambela probono. Mereka adalah peguam yang paling junior di syarikat peguambela itu. Masing-masing belum mampu menguruskan kes sendiri lagi, sebaliknya mereka hanya mengikut dan membantu peguambela yang lebih senior. Selain dari itu mereka juga bertugas menyelaraskan kerja-kerja dalam pejabat. Peguam probono merupakan peguam yang membantu masyarakat secara percuma dan tidak mengenakan apa-apa bayaran.
“Rina, Wenda” sapa Farid. Dia senyum kepada kedua orang wanita di hadapannya itu.
“Apa you buat sini?” soal Rina marah. Dia memang tidak suka kepada Farid setelah apa yang telah dilakuakannya semalam. Lelaki itu tega memperbodohkannya di hadapan mama dan papa. Dia pula tidak pernah mengesyaki apa-apa. Perbuatan Farid itu membuatkan dia menjadi geram kepada lelaki itu yang sengaja merahsiakan kedatangannya ke rumah. Farid sengaja mahu memalukannya di hadapan papa dan mama serta kedua orang tuanya.
“Boleh kita berbincang kejap?” soal Farid lembut. Dia tidak mudah melenting. Kalau marah Rina diikutkan, nanti dia juga marah dan hal ini tidak boleh diselesaikan dengan emosi semata-mata. dia harus bijak memainkan peranannya sebagai seorang lelaki. Hati wanita Rina pasti lembut kalau diperlakukan dengan baik dan saksama.
I tengah kerja. Ada apa-apa nantilah kita bincang” beritahu Rina dengan sombong. Dia sengaja menjual mahal kepada Farid kerana benci melihat lelaki itu padahal dia sendiri telah merancang ingin bertemu dengan Farid malam ini untuk membincangkan hal yang sama. Apabila melihat wajah Farid di pejabatnya sekarang, Rina tahu yang pasti Farid lebih terdesak keadaannya jadi dia mempunyai kelebihan untuk mempersulitkan lagi keadaan lelaki itu.
Wenda hanya memerhatikan sahaja, dia tahu dia tidak berhak mencampuri urusan antara Farid dan juga Rina itu.
“Sekejap saja” pinta Farid lagi. Kali ini dia merayu kepada Rina yang sedang membelakanginya. Gadis itu tidak mengendahkannya dan menjarakkan dirinya. Rina pasti marah dengan apa yang dilakukannya semalam yang sengaja tidak memberitahu ingin datang ke rumah membawa kedua orangtuanya untuk merisik.
I sibuk” balas Rina. Wenda melihat wajah Farid yang penuh berharap agar ajakannya itu diterima oleh Rina. Kasihan pula melihat Farid yang tidak diendahkan oleh sahabatnya yang masih lagi geram dengan tindakan Farid semalam. Wenda akhirnya menyampuk, dia hanya ingin menjernihkan keadaan. Apa-apapun, pasangan ini harus berbincang dengan baik untuk menyelesaikan perselisishan faham antara mereka.
“Pergilah kejap, aku cover untuk kau kalau bos tanya” pujuk Wenda.
Rina berpaling ke arah Wenda. Perbuatan temannya itu seolah-solah menyebelahi lelaki itu. Dia jadi bertambah geram.
“Apa kau buat ni?” marah Rina.
“Pergilah kejap, kasihan aku tengok Farid tu” pujuk Wenda. Dia menyentuh tangan sahabatnya itu untuk melembutkan marahnya. Dia tahu Rina sedang marah sekarang ini, semua yang dilakukan oleh Farid salah di matanya memandangkan gadis itu sangat membenci Farid sekarang ini.
Tetapi, kalau dia di tempat Rina dia akan menjadi lebih bahagia, siapa yang tak nak lelaki sebaik Farid sebagai suami, lelaki itu tampan, berilmu dan berkerjaya. Apa lagi yang dicari oleh Rina sebenarnya, atau gadis itu sudah mempunyai pilihan hati. Tidak pernah pula dia mendengar Rina bercerita tentang teman lelakinya sebelum ini, yang dia tahu Cuma Farid dan Hisyam yang selalu menghubunginya. Atau Amin? Lelaki yang selalu dihubungi oleh Rina  tetapi Rina sendiri cakap yang dia dan Amin hanyalah kawan biasa sejak universiti lagi. Tambahan pula Rina sendiri yang memberitahu bahawa Amin sudahpun berkeluarga.
“Rina, please” pujuk Farid pula. Perlahan-lahan Rina membalikkan tubuh ke arah Farid yang sejak dari tadi dibelakanginya. Betul kata Wenda, memang kasihan kalau tengok muka Farid sekarang ini, tak sampai hati pula nak menolak ajakan lelaki itu. Lagipun dia hanya mahu berbincang dengannya, bukankah itu juga kemahuannya.
“Tapi dekat sini saja, I malas nak keluar jauh-jauh dengan you
“Okey, Okey. Dekat sini saja” beritahu Farid beretuju dengan kemahuan gadis muda itu. Farid akhirnya mengikut lengkah kaki Rina yang lebih tahu tentang persekitaran dekat tempat kerjanya itu. Rina membawanya ke sebuah kantin yang terletak berhanpiran dengan pejabatnya. Gadis itu memilih meja yang agak jauh daripada orang lain untuk mencari sedikit damai bagi mereka berdua berbincang akan masalah mereka. Farid kemudiannya pergi memesan air untuk mereka berdua dan kembali duduk berhadapan dengan Rina.
“Sorry kacau awak kerja”
“Awak patut fikir macam tu sebelum awak muncul dekat office tadi” bentak Rina.
“Rina, saya minta maaf sebab saya tak bagitau awak. Semuanya berlaku tiba-tiba, last minute saya buat keputusan untuk masuk merisik”
“Awak jangan nak bagi alasan, mama cakap awak ada datang rumah saya sebelum ni. Dah beberapa kali awak datang rumah tapi awak memang tak pernah cakap apa-apa pun dekat saya. Semalam awak cakap nak dating, tapi awak tak bagitahu pun nak datang merisik. Tup-tup, rupa-rupanya rombongan yang merisik tu adalah awak” marah Rina.
“Saya minta maaf, saya tak bermaksud nak buat awak marah. Saya ikhlas nak jadikan awak isteri saya. Tapi saya tahu awak tak suka saya”
“Kalau tahu kenapa buat juga! Saja saja kan? Awak nak tengok saya malu dengan papa dan mama. Awak buat saya macam orang bodoh depan kedua orangtua awak”
“Rina, tolonglah faham, semuanya berlaku dengan cepat. Tiba-tiba saja saya berani jumpa parent awak. Saya tak pernah terfikirpun yang awak akan malu dengan perbuatan saya tu. Saya suka awak. Kalau saya tak buat macam tu, mungkin saya akan kehilangan awak” beritahu Farid sejujurnya. Dia tahu Rina tidak menyukainya sepertimana perasaannya terhadap gadis itu. Apa yang dilakukannya adalah untuk memiliki Rina dan dia yakin itulah jalan terbaik untuk mereka berdua.
“Awak tahukan yang saya anggap awak kawan”
Farid mengangguk.
“Saya suka awak, saya percaya yang saya boleh bahgiakan awak. Saya boleh jadi suami yang baik untuk awak, Rina” rayu Farid.
“Kalau saya tolak?” ugut Rina. Dia sekadar mahu menguji sejauh mana sayang Farid buatnya.
“Awak berhak memilih. Saya terima dengan redha” balas Farid. Rina terdiam, jawapn Farid itu membuatkan hatinya tenang. Fikirannya berat memikirkan masalah tentang risik yang dihantar oleh pihak Farid dan dia risau seandainya dia memberikan jawapan negatif kepada keluarga Farid nanti. Apabila mendengar jawapan daripada mulut Farid sendiri sebentar tadi, Rina menjadi gembira. Sekurang-kurangnya beban yang terpaksa ditanggungnya tidaklah seberat sebelumnya. Dia tidak sampai hati mahu menolak lamaran Farid sebenarnya memandangkan mereka berkawan sudah lama, tetapi ini masalah perasaan dan hati. Sampai bila dia boleh hidup dengan Farid sebagai suami isteri kalau dia langsung tidak menyintai lelaki itu.
“Fikirlah betul-betul. Saya terima awak seadanya. Awak buatlah keputusan yang terbaik untuk awak. Hal keluarga saya, saya akan urus kalau itu yang membimbangkan awak. Awak jangan risau” pujuk Farid. Lelaki itu bagaikan mengerti masalah yang difikirkan oleh Rina.
Rina diam. kata-kata Farid itu akan difikirkan semasak-masaknya. Segala buruk dan baik akan dipertimbangkan dengan adil. Namun Rina tidak boleh memberikan keputusannya sekarang. Dia meminta Farid memberikannya sedikit masa dan tidak mendesak.
………………………………….
“Bos, lapar” ucap Malik sambil menggosokkan perutnya yang masih kosong sejak dari pagi. Kesibukan kerja bersama-sama dengan dua orang bos mereka itu membuatkan dia terlupa untuk mengisi kekosongan perutnya. Tapi apabila perut yang belum terisi itu membunyikan lagu keroncong, dia tidak dapat lagi menahan lapar.
Amin merenung Malik tajam.
“Kerja sedikit dah nak rehat” marah Amin. Kerja yang mereka lakukan sejak pagi tadi belum siap. Masing-masing sibuk membetulkan akaun yang baru, Balkish pula akan menaip pembetulan yang dilakukan di laptopnya.
“Kan dah waktu lunch ni” sampuk Balkish. Dia melihat ke arah Amin yang duduk bersebelahan dengannya di meja kecil berbentuk bulat di samping meja kerja utama.
Amin melihat ke arah Balkish. mereka berdua bertentangan mata. Apabila menatap wajah Balkish yang kelihatan ayu di matanya, dia tidak jadi marah.
“Lapar bos, jomlah bos rehat dulu, solat Zuhur” sampuk Rihan pula.
“Kerja tak siap lagi” marah Amin.
“Kau orang berdua pergilah rehat dulu, nanti belikan makanan untuk saya dengan En. Amin” sampuk Balkish memberikan cadangan. Tidak sampai hati pula mendera pekerja-pekerjanya demi sebuah akaun yang dikehendaki oleh Amin ini. Lagipun Rihan dan Mailk sudah kerja bersungguh-sungguh untuk tugas ini sementara dia pula mengambil cuti. Kali ini biar dia pula yang mengalah, membiarkan Rihan dan Malik keluar makan. Biar dia sahaja yang menyambung tugas itu sampai mereka berdua kembali.
Thanks bos” ucap Malik kepada Balkish. Tanpa berlengah dia dan Rihan segera mengangkat kaki meninggalkan ruang bilik pejabat milik Amin itu. Takut tersalah langkah atau terlambat sedikit, En. Amin menghalang mereka daripada keluar. Rihan dan Malik mengurut dada tanda lega saat bebas sebentar dari cengkaman pemerintahan diktator bos mereka, En. Amin.
“Balkish. pergi buat air. Abang nak coffee” arah Amin saat dia hanya tinggal berdua dengan Balkish di bilik pejabatnya itu. Hati Amin jadi berdebar-debar saat dia duduk dekat dengan Balkish untuk sama-sama mengerjakan tugas mereka. Dia tidak sengaja duduk sedekat itu dengan Balkish dan apabila sedar yang mereka berdua tidak terlalu jauh antara satu sama lain, pelbagai fikiran nakal mula muncul di dalam akalnya. Untuk mengelakkan sesuatu kejadian terjadi, dia sengaja memisahkan Balkish daripadanya untuk sementara waktu ini.
“Ni tak siap lagi, awak nak minum sekarang ke?” soal Balkish.
“Abang nak sekarang” bentak Amin.
“Nanti saya suruh Gina buatkan!” beritahu Balkish. Dia bangun daripada kerusi dan mahu keluar meminta tolong Gina membuatkan air untuk suaminya. Kebelakangan ini dia sudah jarang berbalah dengan Amin. Apa yang disuruh, dia akan buat Cuma sebelum dia buat, pasti dia akan bertengkar manja-manja dulu dengan Amin dulu. Sekurang-kurangnya dengan cara begitu saja dia dapat berkomunikasi dengan Amin tanpa menimbulkan syak di hati suaminya yang dia sudah mula menyayangi lelaki itu. Nak mengaku cinta tak kuasa I! Biarlah Amin sedar sendiri.
Amin melepaskan satu keluhan setelah dia ditinggalkan sendiri di biliknya. Berada berdua-duaan dengan Balkish membuatkan keringat dinginnya membasahi hujunng rambut, jantungnya jadi bergedup kencang. Selama ini semua respons itu boleh dikawal dengan baik tetapi sejak akhir-akhir ini cintanya kepada Balkish bertambah kuat, keinginannya untuk memberikan kemanjaan dan perhatian kepada Balkish menjadi-jadi. Balkish dilihat sebagai seorang gadis seksi di matanya walaupun isterinya itu lengkap bertudung. Kalau bukan kerana Iman di dada dan perasaan malu kepada diri sendiri, dah lama dia melepaskan sahaja kunci besi kepada penjara hawa nafsunya. Melepaskan rindunya yang menggunung buat isteri tercinta. Dia tahu Balkish sudah mula berubah, gadis itu suda belajar untuk menerimanya kembali. Sebab itu dia tidak mahu menghancurkan peluangnya ini. Kalau selama bertahun-tahun ini dia mampu bersabar, dia pasti mampu bertahan untuk sedikit masa lagi untuk memiliki hati Balkish sepenuhnya.
Balkish keluar dari bilik pejabat Amin dan melihat ke sekeliling namun tiada orang di pejabat mereka. Dia terus masuk ke pantry untuk membancuh air coffee seperti yang dikehendaki oleh suaminya. Sebentar kemudian dia kembali masuk ke bilik pejabat Amin dengan membawa dua mug coffee dan diletakkan di meja.
“Semua orang dah keluar lunch” beritahu Balkish walaupun tidak ditanya. Mug digeser ke arah Amin.
“Kita berdua sajalah sekarang ni?” soal Amin. Dia menelan air liur sendiri.
“Abang ni muka pucat kenapa? Abang tak sihat?” soal Balkish. Dia berjalan agak laju ke arah Amin untuk merasa dahi Amin panas atau tidak. Belum sempat Balkish menyentuh dahi, Amin segera melangkah ke belakang dan mengelak.
“Tak ada apa-apa” balas Amin.
“Betul?” soal Balkish tidak percaya. Wajah Amin pucat. Dia risau kalau-kalau suaminya itu jatuh sakit akibat kerja yang berlebihan.
“Betul” Amin meyakinkan. Dia tidak mahu disentuh oleh Balkish sekarang takutnya dia tidak dapat mengawal diri. Amin mengambil mug di meja dan perlahan-lahan meneguk isinya.
“Panas lagi tu” Balkish separuh menjerit tetapi tindakan Amin lebih cepat, akibatnya air coffee yang sudah masuk ke dalam mulut itu terpaksa dihembur keluar. Amin batuk-batuk kecil dan mengipaskan mulutnya yang masih terasa panas. Balkish mahu ketawa tetapi ditekan sahaja punat off untuk mode ketawanya kerana kasihan melihat Amin yang dalam kesakitan.
Amin mengambil sapu tangannya dan mengelap necktienya yang kotor dicemari warna coklat dari warna coffee yang baru sahaja dihemburkannya. Balkish turut membantu.
“Dah okey dah, tak apa” Amin menolak bantuan Balkish.
“Itulah, minum tak baca bismillah” tegur Balkish.
“Sebab awaklah” bentak Amin.
Balkish memandangnya dengan pandangan aneh. Kenapa pula dia yang dipersalahkan.
“Sebab awak tak cakap yang air tu panas” beritahu Amin. Dia mengalihkan pandangan dari terus bertentang mata dengan isterinya. Takkan nak cakap yang aku jadi tak keruan bila berdua bersama dia? Takkan nak cakap semuanya jadi tak kena bila Balkish berada dekat denganku?

No comments:

Post a Comment